Kahwin Dengan Cina Buta Bab 18
BAB
18
“Dokumen ni laporan siasatan dari orang yang telah
aku upah bagi mencari maklumat pemilik saham terbesar tu?” Dato’ Zakaria
melemparkan secara lembut dokumen yang berada di atas mejanya tadi ke arah
Taufik.
Taufik
terus mengambil dokumen itu dan membacanya satu persatu. Dia mengerutkan
keningnya tatkala membaca dokumen itu. Selepas habis membaca dia meletakkan
semula dokumen itu di atas meja. Pandangan matanya dialihkan kepada Dato’
Zakaria.
“Macam mana kenal
tak siapa pemegang saham terbesar tu?” Soal Dato’ Zakaria selepas melihat Taufik
habis membaca laporan dokumen yang diberikannya tadi.
“Kenal. Zainal Bin Shukri abang kepada
Marisa. Bekas abang ipar saya. Tetapi dia berada dimana sekarang? Marisa
beritahu pada saya yang abangnya itu dah menghilangkan diri,” jawab Taufik
sambil melontarkan satu soalan juga.
“Perkara
itu masih dalam siasatan lagi. Orang aku sedang cuba untuk menjejak lokasi
Zainal tu. Dengar khabar dia telah keluar Negara. Tetapi tak boleh nak tunggu
maklumat dari orang aku saja. Kau pun kena bertindak juga,” jelas Dato’
Zakaria.
Muka Taufik berubah
seolah-olah tidak mengerti. “Saya kena bertindak? Maksud Dato’?” Taufik
mengangkat sedikit punggungnya tanda tidak senang duduk selepas mendengar
penjelasan Dato’ Zakaria tadi.
“Si
Zainal tu kan abang bekas bini kau. Mungkin suatu hari nanti Zainal tu akan
cuba berhubung dengan adiknya. Jadi kau kenalah rapat dengan bekas bini kau tu
supaya kau tahu bila Zainal tu cuba menghubungi adiknya. Kalau boleh aku nak
kau rujuk dan nikah balik Marisa.”
Jawapan
daripada Dato’ Zaianal tadi mengejutkan Taufik. Lantas dia cuba untuk
mengingati tarikh akhir perkahwinan diantara Marisa dengan Hasrol sebelum
mereka bercerai. ‘Esok adalah hari
terakhir. Jadi aku masih ada peluang untuk rujuk dia kembali.’
“Baiklah
Dato’, tentang perkara itu Dato’ usah khuatir. Saya sudah rancang awal-awal
lagi. Dalam masa dua hari lagi Marisa akan bercerai dengan lelaki yang telah kami
upah dan saya akan rujuk dia semula. Segala arahan Dato’ akan saya jalankan,”
janji Taufik. Nampaknya dia terpaksa membatalkan hasratnya untuk memerangkap
Marisa. Dia terpaksa berkahwin dengan perempuan yang dibencinya selain akan
kehilangan sejumlah wang yang banyak akibat membayar perkhidmatan cina buta
yang diberikan oleh Hasrol. Tetapi dia tidak kisah akan semua itu, asalkan
cita-citanya untuk mendapatkan Syarikat Sentra Sdn Bhd tercapai.
“Bagus… Bagus… Kalau ada apa-apa
maklumat terkini aku akan hubungi kau. Kau pun sama kalau dapat tahu Zainal tu
cuba menghubungi adiknya itu cepat-cepat
beritahu aku,” pesan Dato’ Zakaria sambil jari telunjuknya diajukan pada
Taufik.
“Kalau kita dapat tahu dimana lokasi
sebenar Zainal tu apa yang Dato’ akan buat?”
“Hehehe…kita
tamatkan riwayatnya sahaja. Kalau boleh dengan adiknya sekali,” Dato’ Zakaria
menjelaskan rancangan kotornya itu. “Kalau mereka berdua dah tiada senang kau
nak kuasai syarikat itu,” Dato’ Zakaria menyambung katanya lagi.
Taufik
menelan air liur. Tidak terfikir pula dia sampai hendak membunuh. Bapa
mertuanya mati dahulu pun bukan dia yang bunuh, tetapi mati mengejut akibat
sakit jantung. Tetapi semua itu pun atas rancangan niat jahatnya juga. Demi
untuk merealisasikan cita-citanya itu. Dia tidak kisah jika ada nyawa yang akan
melayang nanti.
Selepa habis berbincang dengan Dato’
Zakaria, Taufik beredar dari pejabat milik lelaki tua itu. Kini dia berada diparking basement. Dia berjalan menuju ke
arah keretanya yang diparkir tidak jauh dari pintu masuk pejabat. Dia berhenti
melangkah tatkala berada dihadapan keretanya. Lalu dia membuka pintu dan masuk
kedalam serta melabuhkan punggungnya di atas kerusi. Enjin kereta dihidupkan
akan tetapi hampir 5 minit berlalu kereta yang dinaiki oleh Taufik masih belum
bergerak lagi.
Rupa-rupaanya Taufik
sedang termenung sambil merenung cermin hadapan keretanya. Tangannya ketika itu
sedang memegang telefon bimbit dan nama Marisa tertera di dalam skrin telefon
itu hanya tinggal untuk didail sahaja, tetapi dia membatalkan niatnya. Dia pun
tidak tahu mengapa wujud satu perasaan yang pelik yang menghantuinya. Perasaan
pelik itu seperti memberitahunya bahawa Marisa sudah bahagia hidup bersama
dengan dengan Hasrol dan mereka tidak akan bercerai. Dia mengetap bibirnya.
‘Kalau
betul Marisa dengan Hasrol bercinta tak ada peluanglah aku nak rujuk semula
Marisa. Kalau aku call Marisa sekarang pun kalau Hasrol tahu mesti dia tak bagi
Marisa jumpa aku. Aku mesti guna cara lain.’ Tiba-tiba Taufik teringat akan
Zura yang merupakan teman baik Marisa.
‘Zura! Ya Zura akan menemukan aku dengan
Marisa nanti!’ Skrin telefon bimbit Taufik bertukar nama Zura lalu punat
dial ditekan. Taufik menunggu panggilannya dijawab oleh Zura.
“Hello..Hai awak,” Zura terus
bersuara apabila menjawab panggilan dari kekasih gelapnya itu.
“Hai…
Awak dah berjumpa dengan Marisa ke belum?” Taufik membalas lalu melontarkan
soalan.
“Belum lagi.
Esok petang saya dah janji dengnnya,” jawab Zura.
‘Yes!’ Hati Taufik melonjak gembira.
“Esok petang pukul berapa dan kat mana?”.
“Pukul
2.30 petang dekat Restoran Tat Nasi Ayam Seksyen 23. Kenapa awak tanya?” Zura
pula menyoal Taufik. Dia memang ingin mengetahui sebab apa Taufik ingin tahu
masa dan lokasi pertemuannya dengan Marisa.
“Esok saya nak berjumpa dengan
Marisa,” ringkas Taufik menjawab.
“Kenapa awak nak jumpa dia? Bukan
awak memang tak nak jumpa dia lagi selepas dia berkahwin dengan cina buta tu?”
Lagi soalan diajukan oleh Zura terhadap Taufik.
“Memanglah.
Tapi ini melibatkan cita-cita saya untuk menjadi CEO Syarikat Sentra Sdn Bhd.
Awak ajak Marisa keluar seperti biasa nanti saya akan datang jumpa Marisa kat
sana juga.” Jelas Taufik.
Zura terdiam seketika.
“Mengapa awak nak jumpa Marisa? Mesti ada apa-apa. Saya nak awak berterus
terang.”
“Saya
nak rujuk semula Marisa. Jadi rancangan saya utuk perangkap dia dengan cina
buta itu terpaksa dibatalkan. Jadi esok saya nak jumpa dia untuk pastikan yang
dia nak terima hasrat saya untuk rujuk dia semula. Bukan apa takut dia dah
tangkap cintan dengan cina buta tu dan tak terima saya semula, jadi rancangan
dan cita-cita saya akan musnah segalanya,” terang Taufik. Selepas Taufik menamatkan kata-katanya dia
mendengar bunyi dengusan ditelefon bimbitnya. Dan semesti ianya dengusan
daripada Zura.
“Apa! Awak nak kahwin semula dengan Marisa? Habis janji awak
dengan saya macam mana? Saya sudah bosan menunggu untuk berkahwin dengan awak.
Sampai bila kita nak macam ni!!”
“Awak
kena faham yang saya masih belum dapat lagi menguasai Syarikat Sentra Sdn Bhd
tu. Awak kena bersabar dan menunggu sehingga saya benar-benar dapat ambil alih
syarikat itu baru saya dapat tunaikan janji saya untuk mengahwini awak,” kata
Taufik masih dengan suara yang lembut. Kalau diikutkan hati hendak sahaja dia
menengking Zura tetapi terpaksa dia bersabar memandangkan Zura boleh digunakan
lagi. Digunakan untuk membantunya mendapatkan perihal mengenai Marisa dan
tempat untuk memuaskan nafsunya juga.
Dengusan
Zura semakin perlahan. Mungkin dia berpuas hati dengaan penjelasan yang
diberikan oleh Taufik tadi. “Baiklah saya percayakan awak. Tapi awak ingat,
jangan cuba mungkiri janji awak pada saya. Sudah banyak saya berkorban untuk
awak tau,” Dengusan tidak kedengaran lagi tetapi diganti dengan suara merengek
dari Zura.
“Saya
janji sayang,” kata Taufik sambil tangan sebelah kirinya diangkat tanda
berikrar. Tetapi perbuatannya itu bukan dapat dilihat oleh Zura pun. “Petang
esok macam biasa kita buat-buat tak sengaja jumpa dan lepas itu beri peluang
pada saya untuk becakap berdua-duan dengan Marisa,” pesan Taufik.
“Ok
saya faham. Kita jumpa esok. Bye sayang.”
“Bye.”
Klik. Taufik menamatkan panggilan. Keretanya yang tidak bergerak tadi akhirnya
digerakkan juga apabila Taufik memasukkan gear dan menekan minyak. Sambil
memualas steringnya dia tersenyum. “Bukan susah nak ambil hati perempuan.
Terutama Marisa. Esok kau mesti cair dengan rayuan aku,” kata Taufik sendiri.
Keretanya yang dipandunya meluncur laju sambil fikirannya melayang memikirkan
perancangannya pada esok hari.
++++
Lewat petang begini Marisa sedang sibuk menyediakan
makan malam untuk keluarganya. Hasrol dengan Ashraf pula sudah keluar pergi ke
taman berhampiran menghabiskan masa petang mereka dengan berjogging. Semenjak
dari tengahari sehingga sekarang Marisa masih belum memberi keputusannya
mengenai cadangan yang dikemukan oleh Hasrol pada pagi tadi. Dia masih lagi memikirkan
pilihan yang patut dibuat antara Hasrol dan Taufik mana yang layak untuk
menjadi suaminya dan ayah kepada Ashraf.
Tiba-tiba Marisa teringatkan Puan
Aminah. Mak kepada Hasrol yang membuatkan dia bertambah serba salah apabila dia
memilih Taufik nanti. ‘Mesti mak sedih
nanti kalau mak dapat tahu aku dah bercerai dengan Hasrol,’ desus hatinya.
Selepas
siap memasak, Marisa menghidangkan makanan yang dimasaknya di atas meja.
Selepas semuanya selesai Marisa ke dapur semula untuk mambasuh pinggan mangkuk
yang telah digunakan semasa memasak tadi. Marisa terdengar pintu rumah dibuka
dan terdengar juga derupan tapak kaki yang menghampirinya. Apabila Marisa menoleh,
Ashraf berlari mendapatkannya.
“Mama...
Mama… Tengok baju baru Ashraf comel tak?” soal Ashraf apabila langkahnya
terhenti dihadapan Marisa. Baju baru yang dibelinya tadi semasa keluar dengan
Hasrol ditunjuk-tunjuknya.
“Comel
sayang…. Ni Ashraf yang minta ke atau papa yang nak belikan?” Soal Marisa.
“Saya yang nak belikan. Kalau Ashraf minta
pun apa salahnya,” tiba –tiba suara Hasrol kedengaran apabila dia melangkah
masuk ke ruang dapur juga. “Awak, ada air sejuk tak? Dahagalah.”
Marisa membuka peti sejuk lalu
mengambil sebotol air mineral dan dituangkan di dalam dua gelas cawan. Satu
untuk Hasrol dan satu lagi untuk Ashraf.
“Ashraf
pergi mandi. Lepas solat Maghrib nanti kita makan sama-sama,” pesan Marisa.
Selepas meneguk air, Ashraf mengambil
langkah berjalan keluar dari dapur meninggalkan Hasrol dengan Marisa. Hasrol
merenung Marisa. Marisa juga merenung Hasrol. Mereka seperti ingin menyatakan
sesuatu tetapi tidak upaya untuk mengeluarkannya. Hasrol meneguk lagi gelas
bagi menghabiskan baki air sejuk yang tinggal.
Hasrol
menyengetkan mulutnya. “Awak terima kasih ye.”
“Terima
kasih kenapa?” Marisa hairan kerana tiba-tiba Hasrol mengucapkan terima kasih
kepadanya.
“Untuk selama awak
menjadi isteri saya. Esok hari terakhir kita menajdi suami isteri kan? Lagipun
saya belum menerima kata putus dari awak mengenai cadangan saya pagi tadi. Saya
tak paksa. Terpulang pada awak untuk terima atau tidak,” jelas Hasrol. Gelas
yang dipegangnya tadi diletakkan di dalam sinki.
“Patutnya
saya yang ucapkan terima kasih pada awak di atas susah payah awak menjaga kami
dua beranak. Saya rasa bahagia sebenarnya dapat menjadi isteri awak walaupun
perkahwinan kita ni cuma sementara sahaja. Tetapi saya nak tanya awak satu
soalan boleh?”
“Apa dia?” Balas
Hasrol.
“Cadangan
awak pagi tadi memang semata-mata kerana mak atau ada benda lain yang awak
rahsiakan?” Marisa menyoal kembali.
“Maksud awak?” Hasrol tidak
mengerti.
“Maksud
saya… Emm… Mengenai hati dan perasaan. Tak kan awak nak teruskan perkahwinan
kita ni semata-mata nak jaga hati mak sahaja. Sedangkan kita tak mencintai
antara satu sama lain,” terang Marisa. “Tapi awak jangan fikir saya paksa awak
mencintai saya pulak,” sambungnya lagi.
Hasrol merenung wajah Marisa lalu
mengukir satu senyuman. “Awak tak perlu paksa. Saya sendri sudah mula jatuh
cinta pada awak. Sekarang saya pula nak tanya awak satu soalan,” jawab Hasrol.
“Apa
dia?” Soal Marisa tidak sabar ingin tahu. Dia berasa begitu gembira apabila
mendengar pengakuan daripada Hasrol tadi. Jadi selama ini dia tidak bertepuk
sebelah tangan.
“Perasaan awak
kat saya pula macam mana?” Tersengih-sengih Hasrol bertanya.
Marisa pula tersenyum. “Emmm…
Awak rasa?”
“Kalau
awak nak tahu saya punya rasa saya kena jilat awak dulu,” Hasrol merapatkan
dirinya kepada Marisa sambil lidahnya menjilat bibir atasnya. Tak ubah macam
lelaki miang apabila melihat perempuan cantik.
Marisa tergelak melihat
gelagat Hasrol. “Marilah sini kalau berani,” cabar Marisa. Hasrol terus merangkul tubuh Marisa. Dia
menjelirkan sedikit lidahnya seperti hendak menjilat muka Marisa. Tiba-tiba
Marisa menutup hidungnya. Hasrol merasa pelik melihat perbuatan Marisa tadi.
“Kenapa?”
Cepat Hasrol bertanya.
“Bau peluhlah awak. Kalau awak nak
rasa sangat pergi mandi dulu. Tak pasal-pasal saya pengsan nanti,” jawab
Marisa. Tangannya masih menutup hidungnya.
Hasrol
melepaskan rangkulan tangannya dari pinggang Marisa. “Ada je asalan awak. Ok.
Saya mandi dulu. Lepas mandi nanti siaplah awak. Bukan setakat saya rasa saja
saya makan sekali. Baru awak tahu,” Hasrol mencuit hidung Marisa lalu berpaling
pergi meninggalkan Marisa keseorangan disitu.
Marisa memerhatikan Hasrol berjalan
keluar dari ruang dapur. Selepas Hasrol hilang dari pandangnya dia menyambung
semula membasuh pinggan mangkuk yang masih lagi tinggal di dalam sinki.
Wajahnya masih tersenyum memikirkan gelagat yang dilakukan oleh Hasrol tadi.
Macam kebudak-budakkan. Tetapi dia suka. Suka segala-galanya pasal suaminya
itu.
+++++
Selepas menjamu selera, awal-awal lagi Ashraf bangun
dari kerusi dan beralih duduk di atas sofa untuk menonton televisyen. Selalunya
Hasrol akan turut serta menemani Ashraf. Akan tetapi pada malam itu, Hasrol
masih lagi duduk di kerusi makan walaupun mereka sudah habis menjamu selera.
Tanpa
membuang masa Marisa bangun dari kerusi dan mula mengumpulkan pinggan manggkuk
yang telah digunakan tadi.
“Errr…
Awak. Tak apa malam ni biar saya yang
kemas. Awak pergi temankan Ashraf kat depan tu,” Hasrol bangun menawarkan diri
untuk mengemas meja. Lantas dia mengambil pingggan mangkuk yang dipegang oleh
Marisa tadi.
“Betul?
Saya tak paksa tahu,” ujar Marisa. Dia terkejut juga melihat permintaan Hasrol
tadi. Tiba-tiba hendak membantunya mengemas meja makan yang lazim dilakukan
olehnya.
“Betul saya ikhlas ni.
Mulai hari ini saya nak jadi suami yang mithali,” beritahu Hasrol kepada
Marisa. Kedua-duanya tangannya kini sedang memegang pinggan mangkuk.
“Basuh bersih-bersih,
jangan ada tinggal kesan minyak. Thanks
sayang,” pesan Marisa sambil mengenyitkan matanya.
Hasrol tersengih-sengih lalu membawa
pinggang mangkuk yang dipegangnya tadi ke dapur. Oleh kerana tugas membasuh
pinggan mangkuk pada malam ini diambil alih oleh Hasrol Marisa hanya mengelap
meja makan yang dikotori oleh sisa makanan masa mereka menjamu selera tadi.
Sesekali dia menjenguk Hasrol yang sedang sibuk membasuh pinggan mangkuk di
dapur.
Selepas mengelap meja
makan, Marisa berjalan menuju ke dapur secara perlahan-lahan. Sengaja dia buat
begitu agar Hasrol tidak perasan kelibatnya. Sampai sahaja dia betul-betul di belakang
Hasrol, Marisa memeluk lelaki itu dari belakang. Hasrol dapat merasai
kehangatan tubuh Marisa dibelakangnya. Tetapi Hasrol masih lagi meneruskan
tugasannya membasuh pinggan mangkuk sambil mulutnya mengukir senyuman manis.
Bertambah semangat dia membasuh pinggan pada malam itu.
“Awak…
Awak tahu kan yang jodoh dan pertemuan itu semuanya di tangan Tuhan?” Soal
Marisa. Dia masih lagi memeluk Hasrol sambil kepalanya dilentokkan dibelakang
badan Hasrol. Matanya tertutup rapat.
“Tahu.
Termasuklah jodoh kita ni. Hanya Allah sahaja yang tahu apa yang akan berlaku
nanti. Kita cuma hanya merancang Allah yang akan menentukan segala-galanya.
Kenapa tiba-tiba awak tanya macam tu?” Tanya Hasrol sambil menenyeh span pada
pinggan yang dipeganggnya.
“Tadi
awak ada tanya perasaan saya kat awak kan? Sekarang saya nak berterus terang
yang saya juga sudah jatuh cinta pada awak. Awak berjaya mencuri hati saya.
Saya tak sangka yang pada awalnya saya berkahwin dengan awak hanya sebagai
syarat bagi mencapai matlamat saya dengan abang Taufik untuk berkahwin semula.
Akan tetapi saya boleh jatuh hati pada awak pula. Cinta memang tak boleh dijangka,”
ujar Marisa. Erat dia memeluk Hasrol.
“Jadi awak sudah buat keputusan
mengenai cadangan saya pagi tadi?” Hasrol terus menyoal Marisa apabila dia
mendapat tahu bahawa Marisa juga mencintainya.
“Sebenarnya
saya sudah lama sudah buat keputusan. Saya terima cadangan awak itu,” jawab
Marisa.
Hasrol tersenyum. Hatinya
betul-betul gembira apabila mendengar jawapan Marisa tadi. Span yang
dipegangnya tadi digenggam erat sehingga kering air sabun yang meresap di dalam
span itu.
Marisa
menyambung madahnya. “Tapi awak....” Marisa berhenti seketika.
Jantung Hasrol mula berdebar
tatkala mendengar perkataan tapi keluar dari mulut Marisa. Dia menunggu Marisa
menyambung semula kata-katanya.
Lalu Marisa menyembung semula
selepas berhenti seketika. “Tapi..tapi saya akan menerima cadangan awak jika
abang Taufik masih lagi tidak menghubungi atau berjumpa dengan saya sehingga
tamatnya tempoh pernikahan kita iaitu esok.”
Mendengar
kata putus dari Marisa tadi membuatkan Hasrol berfikir sejenak. Esok adalah
hari terakhir pernikahannya dengan Marisa. Adakah dia yakin bahawa Taufik tidak
akan menghubungi atau berjumpa dengan Marisa? Dari awal perkahwinannya dengan
Marisa sehingga sekarang tidak pernah pula dia nampak yang Taufik ada menghubungi
Marisa. Kalau menghubungi pun tidak apatah lagi berjumpa. Dia merasakan yang
Taufik seperti tidak mengambil tahu akan Marisa dan Ashraf.
Dia yakin yang Taufik sudah tidak
ambil peduli lagi tentang Marisa dengan anaknya itu. Hasrol berasa lega selepas
memikirkan yang Taufik berkemungkinan tidak akan menghubungi atau berjumpa
dengan Marisa. Akan tetapi jika berlaku sebaliknya bagaimana pula? Dia terpaksa
menceraikan Marisa dan melepaskan Marisa dan Ashraf pergi meninggalkannya.
‘Semua adalah
ketentuanMu ya Allah,’ hatinya merintih sendiri.
“Awak
kenapa senyap pula?” Marisa mengangkat kepalanya semula dan bertanya kepada
Hasrol.
“Kalau
esok tak pun malam ni Taufik menghubungi awak atau berjumpa dengan awak
bagaimana?” Hasrol menyoal dengan suara yang agak perlahan. Dia sebenarnya
sudah tahu jawapannya. Akan tetapi dia tetap mahu dengar jawapan dari mulut
Marisa sendiri.
Marisa pula
yang terdiam selepas mendengar soalan dari Hasrol tadi. Dia seba salah
sebenarnya untuk menjawab. Tetapi dia mesti jawab kerana kemungkinan perkara
ini akan terjadi, walaupun dia sendiri sudah tawar hati menunggu khabar dari
Taufik.
“Awak… Kan
saya dah cakap jodoh dan pertemuan semua ditangan Tuhan. Jadi kita sebagai
hambaNya hendaklah berdoa agar jodoh kita akan kekal selama-lamanya. Saya tak
perlu nak jawab soalan awak kerana awak sendiri sudah tahu akan jawapannya
kan?” Marisa mengungkapkan kata-kata itu dengan perasaan yang sungguh hiba. Dia
melentokkan semula kepalanya semula pada belakang badan Hasrol.
Hasrol
dapat merasakan ada sedikit air yang membasahi belakangnya. Tahulah dia bahawa
Marisa sedang menitiskan air matanya. Hasrol membasuh tangannya yang telah
disaluti dengan air sabun. Dengan perlahan dia memusingkan badannya menghadap
Marisa. Dia memandang wajah Marisa. Senyuman terukir diwajahnya.
Lalu
dia mengelap sisa air mata isterinya itu. Lantas dia menadah tangannya lalu
berdoa. “Ya Allah ya Tuhanku. Aku memohon kepadaMu. Kau selamatkanlah hubungan
kami suami isteri ini. Sesungguhnya aku amat mencintai wanita dihadapanku ini.
Dan jika ditakdirkan tiadanya jodoh diantara kami, aku redha dengan ketentuan
Mu Ya Allah. Amin Ya Rabbal Alamin,” Hasrol mengusap tangan yang ditadahnya
tadi.
Bergetar
mulut Marisa mendengar doa yang dimunajatkan oleh Hasrol tadi. Dia tidak dapat
menahan kesedihan dan terus memeluk Hasrol yang masih berdiri di hadapanya.
Dengan teresak-esak dia berkata. “Terima kasih awak kerana memahami situasi
kita sekarang ni. Saya pun berharap agar hubungan kita sebagai suami isteri terus
kekal untuk selama-lamanya.”
“Papa,
kenapa tak temankan Ashraf tengok tv. Boringlah tengok sorang-sorang,”
tiba-tiba suara Ashraf kedengaran di dapur.
Marisa
melepaskan tangannya pada tubuh Hasrol. Sempat juga dia menggosok air mata yang
masih mengalir diwajahnya. Dia memandang Hasrol lalu berkata dengan perlahan.
“Pergilah temankan Ashraf. Saya sambung kemaskan dapur ni.”
Hasrol
tersenyum angguk. “Jom Ashraf. Cerita apa hari ni?” Hasrol mula melangkah
pergi. Tetapi dia merasakan tangan kirinya ditarik. Dia menoleh kearah Marisa
yang masih memegang lembut tangannya.
“I
love you,” ringkas Marisa berkata.
“Love
you to,” balas Hasrol.
Perlahan-lahan
Marisa melepaskan tangan Hasrol. Hasrol pula berjalan mendapatkan Ashraf yang
dari tadi menunggunya untuk bersama-sama menonton televisyen diruang tamu. Di
dalam hati Hasrol, dia yakin bahawa Marisa akan kekal menjadi isterinya
memandangkan dia mejangka Taufik sudah tidak mengambil tahu akan Marisa dan
Ashraf lagi. Tetapi jangkaannya ternyata meleset kerana esok adalah hari dimana
Taufik akan berjumpa dengan Marisa. Dan jika terjadinya perjumpaan itu sudah
semestinya Marisa akan memilih Taufik!
Ulasan
Catat Ulasan