Kahwin Dengan Cina Buta Bab 9
BAB
9
Hasrol masuk ke ruang solat tingkat atas. Dia
terpaksa menaiki tangga untuk sampai di situ. Zaki pula berada di belakang
Hasrol mengikut memanjat tangga batu yang bersulamkan mozek putih. Hasrol
kelihatan tergopoh gapah semasa menaiki tangga kadang-kadang kakinya tersadung
semasa diangkat untuk diletakkan di atas tangga batu seterusnya. Hampir saja
dia jatuh ketika kakinya tersadung tetapi nasib baik tangannya sempat memegang
erat penghadang besi tangga itu.
“Tak sabar nampak nak jumpa bakal pengantin,” Zaki
memerli apabila melihat gelagat rakannya yang agak kelam kabut itu.
Hasrol
melirik matanya kepada Zaki lalu mengulum satu senyuman. Dia meneruskan
pendakiannya yang tinggal beberapa anak tangga lagi. Apabila kakinya mencecah
lantai ruang solat atas, matanya mula melilau meninjau kawasan ruang solat atas
itu. Ada beberapa orang yang sedang duduk di dalam dua kumpulan. Satu kumpulan lelaki
dan satu kumpulan perempuan. Mata
Hasrol melihat seorang lelaki tua berjubah dan berserban putih duduk bersila
sedang menyemak dokumen-dokumen pernikahan mereka. “Agaknya inilah Pak Imam
yang akan nikahkan aku Ki,” kata Hasrol kepalanya didekatkan dengan Zaki yang
berada dibelakangnya dan matanya masih tidak putus memandang orang tua itu.
“Yelah kot. Yang lain tak de nampak
ciri-ciri macam imam pun. Eh..bekas bini Taufik tu mana? Sapa namanya? Marisa
ye?” Soal Zaki lalu dikalihkan pandangannya pada belah perempuan.
Mendengar
soalan daripada Zaki, mata Hasrol juga dikalihkan untuk mencari Marisa yang
sedang duduk diantara empat orang perempuan yang berada di situ. Dia melihat
Zura yang duduk bersimpuh yang ketika itu sedang memandangnya juga. Mata Hasrol
yang tidak berkelip itu berubah pandangannya pada perempuan yang duduk
disebelah Zura. Perempuan yang memakai baju kurung biru itu duduk bersama dengan
seorang budak lelaki yang sedang menghisap gula-gula lollipop. Matanya terpaku
memandang perempuan itu. ‘Adakah itu
Marisa?’ hatinya menimbulkan tanda tanya.
Tatkala itu Marisa,
perempuan yang memakai baju kurung biru itu juga memandang wajah Hasrol. Lalu
senyuman manis diberikan. Senyuman untuk bakal suami sementaranya. Hasrol masih
lagi terpaku. Mulutnya seperti hendak membalas senyum tetapi susah untuk
diukir. Akhirnya senyuman tawar yang dilepaskan.
“Hasrol
Bin Saad!” Pak Imam memanggil Hasrol yang matanya masih terpaku ke arah Marisa.
Hasrol
terkejut lalu menoleh pandangannya pada Pak Imam. “Ye…Ye, Pak Imam,” Hasrol
gugup.
“Kalau
nak tenung pun tunggulah lepas nikah nanti. Dah nikah nak tenung 24 jam pun tak
apa,” sakat Pak Imam yang dari tadi memerhatikan gelagat Hasrol.
Hadrin yang
berada di ruang solat atas itu pun ketawa terbelahak termasuk Marisa yang
ketawa sambil menutup mulutnya. Hasrol tersengih-sengih apabila diusik. Matanya
sempat menjeling kepada Marisa yang masih bersisa ketawa. Hasrol menapak
perlahan-lahan ke arah Pak Imam yang sudah bersedia untuk mengijabkabulkannya
dengan Marisa. Sampai sahaja dihadapan Pak Imam salam dihulurkan seraya dia
ingin duduk bersila.
“Aik
siap keris bagai ni. Nak bersanding ker?” tegur Pak Imam apabila melihat keris
yang tersarung di dalam sampin Hasrol.
“Excited nak kahwin ni Pak Imam sampai
nak nikah pun pakai keris,” salah seorang hadirin melontarkan pandangan.
Ketawa
berdekah-dekah mula kedengaran lagi. Hasrol tersenyum kecil dia pun tidak
terfikir yang keris hanya digunakan ketika bersanding. Mungkin kerana kerap
bernikah menyebabkan dia keliru antara nikah dan bersanding.
‘Kena lagi,’ bisik hatinya. Dia
mengeluarkan keris yang tersarung di dalam sampinnya itu lalu diserahkan kepada
Zaki yang juga kelihatan mengertawakan dia.
Apabila
punggung Hasrol mencecah lantai tiba-tiba sahaja jantungnya berdegup dengan
laju. Dia berasa agak gelabah untuk bernikah kali ini walaupun dia sudah
melakukan termasuk kali ini sebanyak tiga kali. Mungkin usikan yang diterimanya
tadi menyebabkan hatinya mula tidak tenteram.
Peluh dingin mula mengalir perlahan membasahi dahinya.
‘Kenapa dengan aku ni,’ dia bertanya pada
dirinya sendiri. Ketika itu Pak Imam sedang mendapatkan tandatangan saksi
pernikahan. Cepat-cepat tangannya mengelap air peluh yang mengalir sambil
matanya melirik pada Marisa sekali lagi.
+++++
“Risa, hensem gak muka Hasrol tu. Kalau aku pun tak
kisah dapat kahwin dengannya,” Zura membisikkan pada Marisa yang matanya masih
memandang Pak Imam dan Hasrol.
“Ish
kau ni, saja je nak sakat aku,” Marisa berasa malu bila mendengar kata-kata
Zura tadi. Dia pun memang mengakui Hasrol mempunyai wajah yang agak tampan.
Tetapi cintannya tetap pada seorang lelaki yang bernama Taufik sampai bila-bila
pun. Tujuan dia bernikah dengan Hasrol pun disebabkan dia ingin bersama semula
dengan Taufik semula.
“Mama, tu ke papa baru Ashraf?”
Ashraf pula menuturkan soalan yang membuatkan Marisa tidak senang duduk.
“Ye
Ashraf. Ashraf macam mana?” Marisa pula menyoal Ashraf.
“Ashraf suka. Badan dia macam
Ben-10 yang warna merah tu,” Ashraf menyamakan badan Hasrol dengan salah
seorang karekter Ben-10 yang berbadan sasa. Tergelak kecil Zura dengan Marisa
mendengar celoteh Ashraf tadi.
Marisa
bersyukur kerana Ashraf dapat menerima kehadiran Hasrol walaupun kehadiran
Hasrol hanya sementara. Tetapi bagaimana pula sifat atau perangai Hasrol itu
sendiri? Marisa hanya melihat Hasrol dari segi fizikalnya sahaja tetapi bukan
dari segi sifatnya. Mungkin Hasrol itu panas baran orangnya. Itu yang
membuatkan Marisa tiba-tiba merasa bimbang akan perkara itu. Tetapi dia
berharap agar Hasrol dapat menjadi suami yang bertanggungjawab walaupun
hubungan suami isteri mereka hanya seminggu lamanya.
+++++
“Hasrol Bin Saad!” Pak Imam memanggil nama Hasrol
sambil tangannya sedang bersalaman dengan Hasrol. Itu tandanya bermula upacara
akad nikah diantara Hasrol dengan Marisa. Manakala yang lain hanya memerhatikan
sahaja.
“Ya,
saya.” Hasrol menyahut. Suaranya agak bergetar sikit.
“Aku
nikahkan di kau dengan Marisa Binti Shukri dengan mas kahwin RM300 ringgit
tunaiiii…,” suara Pak Imam bergema di dalam ruang solat itu.
“Aku
terima nikahnya Marisa Binti Shukri dengan mas kahwin RM300 ringgit tunai,”
balas Harol. Walaupun dia agak gelabah tetapi dia dapat menjawab akad tadi
dengan lancar. Kedengaran perkataan sah yang mengesahkan pernikahan Hasrol
dengan Marisa saling bersahutan. Imam mengangkat tangan berdoa manakala yang
lain mengaminkan. Hasrol tidak terkecuali mengangkat tangan berdoa. Sempat juga
dia curi-curi memandang Marisa. Matanya mengalih pula pada Ashraf. Ashraf
menjelir lidah padanya. ‘Eh budak ni.’
Selepas
upacara doa, Hasrol disuruh oleh Pak Imam melakukan solat sunat nikah. Hasol
bingkas bangun untuk melakukan solat sunat itu. Dia tiada masalah untuk
melaksanakan solat sunat nikah kerana masuk kali ini sudah hampir sepuluh kali
dia melakukannya. Tetapi solat-solat wajib yang lain diabaikan. Dia menganggap
bahawa dirinya masih muda dan masih berpeluang untuk bertaubat bila sudah tua nanti.
Itu adalah anggapannya sahaja tetapi ajal tidak mengira muda dan tua. Jika
sudah sampai serunya akan kembali juga seseorang itu kepada Tuhannya.
Selepas
menunaikan solat sunat nikah, kini tiba masanya untuk majlis pembatalan air
sembahyang. Hasrol tidak tahu menahu ada majlis seperti itu. Majlis itu saja
dirancang oleh AJK surau disitu untuk memeriahkan lagi majlis pernikahan.
Tetapi Hasrol tidak membawa barang pembatal air sembanhyang yang selalu
diamalkan oleh adat Melayu kita. Salah seorang AJK surau di situ meminta Hasrol
mencium dahi pengantin perempuan sebagai syarat sahaja.
Hasrol bingkas bangun berjalan dan berdiri
betul-betul berdiri dihadapan Marisa. Marisa yang duduk bersimpul tertunduk
malu. Lalu Hasrol duduk berteleku dihadapan Marisa. Diciumnya dahi Marisa untuk
menandakan bahawa dia sudah menjadi suami Marisa sekarang.
Ashraf yang berada disebelah hanya
memerhatikan sahaja gelagat mereka berdua. Hasrol yang masih berteleku itu
memandang wajah Ashraf. Digosoknya kepala Ashraf sambil melemparkan senyuman
manis. Ashraf mencebik seperti hendak nangis. Tiba-tiba sahaja dia memeluk
Hasrol. Dipeluknya Hasrol dengan erat seperti sedang melepaskan ridunya pada
seseorang. Hasrol membalas pelukan itu sambil tangannya menepuk manja belakang
badan Ashraf.
“Anak awak ke?” Soal Hasrol.
“Ya..Ashraf
namanya,” jawab Marisa. Marisa pun agak terkejut melihat perbuatan Ashraf tadi.
Dia tahu bahawa anaknya itu merindui kasih sayang seorang ayah. Pada hari ini
Ashraf telah mendapat ayah baru dan peluang ini digunakan untuk melepaskan
kerinduannya kepada lelaki yang bergelar ayah.
Ashraf melepaskan pelukkannya. Dia
merenung muka Hasrol. “Papa,” Ashraf berkata dengan perlahan.
Hasrol
hanya mengangguk dan tersenyum. ‘Tak
sangka aku dah jadi papa hehe..,’ kata Hasrol di dalam hati. ‘Tapi takpelah seminggu je aku jadi papa
dia. Lepas tu bye-byelah,’ kata hatinya lagi.
“Papa
janji tak akan tinggalkan Ashraf dengan mama,” rayu Ashraf pada Hasol. Dia
tidak tahu hakikatnya bahawa pernikahan antara Hasrol dengan ibunya adalah
sementara. Sudah pasti akan terpisah jua akhirnya. Ayah baru yang diharapkan
dapat memberi sinar kepada diri dan ibunya yang selama ini telah kehilangan
kasih sayang dari empunya nama itu.
Hasrol terkedu mendengar
permintaan Ashraf tadi. Begitu juga Marisa. Hasrol tidak menjangka yang Ashraf
akan mengharapkan bahawa dia akan menjadi ayahnya untuk selama-lamanya.
Sedangkan dalam perjanjian hanya seminggu sahaja. Adakah dia perlu berjanji
kepada budak lelaki itu walaupun dia pasti janji dia itu adalah tidak benar
belaka. Hasrol yang dari tadi memandang wajah Ashraf dialihkan pada Marisa.
Marisa
mengangguk meminta Hasrol untuk berjanji pada Ashraf. Matanya mula berkaca. Dia
pun tidak menyangka Ashraf akan berkelakuan begitu. Dia sudah hilang akal untuk
memikirkan perkara yang akan mendatang nanti dimana Hasrol akan meninggalkan
dia dengan Ashraf nanti. Tetapi janji tetap diberikan untuk menjaga hati
Ashraf. Mengenai penceraiannya dengan Hasrol dalam seminggu lagi akan
difikirkan kemudian. Tahulah nanti alasan yang akan diberikan kepada Ashraf.
“Baiklah papa janji Ashraf,” Hasrol
membuat janji palsu kepada Ashraf.
Ashraf
yang mendengar janji palsu Hasrol melonjak gembira dan memeluk Hasrol semula.
Hasrol tersenyum tawar lalu memandang wajah Marisa dengan pandangan yang
keliru. Kelihatan mulut Marisa melirik perkataan ‘thanks’ yang tidak didengar oleh Hasrol tetapi diketahui akan
perkataan itu. Hasrol tersenyum tawar lagi. Dia tidak pernah melalui
detik-detik begini. Lebih-lebih lagi pujuk rayu seorang budak kecil.
+++++
Ketika ini Hasrol sedang memandu kereta bersama
Marisa dan Ashraf. Kereta Mini Cooper yang menyusur laju melalui bandaraya Shah
Alam dinaiki oleh pasangan yang baru sahaja diijabkabulkan. Marisa duduk di
ruang penumpang di hadapan bersebelahan dengan Hasrol. Manakala Ashraf duduk di
kerusi belakang. Ashraf kelihatan sedang meninjau-ninjau pemandangan luar
melalui tingkap kereta yang tertutup. Sesekali dia menepuk cermin tingkap
kereta itu tanda teruja menaiki kenderaan itu.
“Ashraf
nanti rosak kereta abang…Eh, papa nanti,” Marisa menegur anaknya. Dia masih
lagi tidak biasa untuk memanggil Hasrol dengan gelaran papa.
Hasrol
memandang Marisa. Dia hanya tersenyum sahaja. Dengan mengenakan kaca mata hitam
Marisa terpempan memandang wajah Hasrol yang melirikkan senyuman. Marisa
mengalihkan mukanya kehadapan. Hatinya sedikit debar.
“Sebelum
kita pergi ambil baju kat rumah awak kita makan tengahari dulu nak?” cadang Hasrol.
Matanya masih memandang jalan raya.
“Nak!
Nak! Ashraf lapar la. Ashraf nak makan ayam goreng KFC,” Ashraf pula yang
menjawab.
“Ashraf..,” Marisa memusingkan
kepalanya kebelakang dan melihat wajah Ashraf dengan pandangan serius.
“Eh,
tak apa awak. Saya pun dah lama tak makan KFC. Kita makan kat KFC ye Ashraf,”
kata Hasrol sambil wajahnya memandang ke arah Marisa dan menguntum satu
senyuman. Marisa membalas senyuman Hasrol. Hatinya berasa lega kerana
keperihatinan Hasrol terhadap anaknya.
“Terima
kasih papa,” Ashraf tiba-tiba berdiri dibelakang kusyen tempat duduk pemandu
lalu mencium pipi Hasrol. Marisa terkedu manakala Hasrol masih setia dengan
pemanduannya. Seketika Hasrol
tersenyum lalu berkata. “Sama-sama Ashraf.”
Mereka
behenti singgah untuk makan di restoran KFC Seksyen 2, Shah Alam. Hasrol
dilihat pandai mengambil hati Ashraf. Marisa juga berasa senang dengan layanan
yang diberikan oleh Hasrol terhadapnya dan juga Ashraf. Semenjak Marisa
bercerai dengan Taufik ini kali pertama dia melihat Ashraf dalam keadaan begitu
gembira sekali.
Selepas
makan mereka bergerak ke rumah sewa Marisa untuk mengambil semua baju dan
barang-barang yang diperlukan kerana Marisa dengan Ashraf akan tinggal bersama
Hasrol di apartment mewahnya di Klang. Mereka akan tinggal bersama selama
seminggu dan selepas itu Marisa akan diceraikan oleh Hasrol dan tugas untuk
menjaga Marisa dan Ashraf akan diambil alih oleh Taufik pula. Hasrol dan Marisa
bersependapat begitu.
Tetapi
bagi Taufik pula ianya adalah perancangan yang dirancang olehnya semata-mata
kerana dendamnya terhadap ayah Marisa yang telah meninggal dunia masih tidak
padam lagi.
Marisa yang
masih mencintai dan menyayangi Taufik akan menjadi mangsa terhadap dendam
kesumat lelaki itu terhadap ayahnya. Begitu juga Ashraf selepas ditinggalkan
oleh Taufik, Hasrol pula yang menjadi penggantinya. Tetapi jika dia
ditinggalkan oleh Hasrol juga pada suatu hari nanti akan memberi tekanan
kepadanya dan mungkin akan menyebabkan berlaku kemurungan terhadap budak yang
malang itu.
Siapa memerlukan perkhidmatan Cina buta Boleh WhatsApp saya ke 0 1 1 2 8 4 6 2 7 9 8
BalasPadam