Kahwin Dengan Cina Buta Bab 10
BAB
10
Siang menjadi malam yang dimulai dengan waktu
Maghrib. Azan yang berkumandang kedengaran dari apartment mewah yang didiami
oleh Hasrol yang dahulunya berseorangan dan mulai hari ini didiami sama oleh
Marisa dan Ashraf. Itu pun hanya seminggu sahaja. Setelah penat mengemas baju
dan barang-barang, Marisa duduk berehat sebentar. Dia keseorangan kini. Hasrol
dengan Ashraf keluar dari petang tadi dan sekarang masih belum balik-balik
lagi.
Marisa yang
duduk bersandar di sofa empuk yang terletak di ruang tamu kelihatan memejamkan
mata sambil melepaskan lelah. 5 minit berlalu, lantas dia bangun dan melihat gambar-gambar yang
tergantung didinding rumah. Gambar Hasrol bersama dengan seorang perempuan tua
ditatapnya satu persatu. Marisa merasakan bahawa perempuan tua yang berada di sebelah
Hasrol adalah ibu kepada Hasrol melihat dari wajah ceria Hasrol apabila
bergambar dengan perepuan tua itu.
Mata Marisa menarik minat pada
sebuah gambar yang memuatkan Hasrol sedang mengambil segulung ijzah.
Rupa-rupanya Hasrol merupakan bekas pelajar Universiti Malaya. Marisa tidak
menyangka bahawa Hasrol adalah orang yang terpelajar. Tiba-tiba Marisa
terfikir, kenapa Hasrol tidak cuba mencari kerja yang sama taraf dengan
kelulusannya daripada menjadi lelaki cina buta? Melihat daripada kemewahan yang
dimiliki oleh Hasrol, Marisa merasakan mungkin pendapatan yang agak lumayan
yang diterima oleh Hasrol menjadikan Hasrol sanggup menjadi lelaki cina buta.
Pintu rumah dikuak.
Hasrol yang beiringan dengan Ashraf melangkah masuk ke dalam rumah. Ashraf
terus berlari mendapatkan ibunya sambil memegang patung Ben-10 yang baru
dibelinya semasa keluar bersama Hasrol tadi.
“Mama, papa
belikan. Cantik tak?” Soal Ashraf tatkala tiba di depan ibunya.
“Cantik…Dah
ucap terima kasih kat papa?” Mata Marisa yang dari tadi melihat patung yang
dipegang oleh anaknya itu mengalihkan pandangannya pada Hasrol yang ketika itu
sedang meletakkan bungkusan makanan di atas meja makan.
“Lum
lagi. Papa terima kasih belikan Ashraf mainan,” Ashraf melontarkan ucapan pada
Hasrol. Seraya Hasrol memandang dan tersenyum.
“Sudah, pergi mandi lepas tu solat
dan makan,” arah Marisa kepada Ashraf.
Selepas
mendengar kata-kata ibunya, Ashraf berlari sambil memegang patung itu
seolah-olah menerbangkannya. Dia menuju ke dalam bilik tidurnya. Marisa pula
berjalan menuju ke arah Hasrol yang masih lagi berdiri di meja makan untuk
menghidangkan makanan yang baru dibelinya tadi.
“Awak
pergilah mandi. Saya sediakan hidangan ni,” pinta Marisa lalu mengambil plastik
bungkusan di atas meja untuk dibuang ke dalam tong sampah. Dia mula melangkah
ke dapur untuk mengambil beberapa pinggan mangkuk untuk digunakan semasa makan
malam nanti.
“Ok, nanti kita makan
sama-sama ye,” pesan Hasrol
Marisa
menoleh ke arah Hasrol dan melepaskan senyuman manis.
+++++
Selepas semua urusan selesai mereka makan malam
bersama-sama. Malam ini mereka makan nasik putih berlaukkan ayam masak merah
berlada, sayur goreng dan sup daging. Ashraf makan dengan berselera sekali.
Sesekali dia menguyah makanan sambil disulami dengan tegukan air.
“Ashraf
makan perlahan-lahan nanti tercekik,” Marisa menasihati Ashraf.
“Tak
pelah awak. Budak-budak nak membesar mestilah berselera. Tambah lagi Ashraf ada
banyak lauk ni,” kata Hasrol. Dia suka melihat Ashraf yang sedang berselera
makan pada malam itu.
“Papa
ni bestlah. Sayang kat papa. Ashraf nak makan banyak-banyak nanti bila besar
nak jadi badan macam papa,” Ashraf mengepak-ngepakkan tangannya seperti ahli
bina badan.
Marisa
melirik senyuman. Begitu juga dengan Hasrol tidak tahan melihat telatah Ashraf
yang menjadikan susuk tubuhnya sebagai idola. Hasrol meletakkan sudu di atas
pinggannya lalu mengepakkan tangan kanannya. Otot-otot keras timbul pada
tangannya itu.
“Ashraf
maksudkan macam ni kan?”
Hasrol
menunjukkan ototnya yang timbul itu pada Ashraf.
“Wow!
Hahahaha….” Ashraf teruja lalu ketawa melihat perbuatan Hasrol tadi. Manakala
Marisa terpempan melihatnya dan apabila Hasrol memandangnya dia menundukkan
muka kerana berasa agak malu. Dalam dia menundukkan mukanya dia tersenyum.
Barangkali geli hati melihat dua orang lelaki yang sedang ingin menunjukkan
kejantanan masing-masing.
Selepas
habis menjamu selera, Marisa meminta Hasrol dan Ashraf untuk berehat di ruang
tamu kerana dia ingin mengemaskan meja makan yang berselerakkan dengan pinggan
mangkuk dan sisa-sisa makanan. Hasrol dan Ashraf terus mengambil tempat duduk
di ruang tamu. Kelihatan Hasrol mengambil alat kawalan jauh televisyen dan
menekan siaran Astro channel 616. Rupanya siaran Cartoon Networks yang
menyiarkan kartun Ben-10. Mereka berdua duduk bersama menonton televisyen
sambil Ashraf memegang plastik keropok Twisties. Keadaan mereka berdua tak ubah
seperti duduk di dalam panggung wayang cuma air minuman sahaja yang tiada.
Marisa
yang sedang mengemas memerhatikan gelagat dua orang lelaki yang sedang duduk
diruang tamu. Dia tidak menyangka bahawa Ashraf dapat menyesuaikan dirinya
dengan Hasrol dengan begitu cepat sekali. Kalau dilihat mereka berdua itu tidak
ubah seperti anak dan bapa melihatkan keakraban yang ditonjolkan dan wajah
ceria Ashraf disamping Hasrol. Sehinggakan Marisa merasakan yang Taufik pun
tidak pernah berbuat demikan terhadap anaknya sendiri. Dalam hatinya tiba-tiba
berdetik ‘kan bagus kalau Taufik macam
tu’.
Tekun
mereka berdua menonton televisyen sehinggakan keropok Twisties habis dilahap.
Ashraf pula tak habis-habis membuat gaya seperti sedang bertarung. Hasrol yang
menjadi mangsa menerima tumbukan dari Ashraf. Tumbukan gurauan dari Ashraf
untuk ayah barunya itu. Hasrol pula yang dahulu menghabiskan masa dirumahnya
dengan kesepian berubah keceriaan pada hari ini dengan kehadiran Marisa dan Ashraf.
Marisa
yang baru sahaja selesai mengemas meja makan dan dapur melangkah ke arah Hasrol
dan Ashraf. “Ashraf dah solat ke belum? Kalau belum pergi solat dulu baru
sambung tengok televisyen?” Soal Marisa kepada Ashraf sebelum melabuhkan
punggungnya di atas sofa.
“Ala mama… Nantilah,
cerita tak habis lagi ni,” kata Ashraf bermalas-malasan.
“Ashraf, ikut cakap mama pergi solat dulu nanti kita sambung,”
Hasrol pula menyuruh Ashraf mengikuti kata-kata ibunya itu. Tanpa banyak soal
Ashraf turun dari sofa dan menuju ke dalam biliknya tanda patuh pada arahan
yang diberikan. Marisa terkedu melihat Ashraf yang mengikut kata Hasrol tanpa
memberikan alasan. Kalau dia yang memberi arahan ada sahaja alasan yang
diberikan oleh anaknya itu.
“Awak tak solat juga ke?” Soal
Marisa apabila kepalanya dialihkan kepada Hasrol selepas memandang anaknya
masuk ke dalam bilik.
“Nanti dululah awak. Waktu Isyakkan
panjang,” jawab Hasrol tersengih-sengih sambil menggaru rambutnya yang tidak
gatal.
“Ok, saya masuk
bilik nak solat dulu. Awak jangan lambat-lambatkan solat. Tak baik,” beritahu
Marisa lantas mengangkat punggungnya dan berlalu pergi meninggalkan Hasrol yang
masih tercongok duduk keseorangan disofa yang empuk.
Hasrol
mula termenung mendengarkan kata-kata Marisa tadi. Sesungguhnya dia sudah lama
tidak bersolat. Kali terakhir pun dia bersolat masa umurnya awal 20-an. Itu pun
tak penuh. Kadang-kadang 4 waktu sahaja. Selalunya waktu subuh sahaja yang dia
selalu tinggalkan sebab dia merasakan leceh untuk bangun awal pagi bagi
menyahut seruan dari Ilahi.
Tiada
siapa yang ingin menasihatinya. Perempuan-perempuan yang pernah dinikahinya
dahulu semuanya berperangai sama seperti dengannya. Bersama-sama meninggalkan
kewajipan solat yang telah diamanahkan Allah kepada hambanya. Lain pula Marisa
yang mengingatkannya untuk melaksanakan solat yang wajib itu. Dia tidak
menyangka bahawa dia akan berkahwin dengan perempuan seperti Marisa yang tidak
meninggalkan tanggungjawabnya kepada Tuhan.
3
minit berlalu Ashraf keluar dari biliknya dan duduk di sebelah Hasrol bagi
menyambung kembali aktiviti yang tergendala tadi.
“Alaa…
Dah habis ke cerita Ben-10 tu?” rungut Ashraf apabila cerita Tom & Jerry
yang ke udara menggantikan cerita Ben-10 kegemarannya.
“Cerita
ni pun best juga. Lawak,” pujuk Hasrol. “Tengok tu pandan muka kucing tu tak
dapat tangkap tikus,” sambungnya lagi.
Ashraf tersengih-sengih apabila
menonton gelagat kucing dan tikus bersama-sama dengan Hasrol. Tidak semena-mena
Marisa muncul mengambil tempat untuk dilabuhkan punggungnya di atas salah
sebauh sofa disitu.
“Eh,
awak pergilah solat dulu. Nanti takut terlupa terus tidur,” Marisa mengingatkan
lagi Hasrol.
“Papa tak solat lagi? Tadi punyalah
baik suruh Ashraf solat tapi papa yang tak solat lagi,” Ashraf pula menyampuk.
“Yelah,
nak pergilah ni,” Hasrol mula bangun dan berjalan menuju ke bilik tidur utama.
Sampai sahaja di dalam bilik dia mengunci pintu lalu merebahkan badannya di
atas katil. “Aku duduk 3, 4 minit kat dalam ni mesti mereka ingat aku dah
solat. Hehehe..,” katanya sendiri.
Hasrol
baring terlentang memandang syiling rumah. Fikirannya mula menerawang memkirkan
dirinya dan Marisa apabila tidur bersama malam nanti. Dia tersengih-sengih
sendirian. Tak ubah macam orang syok sendiri.
Tok!
Tok! Tok! Pintu bilik diketuk. Hasrol terkejut mendengar ketukan pintu bilik
tadi. Lantas dia bangun dari pembaringannya di atas katil.
“Ni mesti Marisa.” Hasrol yakin.
Dia
menoleh kiri dan kanan dan matanya terhenti apabila melihat sejadah yang
tergantung. Dia lantas mencapai sejadah dan membentangkan di atas lantai.
Sempat juga dia mengambil kopiah putih yang sudah berhabuk itu di atas almari
lalu memakainya.
Pintu
bilik dibuka. Marisa berdiri dihadapan Hasrol sambil tersenyum. “Tengah solat
ke tadi? Sorylah ganggu. Saya nak ambil telefon bimbit,” terang Marisa.
Kedua-dua tangannya digenggam bersama.
“Tak apa, baru lepas berdoa. Panjang
doa saya tadi sebab tulah lama sikit buka pintu,” tersengih-sengih Hasrol
menjawab. “Masuklah.”
Marisa
masuk ke dalam bilik untuk mengambil telefon bimbitnya yang diletakkan di atas
katil. Selepas mengambilnya dia berjalan keluar tetapi berhenti apabila
terpandang sejadah yang terbentang di atas lantai.
“Eh, awak. Siang tadi awak kata
kiblat belah sana. Kenapa awak solat kiblat belah sini pulak?” Soal Marisa
kepada Hasrol. Keningnya diangkat-angkat tanda tidak berpuas hati dengan apa
yang dilihatnya tadi.
Hasrol
mula menggelabah apabila disoal oleh Marisa. Dia menggosok-gosok hidungnya
untuk mencari idea bagi menjawab persoalan tadi. “Errr…aaa…Yelah…saya silap.
Sepatutnya kiblat belah sana. Macam mana boleh ke sini pula… Hehehe...,” Hasrol
tersengih macam kerang busuk.
“Awak…
Solat awak tadi tak sah. Pergi solat balik. Betulkan kiblat tu,” beritahu
Marisa lantas duduk semula di atas katil sambil menggodek telefon bimbitnya.
“Yelah.. Awak tak
nak keluar ke?” Soal Hasrol. Dia mengharapkan agar Marisa keluar agar dapat dia
melakukan penipuan seperti sebelumnya tadi.
“Awak
solat jelah saya nak hantar sms kat Zura,” jawab Marisa selamba.
Hasrol
terpaksa untuk melakukan solat Isyak pada malam ini juga. Dia merasakan Marisa
seperti tahu yang dia tidak melakukan solat tadi. Lantas dia melangkah menuju
ke bilik air untuk mengambil wuduk.
“Wuduk awak dah batal
ke? Kita tak bersentuhan tadi kan?” Marisa sekali lagi menyoal Hasrol apabila
melihatkan Hasrol melangkah ke dalam bilik air.
“Saya
buang angin tadi,” jawab Hasrol dengan selamba. Padahal dia memang tidak
berwuduk sejak dari tadi. Memandangkan dia perlu bersolat, dia akan melakukan
solat itu dengan sempurna. Bukan lakonan semata-mata.
“Eeeee…busuk,” kata Marisa sambil tangan kirinya menutup
hidung. Matanya memandang Hasrol yang masih menoleh kepadanya. Dia tersenyum.
Begitu juga dengan Hasrol. Dia dapat merasakan kebahagian perkahwinannya dengan
Hasrol pada hari ini.
+++++
Malam telah berlabuh lewatnya. Ashraf sudah tidur di
dalam bilik tidurnya. Hasrol dan Marisa masih lagi belum tidur lagi. Hasrol
sedang baring sambil menconteng-conteng tabnya. Marisa pula sedang duduk di
meja solek tetapi tiada apa yang dilakukan. Dia memandang Hasrol melalui cermin
solek dihadapnnya. Sekilas mata Hasrol memandang Marisa. Marisa mengalihkan
pandangnnya.
“Awak, tak nak tidur ke?” Soal
Hasrol. Matanya masih memandang wajah Marisa melalui cermin meja solek.
“Nak,
tapi….,” Marisa memberhentikan kata-katanya.
“Awak
malu ye?” Soal Hasrol lagi. Dia mula mengangkat badannya untuk turun dari
katil. Marisa mengangguk malu. Marisa dapat merasakan sesusuk tubuh panas
menghampirinya. Dadanya mula berdebar. Debar bercampur perasaan malu. Hasrol
yang menghampiri Marisa merangkul kaki Marisa dengan tangan kirinya manakala
tangan kanan diletakkan belakang leher Marisa.
Marisa
menarik nafas panjang. Hasrol terus mengangkat Marisa yang dari tadi mengelamun
malu. Sekarang Marisa sudah berada di dalam dukungan Hasrol. Mata pasangan
suami isteri itu berpandangan.
“Kalau awak malu saya lagi malu,”
kata Hasrol sambil mengenyitkan matanya. Marisa tergelak kecil mendengar
gurauan Hasrol tadi. Hasrol yang dari tadi mendukung Marisa berjalan menuju ke
semula ke tempat tidur mereka.
Ulasan
Catat Ulasan