Suami Olok-Olok Bab 1
BAB
1
Amira sedang memandu kereta. Agak
laju juga dia memandu kereta jenis Nissan Almera yang dihadiahkan oleh papa kepadanya. Ketika memandu sempat juga
dia menelefon seseorang. Bunyi nada dering jelas kedengaran pada telinganya
yang disumbat dengan earphone. Dia menunggu sehingga panggilannya dijawab dan
akhirnya panggilannya itu dijawab oleh seorang lelaki.
“Hello,” suara lelaki itu sekadar
berbasa-basi.
Amira
tersenyum apabila mendengar suara lelaki itu. Begitu bahagia rasanya apabila
suara lelaki itu menusuk ke dalam telinganya walaupun nada suara lelaki itu
seperti tidak bermaya.
“Awak,
saya sudah buat keputusan untuk tinggalkan keluarga saya. Sekarang ni tiada
siapa lagi yang dapat menghalang cinta kita. Saya sudah tinggalkan
segala-galanya demi cinta saya kepada awak. Awak janji kan akan berkahwin
dengan saya walaupun apa yang bakal berlaku nanti?” Beritahu Amira dengan penuh
semangat. Tetapi lelaki yang dihubunginya itu hanya mendiamkan diri seperti
tidak berminat dengan apa yang dikatakanya tadi.
“Awak!”
Amira cuba mendapatkan perhatian lelaki itu apabila lelaki itu tetap mendiamkan
diri. Sakit hati juga Amira apabila melihat tindak balas yang hambar daripada
lelaki itu. Tetapi dia tidak sanggup untuk meluahkan kemarahan demi cintanya
pada lelaki itu.
“Baiklah. Kita jumpa kat tempat
biasa.” Akhirnya lelaki itu bersuara. Ringkas sahaja arahanya. Tetapi cukup
bagi Amira yang mengharapkan tindak balas dari lelaki itu.
“Baiklah. Saya dalam perjalanan ke
sana. Kalau awak sampai dahulu awak tunggu tau. Saya ada perkara penting hendak
kongsi dengan awak. I love you sayang,” ujar Amira. Tetapi lelaki itu tidak
membalas hanya mematikan panggilan yang dibuat oleh Amira tadi.
Walaupun panggilan Amira mendapat sambutan
yang dingin dari lelaki yang dihubunginya tadi, Amira tetap tidak ambil hati.
Janji dia dapat berjumpa lelaki itu dan memberitahu perkara yang amat penting
baginya. Apakah perkara yang amat penting itu? Perkara yang amat penting itu
ialah dia kini sedang mengandung. Dan yang paling penting lagi anak dalam
kandungan yang baru berusia 2 minggu adalah anak lelaki itu. Dia tidak sabar
untuk sampai di lokasi yang dijanjikan dan menceritakan perkara penting itu.
+++++
Amira
tiba di tasik Kelana Jaya. Memang lokasi itu menjadi tempat dia bersama lelaki
itu berjumpa untuk bermadu kasih. Walaupun ada juga tempat-tempat lain yang
menjadi pilihan, tetapi di tasik itulah banyak kenangan yang dicipta bersama
dengan lelaki itu.
Amira
memilih sebuah kerusi yang menghadap tasik. Cuaca pada lewat petang itu
tidaklah begitu terik. Kelihatan ramai umat manusia yang sedang berjogging di
laluan yang disediakan. Selain itu juga ramai juga pasangan-pasangan yang tidak
diketahui status perkahwinan mereka sedang memadu kasih pada lokasi-lokasi yang
strategik di tasik itu.
Hampir
1 jam lamanya Amira menunggu lelaki yang dicintainya itu. Tetapi batang hidung
lelaki itu masih tidak kelihatan. Amira tetap sabar menunggu sehingga masa
berlalu sehingga 2 jam lamanya. Pada ketika itu baru Amira rasa sesuatu yang
tidak kena apabila lelaki yang ditunggunya masih belum muncul.
Amira
tidak boleh menunggu lagi. Lantas dia mendapatkan telefon bimbitnya dan
menghubungi lelaki itu. Hatinya bertambah tidak tenteram apabila panggilannya
dijawab oleh operator. Maknanya telefon bimbit lelaki itu dimatikan. Tanpa jemu
dia cuba menghubungi lelaki itu berkali-kali dan mengharapkan agar lelaki itu
dapat menjawab panggilannya. Tetapi dia tetap kecewa apabila kesemua
panggilannya dijawab oleh operator.
Hatinya
berdebar-debar. Dia tidak tahu mengapa telefon bimbit lelaki itu dimatikan.
Adakah sengaja dimatikan agar dia tidak dapat menghubungi lelaki itu? Atau
lelaki itu ditimpa musibah? Dia menyimpan semula telefon bimbit dan bangun dari
duduknya. Kelihatan seperti ada tempat yang ingin ditujunya selepas ini.
Mungkin dia akan pergi ke tempat tinggal lelaki itu. Kereta Nissam Almeranya
bergerak sebaik sahaja Amira menghidupkan enjin kereta itu. Laju dia membawa
dengan harapan dapat berjumpa dengan lelaki itu.
+++++
Amira sampai di sebuah perumahan
teres setingkat di Petaling Jaya. Dia memberhentikan keretanya betul-betul di
hadapan pagar sebuah rumah yang agak sunyi. Amira segera keluar dari keretanya
dan cuba untuk membuka pintu pagar rumah itu. Tetapi pintu pagar rumah itu
berkunci dan keadaan rumah itu juga seperti sudah tidak berpenghuni. Memang rumah itu adalah rumah sewa lelaki
yang dicintai oleh Amira. Rumah itu juga menjadi tempat Amira dan lelaki itu
menghabiskan sisa-sisa malam apabila mereka lewat pulang dari berhibur. Amira
melepaskan keluhan apabila gagal untuk membuka pintu pagar rumah itu.
“Awak!
Awak! Saya kat luar ni. Tolonglah buka pintu ini!” Jerit Amira. Walaupun dia
tahu tiada siapa yang menghuni rumah itu tetapi dia tetap juga mencuba untuk
memanggil penghuninya. Air matanya tiba-tiba mengalir apabila memikirkan yang
dia tidak akan dapat berjumpa dengan lelaki itu.
“Amoi
ini rumah sudah tak ada orang duduk,” tegur seorang perempuan cina tua yang
merupakan jiran rumah sewa lelaki itu. Mungkin jeritan Amira di luar pagar tadi
mendapat perhatian perempuan cina tua itu.
Amira mengesat air matanya seraya
memandang wajah perempuan cina tua yang menegurnya tadi. “Sudah berapa lama
auntie rumah ini tiada orang duduk?” Soalnya pula.
“Sudah seminggu amoi.”
“Auntie
tahu orang yang duduk di rumah ini dulu pergi mana?” Amira cuba mendapatkan
maklumat dari perempuan cina tua itu.
“Tak
tahu,” ringkas jawab perempuan cina tua itu menyebabkan Amira berasa kecewa.
Selepas menjawab pertanyaan Amira tadi perempuan cina tua itu berjalan ingin
masuk semula ke dalam rumahnya. Amira memerhatikan perempuan cina tua itu
berjalan sehingga masuk ke dalam rumahnya.
Sebaik
sahaja perempuan cina tua itu masuk ke dalam rumahnya, Amira jatuh melutut.
Kakinya begitu lemah untuk berdiri apabila mendapat tahu lelaki yang
dicintainya itu menghilangkan diri. Sambil melutut Amira mengeluarkan telefon
bimbitnya sekali lagi dan cuba menghubungi lelaki itu. Masih seperti
sebelumnya. Panggilannya hanya dijawab oleh operator.
“Sampai
hati dia tinggalkan aku. Sampai hati dia mungkiri janjinya. Apa yang aku nak
buat ni? Aku memang tak boleh balik rumah papa lagi sebab papa betul-betul
marah dan benci aku. Dan masalah yang paling besar ialah kandungan aku ni. Ya
Allah sesungguhnya inilah balasan Kau padaku yang melakukan perkara yang kau
tegah,” ujar Amira sambil menangis teresak-esak.
Dia
tiada siapa ketika ini kecuali kawan baiknya Nadia dan Maimunah. Dengan mereka
sahaja Amira boleh mendapatkan bantuan. Dengan payah Amira cuba bangun dan
berjalan masuk ke dalam keretanya. Dengan berbekalkan sedikit kekuatan, Amira
akan cuba untuk menjaga kandunganya walaupun dia begitu benci pada ayah
kandungan itu.
+++++
Amira tersedar dari lamunannya
apabila dia terdengar bunyi bising di dalam bas ekspress yang dinaikinya.
Nampaknya bas ekspress yang dinaikinya dari Alor Setar Kedah telah sampai di
Perhentian Stesen Bas Shah Alam apabila orang ramai sedang bergerak turun dari
bas itu.
Amira
menunggu sehingga semua penumpang di dalam bas itu keluar barulah giliran dia
untuk turun. Dia terpaksa berbuat begitu kerana kandungan di dalam perutnya
yang sudah hampir menceceh 9 bulan menyebabkan dia tidak dapat bergerak laju.
Takut ditolak oleh penumpang lain yang mungkin menyebabkan kecedaraan pada
dirinya dan anak dalam kandungannya.
Amira mengah
apabila dia selamat turun dari bas. Walaupun tangga bas itu tidaklah banyak
seperti tangga rumah flat tetapi Amira tetap juga merasai penatnya. Sebaik
sahaja dia turun dari bas dia mencari kerusi kerana dia sudah tidak tahan lagi
untuk berdiri. Dia memerhatikan kesemua kerusi yang berada berdekatan dengannya
penuh dan pemerhatian matanya terhenti pada sebuah kerusi yang berada tidak
jauh dari tempat dia berdiri.
Selepas dia duduk di atas kerusi itu
dia melepaskan hembusan nafasnya tanda lega dapat duduk dan merehatkan kakinya
yang sudah mula rasa sengal. Selepas 5 minit dia duduk di atas kerusi itu, dia
mengambil telefon bimbitnya dan menaip sesuatu padanya.
‘Maimunah aku dah sampai kat stesen
bas.’ Selepas menaip ayat itu, Amira menakan butang hantar. Tidak sampai
seminit pesanan ringkasnya dibalas.
‘Okey, 10
minit lagi aku sampai. Tungguuuu....’ Amira tersenyum membaca pesanan ringkas itu
sebelum memasukkan semula telefon bimbit dalam beg tangannya.
Tiba-tiba perut
Amira berasa lapar. Dia memerhatikan sekitar stesen bas itu dan mendapati ada
sebuah gerai menjual goreng pisang yang tidak jauh dari tempat duduknya.
Walaupun tidak begiti jauh tetapi agak sukar juga Amira untuk berjalan sampai
ke gerai itu. Oleh kerana terlalu lapar Amira gagahkan juga untuk membeli
goreng pisang bagi mengisi perutnya.
Semasa
berjalan telefon bimbitnya berbunyi pula. Cepat-cepat dia membawa keluar
telefon bimbit itu kerana menjangkakan Maimunah menghubunginya. Tetapi bukan
Maimunah kerana hanya tertera nombor pada skrin telefon bimbintnya. Amira
memerhatikan nombor yang tertera itu dengan kerutan pada keningnya. Dia seperti
kenal akan nombor tersebut. Lantas dia menjawabnya.
++++
Farhan sedang memandu kereta untuk
pulang ke rumah. Malam tadi dia tidak tidur kerana terpaksa menyertai operasi
membenteras penagihan dadah di sekitar Subang Jaya. Jadi waktu tidurnya adalah
apabila dia pulang ke rumah sewanya nanti. Tugas sebagai seorang pegawai polis
memang begitu. Kadang-kadang pernah dia tidak tidur selama 2 hari gara-gara
diarahkan menyerati operasi besar-besaran. Begitulah tugas Farhan yang bertugas
di Bahagian Narkotik Ibu Pejabat Polis Shah Alam. Tetapi baginya ianya adalah
satu amanah yang perlu dia galas dan bertanggungjawab terhadapnya.
Sebelum
pulang ke rumah sewanya, kebiasaannya Farhan akan singgah di sebuah restoran
yang berhadapan dengan Stesen Bas Shah Alam untuk membeli makanan tengahari.
Selalu menu pilihannya ialah nasi ayam kerana ianya tidak perlu tunggu untuk
dimasak dan cepat disediakan. Farhan hampir sampai di restoran itu dan telefon
bimbitnya berbunyi tanda ada panggilan masuk. Dia tersenyum apabila mengetahui
gerangan pemanggilnya dan segera memberhentikan kereta di tepi jalan sebelum
menjawabnya.
“Hello
sayang,” tegur Farhan sebaik sahaja panggilan itu dijawab. Panggilan itu
datangnya dari tunangnya yang bernama Diyana. Sebab itu Farhan berasa gembira
apabila menerima panggilan itu. Nampak sangat dia begitu sayang pada tunangnya
itu. Bermulalah perbualan diantara Farhan dan tunangnya. Sempat Farhan memasang
lampu signal sebelah kiri tanda kenderaannya tidak bergerak.
+++++
“Assalamualaikum,” pemanggil yang
menelefon Amira memberi salam. Hampir menitis air mata Amira mendengar suara
itu. Dalam keadaan sebak dia menjawab salam.
“Ni
along Mira kan?” pemanggil itu bertanya pula.
“Hmm..
Mariah..,” jawab Amira dalam keadaan mencebik. Sempat dia menyebut nama
pemanggil itu.
“Along sihat ke?” Mariah bertanya
khabar Amira.
“Alhamdulillah
sihat. Mariah sihat?” Terangguk-angguk
Amira menjawab.
“Alhamdulillah
sihat juga,” balas Mariah.
“Papa,
mama?” Tiba-tiba Amira teringat kedua ibu-bapanya.
“Sihat juga Long.
Along tak nak balik jumpa kami ke? Kami semua rindu dengan Along. Papa dah tak
marah kat Along. Papa nak Along pulang kat rumah kita,” beritahu Mariah
membuatkan Amira bertambah sebak. Memang dia rasa bersalah kerana bersikap
kurang ajar pada papanya dahulu. Dia tidak sangka papanya sanggup memaafkannya.
“Mana Mariah dapat nombor
telefon baru Along?” Amira tidak menjawab pertanyaan Mariah sebaliknya dia
menyoal adiknya pula.
"Kak Nadia yang bagi. Dia risaukan
kat Along sebab dia cakap Along mengandung. Betul ke?”
Amira
terdiam. Dia tidak sangka Nadia yang memberi nombor telefonnya kepada Mariah.
Dia tahu Nadia begitu begitu risau keselamatnya ketika dia hendak pulang ke
Shah Alam dari rumah sewa Nadia di Kedah. Sebab itu dia merasakan Nadia
terpaksa memberitahu adik Amira Mariah mengenai kepulangannya ke Shah Alam.
“Along,”
Mariah menegur sekali lagi apabila pertanyaannya tidak berbalas.
“Ye Mariah, Along mengandung.
Sudah nak bersalin,” akhirnya Amira menjawab. Suaranya agak perlahan tetapi
jelas didengar oleh Mariah.
“Minta
maaf ye kalau Mariah bertanya. Along dah kahwin ke?” Kali ini soalan Mariah
agak sensetif. Amira sedikit tersentak mendengarnya. Dia tidak tahu adakah dia
patut berbohong atau menceritakan perkara yang sebenar.
“Along
dah kahwin.” Ringkas jawapan Amira dan semestinya itu adalah jawapan yang
dusta. Dia tidak sanggup untuk memberitahu bahawa anak yang dikandungnya tidak
berbapa.
“Oh, syukurlah. Kak Nadia tak pun
cakap kat Mariah pasal suami Along. Suami Along ada kat situ tak?”
“Ada,”
sekali lagi Amira berbohong.
“Kirim
salam kat abang ipar Mariah tahu. Satu lagi boleh tak Mariah datang bawa papa
dengan mama jumpa dengan Along. Kak Nadia ada bagi alamat rumah Along.”
‘Sampai alamat rumah Maimunah si
Nadia ni bagi. Kenapalah tak berbincang dengan aku dulu,’ kata Amira di dalam hati. Marah juga dia pada Nadia kerana menceritakan
kesemua perihal dirinya pada adiknya. Nasib baik kawannya itu tidak
menceritakan dengan lebih lanjut mengenai kandungannya itu.
“Kalau
Mariah nak datang, datanglah. Tapi beritahu Along dulu tahu,” Amira
mengingatkan. Tiba-tiba dia berfikir kalau keluarganya datang nanti mana dia
hendak cari suami jika mereka bertanya mengenainya. Lagi-lagi kalau papanya
yang bertanya mesti sukar untuk dia menjawab kerana tidak sanggup untuk menipu
papanya lagi.
“Okey
Along. Mariah tak sabar nak ceritakan berita gembira kat mama dengan papa.
Apa-apa nanti Mariah telefon semula,” ujar Mariah. Suara ceria jelas kedengaran
di corong telefon bimbit Amira.
“Okey,
assalamualaikum,” Amira memberikan salam tanda untuk menamatkan panggilan dan
Mariah menjawab salam itu sebelum talian dimatikan. Selepas perbualan diantara
Amira dengan Mariah tamat, Mariah segera berjalan untuk melintas jalan.
Perutnya mesti diisi segera memandangkan perutnya rasa begitu lapar sekali.
Tidak dapat dipastikan adakah dia yang lapar atau bayi dalam kandungannya itu.
Semasa
Amira melintas tiba-tiba perutnya berasa sakit mencucuk-cucuk. Diikuti dengan
lelehan air yang mengalir bermula dari peha hingga ke betis. Cepat-cepat dia
memegang perutnya yang sakit itu. Makin lama makin sakit. Hendak sahaja dia
menjerit di situ tetapi ditahannya. Dengan perlahan dia meneruskan perjalanan.
Dia berjalan ke arah sebuah kereta yang dipakir di tepi jalan. Lantas dia
mengetuk cermin tingkap kereta itu.
++++
“Okey sayang bye-bye.
Assalamualaikum,” ucap Farhan sebelum menamatkan panggilan yang dibuatnya tadi.
Selepas itu dia meletakkan telefon bimbitnya di dalam dash board kereta sebelum
bersedia untuk memulakan perjalanan.
Ketika
Farhan hendak memasukan gear dia dikejutkan dengan ketukan pada cermin tingkap
kereta. Dia menoleh dan melihat Amira sedang menahan kesakitan sambil tangannya
menahan cermin kereta Farhan. Melihatkan Amira yang dalam kesakitan segera
Farhan membuka kunci pintu keretanya. Belum sempat dia membuka pintu kereta
Amira terlebih dahulu masuk ke dalam keretanya di bahagian belakang.
“Argh...
sakit-sakit. Tolong bawa saya pergi hospital. Saya rasa seperti hendak bersalin!”
Pinta Amira. Farhan mula menggelabah.
Assalamuailaikum
BalasPadamBila cite suami olok-olok ni nak publish?
dah bertahun tunggu
harap penulis dapat meneruskannya hingga jaya
tak sabar nak tunggu ia diterbitkan.
SELAMAT MAJU JAYA