Kahwin Dengan Cina Buta Bab 23

BAB 23

Hasrol tiba di apartmenya. Dia menguak pintu utama dan masuk ke dalam. Langkahnya terhenti apabila melihat beberapa beg baju siap tersusun di ruang tamu. Hasrol memerhatikan jam dinding menunjukkan pukul 8.15 pagi.                                                                            

‘Nampak macam dia tak sabar nak tinggalkan rumah ni,’ fikir Hasrol. Selepas itu dia memandang ke arah dapur. Mungkin Marisa ada di dapur memandangkan terdengar bunyi seperti orang sedang memasak. Hasrol berjalan menuju ke dapur. Apabila sampai sahaja di ruang masuk dapur, Hasrol melihat Marisa sedang sibuk memasak.                                                           

“Awak masak untuk siapa tu? Taufik?” Hasrol menegur sinis.                                               

“Untuk awaklah siapa lagi. Terpulang pada awak nak jamah makanan ini atau tidak,” balas Marisa. Ketika itu dia sedang mengacau sambal sotong yang sedang menggelegak dalam kuali.                                                                                                                                           

“Jangan masak banyak-banyak. Awak kena ingat, saya akan tinggal sorang diri lepas ni,” sengaja Hasrol berkata sedemikian rupa, menandakan dia kecewa dengan penceraian yang akan berlaku hari ini. Maris tidak memberikan respond dengan apa yang dikatakan oleh Hasrol tadi.   Hasrol mencebik. Lalu dia meninggalkan Marisa keseorangan di dapur. Dia berjalan menuju ke ruang tamu dan melabuhkan punggungnya di atas sofa. Seraya dia mengeluh.        

Marisa masih lagi sedang memasak. Sesekali dia mengelap air mata yang jatuh merembes di pipinya. Dia merasa begitu sedih sebenarnya. Sedih kerana terpaksa meninggalkan Hasrol lelaki yang telah berjaya mengambil cintanya. Dia tidak ada pilihan lain sebenarnya. Janji tetap janji. Dia berharap pilihannya memilih Taufik adalah betul dan tepat.                                                                    

Selepas siap Marisa memasak, dia meletakkan makanan tengahari itu di atas meja makan. Siap ditutup dengan tudung saji. Mungkin makanan tengahari itu adalah masakkannya yang terakhir untuk Hasrol. Selepas semuanya selesai, Marisa berjalan ke ruang tamu dan duduk di atas sofa bersebelahan dengan Hasrol. Hasrol pula sedang menonton televisyen. Dia sempat menoleh ke arah Marisa sebelum memandang semula ke kotak televisyen. Marisa menyedari perubahan sikap Hasrol yang dingin itu.                                                                                

“Awak…,” tegur Marisa. Sayu suaranya.                                                                   

“Hmmm…,” Hasrol masih bersikap dingin.                                                               

“Awak… Awak masih marahkan saya lagi? Saya sudah minta maaf awak. Kalau boleh sebelum kita bercerai saya nak awak maafkan saya. Saya tak nak ada dosa dengan awak sebab saya ni masih lagi isteri awak,” rayu Marisa. Kedua belah tangannya memegang tangan kiri Hasrol. Air matanya mula mengalir di wajah.                                                                                    

Hasrol menoleh memandang wajah Marisa. Dia merenung kosong wajah isterinya yang akan diceraikan tidak lama lagi. Lalu dia berkata. “Saya boleh maafkan awak tetapi dengan syarat.”                                                                                                                                            

Marisa sedikit gembira apabila mendengar jawapan Hasrol yang sudi memaafkannya. “Apa syaratnya awak? Insya-Allah saya cuba untuk tunaikan,” Marisa memberi jaminan.                 

“Awak ingat tak cadangan awak nak ikut saya balik kampung selepas kita bercerai nanti?” Hasrol cuba mengingatkan. Marisa hanya mengangguk tanda ingat akan cadangan itu. “Syaratnya saya nak kita laksanakan cadangan itu. Ikut saya balik kampung saya Jumaat ni. Itu saja syaratnya. Saya tahu saya tak boleh nak paksa awak tetapi saya harap awak dapat terima syarat ini jika hendak saya maafkan awak,” sambung Hasrol lagi.                                                                  

Marisa sebenarnya tidak keberatan untuk bersetuju dengan syarat yang diberikan oleh Hasrol. Memang dia pun yang mencadangkan perkara itu. “Saya setuju awak. Asalkan saya dapat menebus kesalahan saya dan membalas jasa baik awak selama ini,” ujar Marisa sambil mengangguk sedikit kepalanya.                                                                                                        

“Kalau mak tak tahu kita berkahwin, tak perlu kita berlakon jadi suami isteri. Saya pun boleh lepaskan awak dengan tenang. Sekarang kita sudah terperangkap dengan masalah yang kita timbulkan sendiri. Jadi terpaksalah kita berlakon jadi suami isteri demi menjaga hati mak. Akan tetapi hakikatnya, hati saya merintih terseksa untuk melakukan semua itu. Awak mesti nak tahu sebab apa kan? Sebab saya sudah tawar hati nak bercinta dengn awak lagi,” begitu kata Hasrol dengan panjang lebar. Semasa dia mengungkapkan perkataan ‘tawar hati’ dia mengalihkan wajahnya dari memandang Marisa.                                                                                  

Marisa tersentak mendengar kata-kata Hasrol tadi. Memang patut pun Hasrol berkata begitu kerana Marisa telah menolak cinta Hasrol. Bukan Marisa sengaja menolak. Dia terpaksa menolak sedangkan dia masih lagi mencintai lelaki itu. Air mata Marisa yang tadi sudah berhenti mula berjujuran semula. Kalau boleh dia hendak Hasrol menyeka air matanya seperti mana yang pernah Hasrol buat sebelum itu.                                                                                         

Suasana diam seketika. Melihatkan Hasrol masih kaku memandang televisyen yang terbentang di hadapannya, Marisa bangun meninggalkan Hasrol yang masih duduk di situ. Buat apa Marisa menunggu lagi. Buat apa dia mengharapkan cinta bagi orang yang tidak sudi. Dengan longlainya Marisa berjalan masuk ke bilik tidur utama.

+++++

“Kenapa you tak nak rujuk semula janda you? Kan Dato’ sudah arahkan you berbuat demikian,” Fasha menyoal untuk kepastian.                                                                               

“Memang betul kata you, tetapi itu dulu sekarang I rasa Dato’ sendiri yang meminta I untuk tidak merujuk semula Marisa. I nak dapatkan lebih lanjut mengenai berita ini dahulu daripada Dato’. Nanti I critakan berita gembira ni kat you,” balas Taufik. Telefon bimbitnya diambil semula dan dia cuba menghubungi Dato’ Zakaria. Deringan telefon kedengaran di corong telefon bimbitnya. Dia sabar panggilannya dijawab.                                                              

“Hello Dato’, saya sudah baca. Saya tahu apa yang Dato’ maksudkan berita baik itu,” kata Taufik sejurus selepas Dato’ Zakaria menjawab panggilannya.                                      

“Sekarang aku nak tanya kau mengenai situasi ini,” Dato’ Zakaria meminta pandangan.      

“Saya rasa saya akan menguasai keseluruhan Syarikat Sentra Sdn Bhd kerana pemegang saham terbesar si Zainal tu dah mati. Betul tak andaian saya ni Dato’?” Rupa-rupanya sebab Taufik tersenyum selepas membaca salah satu berita di dalam akhbar itu, adalah kerana dia mengetahui Zainal yang merupakan pemegang saham tertinggi Syarikat Sentra Sdn Bhd telah meninggal dunia.                                                                                                                                         
“Kau kalau bab nak membolot harta cepat saja buat andaian. Tetapi betullah andaian kau tu. Dengan kematian si Zainal tu, secara automatik saham milik dia akan jatuh ke tangan kau,” terang Dato’ Zakaria dengan penuh keyakinan. “Kau tunggulah nanti, aku yakin tidak lama lagi ada peguam yang akan berjumpa dengan kau untuk membincangkan mengenai peralihan saham syarikat,” sambung Dato’ Zakaria lagi.                                                                                       

“Tapi Dato’ benar ke Zainal tu mati disebabkan kanser barah otak seperti yang tertulis dalam akhbar? Atau orang-orang Dato’ yang habiskan Zainal tu?’ Soal Taufik.                           

“Aku pun tak tahu si Zainal tu berada di Syedney. Macam mana aku nak arahkan orang-orang aku untuk bunuh dia. Apa yang ditulis oleh akhbar tu, itulah cerita yang sebenarnya. Mungkin Shukri menghantar Zainal di Sydney untuk mendapatkan rawatan penyakit yang dihidapi oleh anaknya itu. Kita tidak perlu nak fikirkan semua itu. Yang penting kita sudah mengetahui bahawa pemegang saham terbesar syarikat sudah mati dan bermakna cita-cita kau untuk menguasai Syarikat Sentra Sdn Bhd akan tercapai tidak lama lagi,” terang Dato’ Zakaria.  “Terima kasih Dato’. Jadi tak perlulah saya rujuk semula Marisa tu? Selamatlah RM400,000 saya. Hahahaha…,” Taufik ketawa berdekah-dekah. Dia gembira apabila mengetahui yang dia bakal mengusai Syarikat Sentra Sdn Bhd dan bertambah gembira lagi apabila rancangannya untuk memerangkap Marisa akan diteruskan.                                               
“Bukan RM400,000 itu saja, lebih pun kau akan dapat nanti. Tetapi jangan lupa janji kau untuk serahkan 40% saham syarikat tu pada aku apabila kau menjadi pemegang saham penuh syarikat itu nanti,” Dato’ Zakaria mengingatkan.                                                                         

“Dato’ jangan bimbang. Saya tak akan lupa perjanjian itu,” ringkas jawab Taufik.      “Bagus, aku suka berurusan dengan kau!”

+++++

Jam menunjukkan pukul 10. 30 pagi. Hasrol dan Marisa masih menunggu kedatangan Taufik yang telah lewat setengah jam dari yang dijanjikan. Semasa menunggu mereka berdua lebih banyak mendiamkan diri dari berkata-kata. Marisa kelihatan sedang mengambil beg tangannya. Gelang emas pemberian Puan Aminah ditenungnya dulu. Selepas merenung seketika gelang emas itu, Marisa bangun mendapatkan Hasrol yang sedang duduk menghadap televisyen. Dihulurkan gelang emas itu.                                                                                                         

“Awak, saya nak pulangkan gelang emas mak kat awak semula.”                                          

Hasrol memandang gelang emas yang berada di genggaman Marisa dan selepas itu pandangannya dialihkan pada Marisa. “Mak kan beri gelang ini kat awak. Jadi gelang itu milik awak,” ujar Hasrol dengan selamba.                                                                                           

“Memanglah mak bagi kat saya sebab dia ingatkan yang saya menantu sebenarnya. Hakikat sebenarnya… Awak kena terima juga gelang emas ini. Nanti bila awak sudah jumpa dengan perempuan yang awak cinta, awak berilah kepadanya,” saran Marisa sambil tangannya masih menghulurkan gelang emas itu kepada Taufik.                                                              

“Saya tak nak. Kalau awak nak pulangkan, awak pulangkan pada mak. Itu pun jika awak sanggup,” ujar Hasrol. Marisa terpaksa menarik balik tangannya semula. Dia masih lagi tegak berdiri di hadapan Hasrol. “Anggap itu hadiah daripada mak dan awak kena hargainya,” Hasrol menyambung katanya.                                                                                                                  

Marisa terkedu mendengar. Dia terpaksa akur dengan kata-kata Hasrol tadi. Dia berjalan ke tempat duduk asalnya dan memasukkan semula gelang emas itu di dalam beg tangan. Suasana senyap seketika. Mereka berdua masih menunggu ketibaan Taufik dan sebaik sahaja Taufik datang nanti secara langsung Hasrol akan mencerikan Marisa.

+++++

Jam menunjukkan pukul 11.15 pagi. Taufik masih belum muncul-muncul lagi. Marisa kelihatan agak resah. Pesanan ringkas yang dihantar pada Taufik sebelum ini tidak dibalas. ‘Kenapa abang Taufik tak sampai lagi? Sms aku pun dia tak balas,’ detik hati Marisa.                   

“Mana bekas suami awak? Tak jadi datang sebab tak cukup duit ke? Tak cukup duit tak apa, boleh bawa berbincang. Saya boleh bagi diskaun,” Hasrol mula bersuara. Matanya tidak lepas dari memandang skrin televisyen.                                                                                  

“Agaknya dia tak jumpa jalan nak pergi rumah awak. Sms saya pun dia tak balas,” balas Marisa. Tangannya masih menggenggam telefon bimbit dan berharap akan mendapat khabar daripada Taufik. Tidak kira dalam bentuk pesanan ringkas mahupun panggilan. “Saya cuba menghubungi dia,” Marisa bersedia untuk mendail.                                                                          

“Tidak mengapa. Biar saya yang hubungi dia. Kalau betul dia sesat saya boleh tunjukkan jalan,” Hasrol menawar diri. Tabnya diambil. “Sebutkan nombor telefon Taufik,” pinta Hasrol.    

Marisa menyebut nombor telefon Taufik, seraya Hasrol mendail nombor yang disebutkan oleh Marisa tadi. Deringan telefon mula kedengaran disusuli dengan sahutan suara seorang lelaki. “Hello.” Sejurus selepas panggilannya dijawab, Hasrol membalas. “Hello, ini Encik Taufik ke?”      

“Ya saya. Siapa ni?” Jawab Taufik.                                                                                            

“Saya Hasrol lelaki yang menjadi cina buta kepada Marisa. En. Taufik pasti ingat pada saya kan?”                                                                                                                                          

“Ya, ya, aku ingat kau ni cina buta yang aku upah supaya kahwin dengan Marisa. Apa yang kau nak?” Dengan selamba Taufik menyoal Hasrol. Hasrol tersentak sedikit bila ditanya begitu.                                                                                                                                                            
“Encik Taufik dah lupa ke dalam perjanjian hari ini hari terakhir kami berkahwin. Encik Taufik kena datang ke rumah saya dengan membawa sejumlah wang yang dijanjikan dan selepas itu baru saya akan ceraikan Marisa,” Hasrol cuba mengingatkan.                                                 

“Kalau saya tak nak bayar?” Sekali lagi Taufik melontarkan soalan yang agak mengejutkan Hasrol.                                                                                                                               

“Encik Taufik ni pandai buat lawak la. Mesti Encik Taufik ni peminat Jambu Raja Lawak,” Hasrol membalas dengan gurauan juga.                                                                           

“Aku serius ni. Aku tak nak rujuk Marisa semula. Sekarang ni terpulang pada kau nak teruskan hubungan kau sebagai suami dia atau kau ceraikan dia saja. Dan satu lagi tiada pembayaran akan dilakukan okey. Semuanya terbatal!”                                                                 

Hasrol terdiam seketika selepas mendengar penjelasan Taufik tadi. Dia mula merasakan yang Taufik betul-betul serius tidak mahu untuk merujuk semula Marisa. Tangannya kelihatan menggigil seperti menahan marah. “Minta maaf  En. Taufik. Boleh ulang sekali lagi apa yang En. Taufik cakap tadi? Saya kurang jelas,” pinta Hasrol. Dia mengawal suaranya dengan baik walaupun mukanya merah sedang menahan marah. Dengan sepantas kilat dia menukar mode tabnya kepada loud speaker dan menghulurkan tabnya itu ke arah Marisa. Marisa pelik melihat perbuatan Hasrol tadi.                                                                                                                             

“Kau pekak ke? Aku cakap aku tak nak Marisa tu. Kalau kau nak kau ambil terus. Aku bagi percuma. Tetapi kau harus ingat, kau tak akan dapat satu sen pun duit aku!” Kali ini suara Taufik agak tinggi sehingga jelas suaranya itu keluar dari corong speaker tab Hasrol.                        

Mata Marisa membulat. Bibirnya menggeletar tatkala mendengar pengakuan Taufik tadi. Dia tidak menyangka Taufik saggup berkata begitu. Hatinya betul-betul terguris. Rasa kesal mula dirasainya kerana mempercayai Taufik. Dia tidak tahu kenapa Taufik boleh berubah sikap. Sedangkan sebelum ini Taufik mengharapkan agar dia kembali kepada lelaki itu. Lelaki yang dicintainya itu telah mengkhianati cintanya yang tulus dan ikhlas. Tidak semena-mena air matanya berjujuran kerana tidak dapat menahan pilu yang dirasakan seperti dihiris sembilu.           

Hasrol mengubah semula mode tabnya kepada yang asal sebelum menekup tabanya itu di telinga kanannya. “Kau ingat aku hairan sangat dengan duit kau. Apa salah Marisa sampai kau sanggup mempermainkan perasaan dia. Kau ingat kau kaya kau boleh buat sesuka hati? Kau yang bodoh sebenarnya kerana Marisa lebih berharga dari semua kekayaan yang kau ada!” Tengking Hasrol. Dia sudah tidak dapat bersabar lagi. Dia sudah naik darah bukan disebabkan tidak mendapat wang yang dijanjikan oleh Taufik, tetapi  kerana Taufik telah memainkan perasaan Marisa.                                                                                                                                  

Taufik tidak membalas kata-kata Hasrol. Hanya gelak ketawa yang didengari oleh Hasrol sebelum panggilan itu dimatikan oleh Taufik. Hasrol masih berdiri tegak disitu sambil kepalanya ditundukkan sedikit. Marisa tidak berkata apa-apa. Dia merasa sebak mendengar kata-kata Hasrol yang membela dirinya tadi. Marisa hanya memerhatikan Hasrol yang masih tarpacak tidak bergerak disitu. Tiba-tiba Hasrol mengangkat tangannya sambil tapak tangannya dikepal menjadi penumbuk.                                                                                                                 

“Argghh…!!!” Hasrol menjerit dengan sekuat hatinya lantas dia menumbuk almari kayu yang berada di hadapannya.                                                                                                      

‘Prakkk!!’. Almari kayu itu pecah apabila penumbuk Hasrol mencecah di permukaan kayu almari itu. Hasrol merengus. Nafasnya naik turun. Selepas itu dia berjalan dengan laju mendapatkan kunci kereta dan keluar dari rumah tanpa berkata apa-apa. Tergamam Marisa melihat perlakuan Hasrol tadi. Ini kali pertama dia melihat Hasrol sedahsyat itu. Melihat perlakuan Hasrol yang ibarat seperti harimau yang terluka, Marisa tidak berani hendak menegurnya. Dibiarkan Hasrol pergi meninggalkannya keseorangan di apartment itu.

Ulasan

  1. Bila nak sambung? @ Ada harapan ke versi cetak.

    BalasPadam
  2. Kalau tak ada masalah saya akan masukan hingga bab terakhir, Saya tak mengharap pun versi cetak. Terima kasih sudi komen. Silalah komen lagi.

    BalasPadam
  3. kali pertama saya baca kat penulisan2u, saya memang dah jatuh suka abes dengan cerita ni. agak berbeza dari lain. kalau tak ada versi cetak, versi internet pun jadi la. jangan stop tulis psl citer ni. nak tau jugak ending citer ni mcm mana

    BalasPadam
  4. Sejujurnya sy tak pernah baca novel. Tak sangka cerita ni buat sy baca sampai ke bab 23.cerita apa lagi yg cik tulis ye?sy nak baca cerita lain lepas habis cerita ni

    BalasPadam

Catat Ulasan

Catatan popular daripada blog ini

Kahwin Dengan Cina Buta Bab 4

Kahwin Dengan Cina Buta Bab 1

Kahwin Dengan Cina Buta Bab 27