Kahwin Dengan Cina Buta Bab 23
BAB
23
Hasrol tiba di apartmenya. Dia menguak pintu utama
dan masuk ke dalam. Langkahnya terhenti apabila melihat beberapa beg baju siap
tersusun di ruang tamu. Hasrol memerhatikan jam dinding menunjukkan pukul 8.15
pagi.
‘Nampak macam dia tak sabar nak tinggalkan
rumah ni,’ fikir Hasrol. Selepas itu dia memandang ke arah dapur. Mungkin
Marisa ada di dapur memandangkan terdengar bunyi seperti orang sedang memasak.
Hasrol berjalan menuju ke dapur. Apabila sampai sahaja di ruang masuk dapur,
Hasrol melihat Marisa sedang sibuk memasak.
“Awak
masak untuk siapa tu? Taufik?” Hasrol menegur sinis.
“Untuk awaklah siapa
lagi. Terpulang pada awak nak jamah makanan ini atau tidak,” balas Marisa.
Ketika itu dia sedang mengacau sambal sotong yang sedang menggelegak dalam
kuali.
“Jangan masak banyak-banyak. Awak
kena ingat, saya akan tinggal sorang diri lepas ni,” sengaja Hasrol berkata
sedemikian rupa, menandakan dia kecewa dengan penceraian yang akan berlaku hari
ini. Maris tidak memberikan respond dengan apa yang dikatakan oleh Hasrol tadi. Hasrol mencebik. Lalu dia meninggalkan Marisa
keseorangan di dapur. Dia berjalan menuju ke ruang tamu dan melabuhkan
punggungnya di atas sofa. Seraya dia mengeluh.
Marisa
masih lagi sedang memasak. Sesekali dia mengelap air mata yang jatuh merembes
di pipinya. Dia merasa begitu sedih sebenarnya. Sedih kerana terpaksa
meninggalkan Hasrol lelaki yang telah berjaya mengambil cintanya. Dia tidak ada
pilihan lain sebenarnya. Janji tetap janji. Dia berharap pilihannya memilih
Taufik adalah betul dan tepat.
Selepas siap
Marisa memasak, dia meletakkan makanan tengahari itu di atas meja makan. Siap
ditutup dengan tudung saji. Mungkin makanan tengahari itu adalah masakkannya
yang terakhir untuk Hasrol. Selepas semuanya selesai, Marisa berjalan ke ruang
tamu dan duduk di atas sofa bersebelahan dengan Hasrol. Hasrol pula sedang
menonton televisyen. Dia sempat menoleh ke arah Marisa sebelum memandang semula
ke kotak televisyen. Marisa menyedari perubahan sikap Hasrol yang dingin itu.
“Awak…,”
tegur Marisa. Sayu suaranya.
“Hmmm…,” Hasrol masih
bersikap dingin.
“Awak…
Awak masih marahkan saya lagi? Saya sudah minta maaf awak. Kalau boleh sebelum
kita bercerai saya nak awak maafkan saya. Saya tak nak ada dosa dengan awak
sebab saya ni masih lagi isteri awak,” rayu Marisa. Kedua belah tangannya
memegang tangan kiri Hasrol. Air matanya mula mengalir di wajah.
Hasrol menoleh memandang wajah
Marisa. Dia merenung kosong wajah isterinya yang akan diceraikan tidak lama
lagi. Lalu dia berkata. “Saya boleh maafkan awak tetapi dengan syarat.”
Marisa
sedikit gembira apabila mendengar jawapan Hasrol yang sudi memaafkannya. “Apa
syaratnya awak? Insya-Allah saya cuba untuk tunaikan,” Marisa memberi jaminan.
“Awak
ingat tak cadangan awak nak ikut saya balik kampung selepas kita bercerai
nanti?” Hasrol cuba mengingatkan. Marisa hanya mengangguk tanda ingat akan
cadangan itu. “Syaratnya saya nak kita laksanakan cadangan itu. Ikut saya balik
kampung saya Jumaat ni. Itu saja syaratnya. Saya tahu saya tak boleh nak paksa
awak tetapi saya harap awak dapat terima syarat ini jika hendak saya maafkan
awak,” sambung Hasrol lagi.
Marisa
sebenarnya tidak keberatan untuk bersetuju dengan syarat yang diberikan oleh
Hasrol. Memang dia pun yang mencadangkan perkara itu. “Saya setuju awak.
Asalkan saya dapat menebus kesalahan saya dan membalas jasa baik awak selama
ini,” ujar Marisa sambil mengangguk sedikit kepalanya.
“Kalau
mak tak tahu kita berkahwin, tak perlu kita berlakon jadi suami isteri. Saya
pun boleh lepaskan awak dengan tenang. Sekarang kita sudah terperangkap dengan
masalah yang kita timbulkan sendiri. Jadi terpaksalah kita berlakon jadi suami
isteri demi menjaga hati mak. Akan tetapi hakikatnya, hati saya merintih
terseksa untuk melakukan semua itu. Awak mesti nak tahu sebab apa kan? Sebab
saya sudah tawar hati nak bercinta dengn awak lagi,” begitu kata Hasrol dengan
panjang lebar. Semasa dia mengungkapkan perkataan ‘tawar hati’ dia mengalihkan
wajahnya dari memandang Marisa.
Marisa
tersentak mendengar kata-kata Hasrol tadi. Memang patut pun Hasrol berkata
begitu kerana Marisa telah menolak cinta Hasrol. Bukan Marisa sengaja menolak.
Dia terpaksa menolak sedangkan dia masih lagi mencintai lelaki itu. Air mata
Marisa yang tadi sudah berhenti mula berjujuran semula. Kalau boleh dia hendak
Hasrol menyeka air matanya seperti mana yang pernah Hasrol buat sebelum itu.
Suasana
diam seketika. Melihatkan Hasrol masih kaku memandang televisyen yang
terbentang di hadapannya, Marisa bangun meninggalkan Hasrol yang masih duduk di
situ. Buat apa Marisa menunggu lagi. Buat apa dia mengharapkan cinta bagi orang
yang tidak sudi. Dengan longlainya Marisa berjalan masuk ke bilik tidur utama.
+++++
“Kenapa you tak nak rujuk semula janda you? Kan
Dato’ sudah arahkan you berbuat demikian,” Fasha menyoal untuk kepastian.
“Memang
betul kata you, tetapi itu dulu sekarang I rasa Dato’ sendiri yang meminta I
untuk tidak merujuk semula Marisa. I nak dapatkan lebih lanjut mengenai berita
ini dahulu daripada Dato’. Nanti I critakan berita gembira ni kat you,” balas
Taufik. Telefon bimbitnya diambil semula dan dia cuba menghubungi Dato’
Zakaria. Deringan telefon kedengaran di corong telefon bimbitnya. Dia sabar
panggilannya dijawab.
“Hello
Dato’, saya sudah baca. Saya tahu apa yang Dato’ maksudkan berita baik itu,”
kata Taufik sejurus selepas Dato’ Zakaria menjawab panggilannya.
“Sekarang
aku nak tanya kau mengenai situasi ini,” Dato’ Zakaria meminta pandangan.
“Saya rasa saya akan menguasai keseluruhan
Syarikat Sentra Sdn Bhd kerana pemegang saham terbesar si Zainal tu dah mati.
Betul tak andaian saya ni Dato’?” Rupa-rupanya sebab Taufik tersenyum selepas
membaca salah satu berita di dalam akhbar itu, adalah kerana dia mengetahui
Zainal yang merupakan pemegang saham tertinggi Syarikat Sentra Sdn Bhd telah
meninggal dunia.
“Kau
kalau bab nak membolot harta cepat saja buat andaian. Tetapi betullah andaian
kau tu. Dengan kematian si Zainal tu, secara automatik saham milik dia akan
jatuh ke tangan kau,” terang Dato’ Zakaria dengan penuh keyakinan. “Kau
tunggulah nanti, aku yakin tidak lama lagi ada peguam yang akan berjumpa dengan
kau untuk membincangkan mengenai peralihan saham syarikat,” sambung Dato’
Zakaria lagi.
“Tapi
Dato’ benar ke Zainal tu mati disebabkan kanser barah otak seperti yang
tertulis dalam akhbar? Atau orang-orang Dato’ yang habiskan Zainal tu?’ Soal
Taufik.
“Aku pun tak tahu si Zainal tu
berada di Syedney. Macam mana aku nak arahkan orang-orang aku untuk bunuh dia.
Apa yang ditulis oleh akhbar tu, itulah cerita yang sebenarnya. Mungkin Shukri
menghantar Zainal di Sydney untuk mendapatkan rawatan penyakit yang dihidapi
oleh anaknya itu. Kita tidak perlu nak fikirkan semua itu. Yang penting kita
sudah mengetahui bahawa pemegang saham terbesar syarikat sudah mati dan
bermakna cita-cita kau untuk menguasai Syarikat Sentra Sdn Bhd akan tercapai
tidak lama lagi,” terang Dato’ Zakaria. “Terima
kasih Dato’. Jadi tak perlulah saya rujuk semula Marisa tu? Selamatlah RM400,000
saya. Hahahaha…,” Taufik ketawa berdekah-dekah. Dia gembira apabila mengetahui
yang dia bakal mengusai Syarikat Sentra Sdn Bhd dan bertambah gembira lagi
apabila rancangannya untuk memerangkap Marisa akan diteruskan.
“Bukan RM400,000 itu saja, lebih pun
kau akan dapat nanti. Tetapi jangan lupa janji kau untuk serahkan 40% saham
syarikat tu pada aku apabila kau menjadi pemegang saham penuh syarikat itu
nanti,” Dato’ Zakaria mengingatkan.
“Dato’
jangan bimbang. Saya tak akan lupa perjanjian itu,” ringkas jawab Taufik. “Bagus, aku suka berurusan dengan kau!”
+++++
Jam menunjukkan pukul 10. 30
pagi. Hasrol dan Marisa masih menunggu kedatangan Taufik yang telah lewat
setengah jam dari yang dijanjikan. Semasa menunggu mereka berdua lebih banyak
mendiamkan diri dari berkata-kata. Marisa kelihatan sedang mengambil beg
tangannya. Gelang emas pemberian Puan Aminah ditenungnya dulu. Selepas merenung
seketika gelang emas itu, Marisa bangun mendapatkan Hasrol yang sedang duduk
menghadap televisyen. Dihulurkan gelang emas itu.
“Awak,
saya nak pulangkan gelang emas mak kat awak semula.”
Hasrol memandang gelang
emas yang berada di genggaman Marisa dan selepas itu pandangannya dialihkan
pada Marisa. “Mak kan beri gelang ini kat awak. Jadi gelang itu milik awak,”
ujar Hasrol dengan selamba.
“Memanglah mak bagi kat saya sebab
dia ingatkan yang saya menantu sebenarnya. Hakikat sebenarnya… Awak kena terima
juga gelang emas ini. Nanti bila awak sudah jumpa dengan perempuan yang awak
cinta, awak berilah kepadanya,” saran Marisa sambil tangannya masih
menghulurkan gelang emas itu kepada Taufik.
“Saya
tak nak. Kalau awak nak pulangkan, awak pulangkan pada mak. Itu pun jika awak
sanggup,” ujar Hasrol. Marisa terpaksa menarik balik tangannya semula. Dia
masih lagi tegak berdiri di hadapan Hasrol. “Anggap itu hadiah daripada mak dan
awak kena hargainya,” Hasrol menyambung katanya.
Marisa
terkedu mendengar. Dia terpaksa akur dengan kata-kata Hasrol tadi. Dia berjalan
ke tempat duduk asalnya dan memasukkan semula gelang emas itu di dalam beg
tangan. Suasana senyap seketika. Mereka berdua masih menunggu ketibaan Taufik
dan sebaik sahaja Taufik datang nanti secara langsung Hasrol akan mencerikan
Marisa.
+++++
Jam menunjukkan pukul 11.15 pagi. Taufik masih belum
muncul-muncul lagi. Marisa kelihatan agak resah. Pesanan ringkas yang dihantar
pada Taufik sebelum ini tidak dibalas. ‘Kenapa
abang Taufik tak sampai lagi? Sms aku pun dia tak balas,’ detik hati
Marisa.
“Mana bekas
suami awak? Tak jadi datang sebab tak cukup duit ke? Tak cukup duit tak apa,
boleh bawa berbincang. Saya boleh bagi diskaun,” Hasrol mula bersuara. Matanya
tidak lepas dari memandang skrin televisyen.
“Agaknya
dia tak jumpa jalan nak pergi rumah awak. Sms saya pun dia tak balas,” balas
Marisa. Tangannya masih menggenggam telefon bimbit dan berharap akan mendapat
khabar daripada Taufik. Tidak kira dalam bentuk pesanan ringkas mahupun
panggilan. “Saya cuba menghubungi dia,” Marisa bersedia untuk mendail.
“Tidak mengapa. Biar saya yang
hubungi dia. Kalau betul dia sesat saya boleh tunjukkan jalan,” Hasrol menawar
diri. Tabnya diambil. “Sebutkan nombor telefon Taufik,” pinta Hasrol.
Marisa menyebut nombor telefon Taufik, seraya Hasrol
mendail nombor yang disebutkan oleh Marisa tadi. Deringan
telefon mula kedengaran disusuli dengan sahutan suara seorang lelaki. “Hello.” Sejurus selepas panggilannya dijawab,
Hasrol membalas. “Hello, ini Encik Taufik ke?”
“Ya
saya. Siapa ni?” Jawab Taufik.
“Saya
Hasrol lelaki yang menjadi cina buta kepada Marisa. En. Taufik pasti ingat pada
saya kan?”
“Ya,
ya, aku ingat kau ni cina buta yang aku upah supaya kahwin dengan Marisa. Apa
yang kau nak?” Dengan selamba Taufik menyoal Hasrol. Hasrol tersentak sedikit
bila ditanya begitu.
“Encik
Taufik dah lupa ke dalam perjanjian hari ini hari terakhir kami berkahwin.
Encik Taufik kena datang ke rumah saya dengan membawa sejumlah wang yang
dijanjikan dan selepas itu baru saya akan ceraikan Marisa,” Hasrol cuba
mengingatkan.
“Kalau
saya tak nak bayar?” Sekali lagi Taufik melontarkan soalan yang agak
mengejutkan Hasrol.
“Encik
Taufik ni pandai buat lawak la. Mesti Encik Taufik ni peminat Jambu Raja
Lawak,” Hasrol membalas dengan gurauan juga.
“Aku
serius ni. Aku tak nak rujuk Marisa semula. Sekarang ni terpulang pada kau nak
teruskan hubungan kau sebagai suami dia atau kau ceraikan dia saja. Dan satu
lagi tiada pembayaran akan dilakukan okey. Semuanya terbatal!”
Hasrol
terdiam seketika selepas mendengar penjelasan Taufik tadi. Dia mula merasakan
yang Taufik betul-betul serius tidak mahu untuk merujuk semula Marisa.
Tangannya kelihatan menggigil seperti menahan marah. “Minta maaf En. Taufik. Boleh ulang sekali lagi apa yang
En. Taufik cakap tadi? Saya kurang jelas,” pinta Hasrol. Dia mengawal suaranya
dengan baik walaupun mukanya merah sedang menahan marah. Dengan sepantas kilat
dia menukar mode tabnya kepada loud speaker dan menghulurkan tabnya itu
ke arah Marisa. Marisa pelik melihat perbuatan Hasrol tadi.
“Kau
pekak ke? Aku cakap aku tak nak Marisa tu. Kalau kau nak kau ambil terus. Aku
bagi percuma. Tetapi kau harus ingat, kau tak akan dapat satu sen pun duit
aku!” Kali ini suara Taufik agak tinggi sehingga jelas suaranya itu keluar dari
corong speaker tab Hasrol.
Mata
Marisa membulat. Bibirnya menggeletar tatkala mendengar pengakuan Taufik tadi.
Dia tidak menyangka Taufik saggup berkata begitu. Hatinya betul-betul terguris.
Rasa kesal mula dirasainya kerana mempercayai Taufik. Dia tidak tahu kenapa
Taufik boleh berubah sikap. Sedangkan sebelum ini Taufik mengharapkan agar dia
kembali kepada lelaki itu. Lelaki yang dicintainya itu telah mengkhianati
cintanya yang tulus dan ikhlas. Tidak semena-mena air matanya berjujuran kerana
tidak dapat menahan pilu yang dirasakan seperti dihiris sembilu.
Hasrol mengubah semula mode tabnya kepada yang asal sebelum
menekup tabanya itu di telinga kanannya. “Kau ingat aku hairan sangat dengan
duit kau. Apa salah Marisa sampai kau sanggup mempermainkan perasaan dia. Kau
ingat kau kaya kau boleh buat sesuka hati? Kau yang bodoh sebenarnya kerana
Marisa lebih berharga dari semua kekayaan yang kau ada!” Tengking Hasrol. Dia
sudah tidak dapat bersabar lagi. Dia sudah naik darah bukan disebabkan tidak
mendapat wang yang dijanjikan oleh Taufik, tetapi kerana Taufik telah memainkan perasaan
Marisa.
Taufik
tidak membalas kata-kata Hasrol. Hanya gelak ketawa yang didengari oleh Hasrol
sebelum panggilan itu dimatikan oleh Taufik. Hasrol masih berdiri tegak disitu
sambil kepalanya ditundukkan sedikit. Marisa tidak berkata apa-apa. Dia merasa
sebak mendengar kata-kata Hasrol yang membela dirinya tadi. Marisa hanya
memerhatikan Hasrol yang masih tarpacak tidak bergerak disitu. Tiba-tiba Hasrol
mengangkat tangannya sambil tapak tangannya dikepal menjadi penumbuk.
“Argghh…!!!”
Hasrol menjerit dengan sekuat hatinya lantas dia menumbuk almari kayu yang
berada di hadapannya.
‘Prakkk!!’. Almari kayu itu pecah
apabila penumbuk Hasrol mencecah di permukaan kayu almari itu. Hasrol merengus.
Nafasnya naik turun. Selepas itu dia berjalan dengan laju mendapatkan kunci
kereta dan keluar dari rumah tanpa berkata apa-apa. Tergamam Marisa melihat
perlakuan Hasrol tadi. Ini kali pertama dia melihat Hasrol sedahsyat itu.
Melihat perlakuan Hasrol yang ibarat seperti harimau yang terluka, Marisa tidak
berani hendak menegurnya. Dibiarkan Hasrol pergi meninggalkannya keseorangan di
apartment itu.
Bila nak sambung? @ Ada harapan ke versi cetak.
BalasPadamKalau tak ada masalah saya akan masukan hingga bab terakhir, Saya tak mengharap pun versi cetak. Terima kasih sudi komen. Silalah komen lagi.
BalasPadamkali pertama saya baca kat penulisan2u, saya memang dah jatuh suka abes dengan cerita ni. agak berbeza dari lain. kalau tak ada versi cetak, versi internet pun jadi la. jangan stop tulis psl citer ni. nak tau jugak ending citer ni mcm mana
BalasPadamSejujurnya sy tak pernah baca novel. Tak sangka cerita ni buat sy baca sampai ke bab 23.cerita apa lagi yg cik tulis ye?sy nak baca cerita lain lepas habis cerita ni
BalasPadam