Kahwin Dengan Cina Buta Bab 20

BAB 20

“Risa dengan Ashraf sihat?” Soal Taufik sebaik sahaja dia duduk bersama Marisa. Zura pula sudah pergi meninggalkan mereka.                                                                        

“Alhamdulillah bang, Risa dengan Ashraf sihat saja. Abang sihat? Dah lama abang tak hubungi Risa. Risa fikir abang dah tak ambil tahu pasal Risa dengan Ashraf lagi,” Risa berterus terang. Dia berkata benar. Daripada dipendamkan baik diluahkan saja kepada Taufik pada hari ini.                                                                                                                                          
“Abang pun sihat,” Taufik menghela nafas sebelum menyambung semula katanya. “Abang minta maaf banyak-banyak kat Risa sebab sudah lama tak menghubungi Risa. Bukan abang tak ambil tahu pasal Risa dengan Ashraf. Abang betul-betul sibuk. Abang kan pernah beritahu kat Risa yang abang sedang uruskan syarikat arwah ayah seorang diri sebab pemegang saham terbesar syarikat masih belum tunjukkan muka lagi. Lainlah kalau pemegang saham terbesar tu ada, boleh bekerjasama dengan abang uruskan syarikat arwah ayah. Sampai sekarang kami masih tidak tahu lagi siapa gerangannya.” Taufik sengaja membuka cerita mengenai pemegang saham terbesar itu, mana tahu Marisa tahu siapa pemiliknya dan di mana pemegang saham itu berada sekarang. Taufik juga sengaja tidak memberitahu siapa pemegang saham tertinggi itu walaupun dia sudah mengetahuinya.                                                                                      

“Terima kasih sebab abang tolong uruskan syarikat arwah ayah. Risa memang tidak boleh nak bantu abang. Risa pun tidak tahu siapa gerangan pemegang saham terbesar tu. Kalau betul arwah ayah yang beri saham tu, kenapa tidak beri kepada anaknya sendiri? Dan kenapa arwah ayah nak rahsiakan pengalihan saham tu pada orang lain daripada Risa,” Marisa mengeluh. Dia rasa terhutang budi pada Taufik kerana telah menguruskan satu-satunya syarikat milik arwah ayahnya. Memang syarikat itu telah berpindah tangan. Tetapi Marisa tidak pasti siapa orangnya yang memiliki saham yang terbesar itu.                                                                      

Taufik sedikit kecewa dengan jawapan yang diberikan oleh Marisa. Ternyata itu bukan jawapan yang dia inginkan. “Selagi abang mampu, selagi itu abang akan berusaha menguruskan syarikat arwah ayah. Yang penting abang dapat sokongan dari Risa dan Ashraf sudah memadai,” ujar Taufik. Dia terdiam dan merenung wajah Marisa. Seperti ada sesuatu yang dia ingin dikatakan.                                                                                                                               

“Kenapa bang?” Marisa yang menyedari perubahan Taufik mula bertanya.                             

“Hari ini kan hari terakhir perkahwinan Marisa dengan cina buta tu. Jadi abang nak tanya adakah Marisa bersedia untuk diceraikan oleh cina buta tu dan kembali semula pada abang?” Balas Taufik dengan soalan juga.                                                                                                         

Soalan daripada Taufik tadi menyebabkan lidah Marisa kelu seketika. Adakah patut dia menceritakan apa yang telah berlaku antara dia dengan Hasrol. ‘Tidak! Tidak! Aku tak boleh ceritakan kat abang Taufik perasan aku terhadap Hasrol. Dia mesti kecewa jika tahu aku sedang bercinta dengan Hasrol. Biarlah ia menjadi rahsia! sekarang takdir sudah memihak pada abang Taufik! Janji tetap janji!’ kata-kata yang terkeluar dari hati Marisa. Dia memutuskan untuk memilih Taufik walaupun hatinya pedih untuk menzahirkan keputusan itu kerana terpaksa menolak cinta Hasrol. Tetapi itulah hakikat sebenarnya. Marisa terpaksa bercerai dengan Hasrol dan dia berharap agar Hasrol dapat menerima keputusan itu dengan hati yang terbuka.                      

“Dari awal lagi, ketika Risa terima cadangan abang untuk berkahwin dengan lelaki lain, Risa sudah bersedia segala-galanya,” jawab Marisa.                                                             

“Bukan apa. Abang takut Risa tiba-tiba boleh jatuh cinta dengan cina buta tu. Tengok cina buta tu hensem juga.”                                                                                                      

Bergetar hati Marisa mendengar kata-kata Taufik tadi. Dia tidak menyangka yang Taufik boleh berkata begitu. Apa yang dikatakan oleh Taufik tadi memang sudah berlaku. Memang dia sudah jatuh cinta pada Hasrol. Adakah Taufik tahu bahawa dia sudah jatuh cinta pada Hasrol? Tetapi demi menjaga hubungannya dengan Taufik, dia akan merahsiakan perasaan hatinya itu. Marisa cuba untuk senyum sebelum berkata. “Risa hanya cintakan abang sahaja. Tak ada lelaki lain yang dapat mencuri hati Risa. Hanya abang sahaja yang ada di dalam hati Risa.” Marisa cuba menahan sedih. Dia terpaksa berbohong.                                                                  

“Abang pun cintakan Risa juga. Abang janji akan jaga Risa dengan Ashraf bila kita sudah berkahwin nanti. Oh ya, Nanti beritahu kat cina buta tu esok pukul 10.00 pagi abang datang rumahnya untuk jemput Risa dengan Ashraf. Risa bersiap-siaplah berkemas, sebab selepas itu Risa dengan Ashraf akan tinggal dengan abang,” ujar Taufik.                                                                   

Risa sedikit terkejut. “Tapi pada masa tu kita belum berkahwin lagi,” beritahu Marisa. Dia merasakan tidak sesuai jika dia dengan Ashraf tinggal bersama dengan Taufik selepas  bercerai dengan Hasrol nanti kerana dia dan Taufik tidak ada apa-apa hubungan yang menghalalkan untuk mereka berbuat demikian.                                                                         

“Risa jangan khuatir. Kat rumah abang dah ada dua orang pembantu rumah. Mereka pun suami isteri. Jadi tak ada istilah kita ni berkhalwat jika tinggal bersama nanti. Abang bukan apa, senang sikit abang nak tengok-tengokkan Risa dengan Ashraf kalau tinggal dengan abang,” jelas Taufik sambil tersenyum ke arah Marisa.                                                                                                
Marisa membalas senyuman. “Kalau macam tu tak apalah. Risa setuju tinggal dengan abang.” Kedengaran sayup-sayup bunyi nada dering telefon bimbit milik Marisa. Marisa membuka beg tangannya dan mengambil telefon bimbit itu dan memerhatikan siapa yang menghubunginya. Muka dia sedikit berubah apabila Hasrol yang menghubunginya. Lantas dia mematikan panggilan itu. Dia tidak mahu Taufik tahu yang Hasrol menghubunginya. Tetapi tidak lama selepas itu ia berbunyi lagi. Sekali lagi Marisa mematikan panggilan itu tanpa melihat nama pada skrin telefon. Dia tahu Hasrol yang mneghubunginya. Akhirnya dia mematikan telefon bimbitnya agar tiada panggilan yang dapat masuk lagi.                                      

Selepas Marisa meletakkan telefon bimbitnya di dalam beg tangan  dia memandang semula Taufik. Taufik mengangkat sedikit keningnya lalu bertanya. “Siapa yang call tu?”                       

Marisa menghela nafas. Dia sudah tahu Taufik pasti akan bertanya mengenainya.  Dia terpaksa menipu lagi. “Orang insurans yang call. Tak habis-habis nak promote supaya Risa ambil insurans dengannya. Sebab itu Risa tak layan sangat.”                                                                  

Taufik hanya mengangguk sahaja. Daripada mimik muka Marisa dia tahu panggilan itu datangnya daripada Hasrol. Sengaja dia buat-buat tak tahu. Dia juga tahu yang Marisa sudah jatuh cinta pada Hasrol. Itu pun tahu dari Zura. Tetapi dia berasa lega kerana Marisa masih lagi menerima untuk berkahwin dengannya semula. Pertang itu Taufik mengambil peluang dan ruang untuk mengambil semula hati Marisa. Marisa terlupa seketika tentang Hasrol suaminya itu.

+++++

Hasrol kelihatan sedang duduk di ruang tamu. Tangannya tidak lepas memegang remote televisyen dan bertukar-tukar siaran. Sesekejap dia membuka siaran HBO. Tak sampai semint tukar pula TV1 dan seterusnya siaran TV9. Dia berasa amat bosan sekali. Dia menutup terus televisyen yang terbentang di hadapannya itu dan mencampak remote di sebelahnya.                         

Hasrol bingkas dari sofa dan berjalan masuk ke dalam bilik tidur utama. Dia menyelongkar almari seperti sedang mencari sesuatu. Akhirnya dia menjumpai benda yang dicarinya dan mengeluarkannya dari dalam almari. Rupa-rupanya ianya sebuah buku. Buku yang setebal 120 muka surat itu bertajuk ‘Keluarga Bahagia’ dipimpinya sambil berjalan keluar dari bilik tidur utama.                                                                                                                                             

Hasrol kembali semula ke ruang tamu dan menghenyakkan punggungnya di atas sofa. Buku yang diambilnya tadi dibuka dan dibacanya. Dia menarik minat pada ayat yang ditulis oleh penulis buku itu. ‘Bagi membentuk keluarga yang bahagia dan menjadikan rumah sebagai syurga, maka sembahyang berjemaah sekeluarga mesti diadakan secara terus menerus, sekurang-kurangnya sekali seminggu bagi keluarga yang sibuk, atau tiap-tiap hari bagi keluarga yang mempunyai kemampuan. Amalan ini mempunyai faedah yang besar serta dapat mendidik anak-anak menghayati Islam dengan sebenar, serta dapat membentuk akhlak yang baik. Ibu bapa sebagai pemegang amanah daripada Allah S.W.T. untuk mendidik dan mencorakkan anak-anak mereka ke jalan yang benar, adalah berkewajipan untuk mendidik anak-anak mereka tentang pelaksanaan tanggungjawab ibadat sejak mereka masih kecil lagi.’                                       

Selepas membaca ayat di dalam buku tadi Hasrol mula sedar, semenjak dia berkahwin dengan Marisa tidak pernah pun sekali dia mengajak Marisa solat berjemaah bersama-sama. “Mulai malam aku nak ajak isteri dan anak aku solat berjemaah bersama, supaya keluarga kami akan bertambah bahagia. Nak jadi suami berimanlah katakan. Hehehe…,” Hasrol berkata sendiri. Dia menyelak muka surat seterusnya untuk menghadam ilmu pengetahuan yang ada di dalamnya. Sehelai demi sehelai muka surat dibacanya dengan tekun. Semuanya demi menjadi seorang suami yang beriman. Suami kepada Marisa perempuan yang telah meragut hatinya. Dia tersenyum sendiri.

+++++

Kereta Mini Cooper yang dipandu oleh Marisa sedang melalui jalan Bandar Klang. Nampaknya Marisa sedang dalam perjalanan pulang ke rumah. Semasa memandu, fikiran Marisa melayang memikirkan apa yang patut dia beritahu untuk berterus terang pada Hasrol nanti. Dia khuatir jika Hasrol tidak dapat menerima kenyataan untuk berpisah dengannya. Fikiran Marisa berkecamuk. Hatinya gundah gulana. Kalau boleh dia tidak mahu mengecewakan perasaan Hasrol. Tetapi dia tiada pilihan. Keputusan telah dibuat. Hanya tinggal untuk diberitahu pada Hasrol sahaja.                                                                                                                             
Akhirnya Marisa sampai di parkir bawah apartment. Baru dia teringat yang dia belum menghidupkan telefon bimbitnya yang dimatikan semenjak petang tadi. Dia masih di dalam kereta sambil mengeluarkan telefon bimbit yang berada di dalam beg tangan dan menghidupkannya semula.                                                                                                                 
Sebaik sahaja telefon bimbitnya dihidupkan, terdapat tiga pesanan ringkas masuk melalui telefon bimbitnya dan Marisa menyemak kesemua pesanan ringkas yang diterimanya. Pesanan ringkas yang pertama memaklumkan terdapat tiga panggilan masuk yang tidak dijawab. Dua panggilan masuk tersebut daripada Hasrol dan Marisa maklum mengenainya. Satu lagi panggilan daripada Taufik. Marisa mengerutkan keningnya. “Kenapa abang Taufik call ye?” Marisa bertanya dirinya sendiri.                                                                                                                   

Marisa memeriksa pesanan ringkas yang kedua. Pesanan ringkas tersebut datangnya daripada Hasrol. ‘Awak cepat balik, saya rindu bangat kat awak ni.’ Marisa tersenyum tawar membaca pesanan ringkas daripada Hasrol. Dia sebenarnya gembira tatkala membaca pesanan ringkas itu, tetapi memikirkan yang Hasrol bukan lagi jodohnya terpaksa Marisa melawan perasaan itu. Tinggal satu lagi pesanan ringkas yang belum dibaca oleh Marisa. Apabila Marisa membukanya ianya datang dari Taufik. ‘Risa tak hidupkan lagi ye telefon tu. Hati-hati memandu. Dah sampai sms abang pun tak apa.’ Marisa membalas pesanan ringkas daripada Taufik. Terharu dia kerana Taufik mengambil berat padanya. Padahal dia tidak tahu semuanya itu hanya lakonan semata-mata.                                                                                                                                        

Marisa keluar dari kereta dan berjalan pulang kerumah. Sampai sahaja dia dihadapan pintu diselaknya pintu itu sambil menjenguk kepalanya. Tangan kirinya digunakan untuk membuka kedua-dua kasutnya.                                                                                                          

“Ha, baru balik ke? Saya dah menggeletar menunggu awak ni,” sergah Hasrol. Dia menutup kembali buku yang dibacanya dan diletakkan di atas meja sofa. Lantas dia bingkas bangun untuk menyambut Marisa.                                                                                                

“Menggeletar? Kenapa, awak sakit ke? Saya tengok tak menggeletar pun, sihat je,” Marisa hairan mendengar kata-kata Hasrol tadi.                                                                    

“Hehe…. Tadi je menggeletarnya sekarang tak sebab awak dah balik. Tu tandanya saya menggeletar sebab rindu kat isteri saya,” seloroh Hasrol. Dia tergelak kecil. Tetapi gelaknya dihentikan apabila dia melihat wajah Marisa yang agak sayu. Seperti mempunyai masalah yang sukar hendak diselesaikan. “Awak kenapa?” Soal Hasrol perlahan.                                            

‘Adakah patut aku terangkan segala-galanya sekarang? Jika tidak bila lagi. Nak tak nak aku mesti beritahu pada dia juga hari ini. Tapi nanti dulu. Dimana Ashraf?’ bisik hati Marisa. “Awak Ashraf mana?” Selepas mata Marisa melilau mencari Ashraf, dia memandang Hasrol pula.                                                                                                                                       
“Ashraf tidur, penat main game tadi agaknya,” Hasrol masih tersenyum lagi. “Awak tak beritahu saya lagi kenapa muka awak nampak muram ni?” Soal Hasrol sekali lagi.                    

“Awak… Tadi semasa saya berjumpa dengan Zura saya… Saya…,” Marisa seperti susah hendak menghabiskan kata-katanya.                                                                                                

“Kenapa awak ini. Macam ada masalah besar je. Ceritalah, mana tahu saya boleh bantu,” pujuk Hasrol. Di dalam fikirannya tidak terlintas pun masalah ini ada kaitan dengan Taufik.            

“Saya takut awak tak boleh terima kenyataan!” Marisa meninggikan sedikit suaranya. Air matanya mula bergenang.                                                                                                                   

Hasrol merasa ada yang tidak kena. Hatinya tidak sedap. Tiba-tiba dia teringatkan Taufik. “Tak akan….,” Hasrol terdiam semula.                                                                                        

“Awak mesti dah boleh agakkan apa yang saya nak beritahu pada awak sebenarnya?” Bibir Marisa bergetar menahan nangis.                                                                                          

“Pasal Taufik?” Pendek jawpan Hasrol sekadar menduga.                                                    

Marisa mengangguk lemah. Air matanya mula berderai. Hasrol menarik nafas panjang dan melepaskannya dengan keluhan. Sekarang dia tahu yang Taufik telah berjumpa dengan Marisa. “Tak sangka yang akhirnya Taufik tu jumpa awak juga. Jadi saya nak tahu apa keputusan awak?” Hasrol menyoal lagi. Dia sebenarnya sudah tahu jawapan yang akan diberikan oleh Marisa tetapi dia masih berharap agar jawapan itu boleh diubah. Hanya Marisa sahaja yang boleh mengubahnya.                                                                                                                         

“Saya minta maaf awak. Kita sudah tiada jodoh!” jelas lagi terang jawapan yang diberikan oleh Marisa walaupun diiringi oleh tangisan. Hasrol menelan air liur apabila mendengar jawapan yang diberikan oleh Marisa tadi. Harapannya untuk terus menjadi suami Marisa berkecai. Jadi esok dia akan menceraikan Marisa!. Kalau boleh hendak sahaja dia memujuk Marisa supaya tidak kembali semula pada Taufik. Tetapi apabila melihat Marisa dalam keadaan tertekan dia membatalkan hasratnya itu. Dia tak nak menambah lagi tekanan pada Marisa.                                                                                                                                           

Hasrol merapatkan dirinya pada Marisa. Dilapnya air mata yang mengalir di pipi gebu Marisa. “Saya janji akan ceraikan awak esok. Kebahagian awak sudah cukup untuk saya turut bahagia. Saya sentiasa akan doakan kebahagian awak,” lembut Hasrol berkata. Itu sahaja yang boleh dia katakan. Marisa pula memeluk Hasrol dengan erat. Tangisannya makin bertambah. Sedih bercampur terharu mendengar kata-kata Hasrol tadi.                                                     

“Awak… Saya minta maaf. Tetapi percayalah yang saya tetap sayangkan awak. Takdir tidak menyebelahi kita. Awak memang seorang lelaki yang baik. Selama saya dan Ashraf hidup dengan awak, kami bahagia. Terima kasih awak kerana memahami saya. Saya tidak akan lupakan kenangan kita bersama. Saya akan abadikan di dalam hati saya walaupun kita sudah tidak bersama lagi,” jelas Marisa. Hasrol mengangkat tangannya dan turut sama memeluk Marisa.                                                                                                                                          

“Saya redha awak dengan perpisahan ini. Mungkin ada hikmah disebalik apa yang berlaku. Sudahlah awak, jangaan menangis lagi takut Ashraf nampak, apa pulak dia fikir nanti,” Hasrol memegang bahu Marisa ditenungnya Marisa dengan senyuman. Walaupun ianya satu senyuman tetapi Marisa dapat lihat kekecewaan yang terukir diwajah Hasrol. “Awak pergilah berehat dulu. Saya nak kejutkan Ashraf. Dah nak masuk waktu Maghrib ni. Asar pun dia belum solat lagi,” beritahu Hasrol lagi.                                                                                                       

Hasrol berpaling meninggalkan Marisa. Dalam sedang dia berjalan sempat dia menyeka air mata yang akhirnya tidak dapat dikawal merembes keluar dari matanya. Sebab itulah dia tergesa-gesa untuk pergi meninggalkan Marisa. Takut Marisa sedar akan tangisannya itu selanjutnya akan menyebabkan Marisa berasa serba salah.                                                               

Marisa hanya memerhatikan Hasrol masuk ke dalam bilik tidur Ashraf. Sebaik Hasrol hilang sebalik pintu bilik, Marisa berjalan ke arah bilik tidur utama dan langkahnya terhenti apabila melihat sebuah buku di atas meja sofa di ruang tamu. Dia bingkas mengambil buku itu dan melihat tajuknya. Marisa terkesima apabila membaca tajuk buku itu. Dia menoleh semula pandangannya pada bilik Ashraf. Wajahnya mencebik. Buku yang masih berada dalam genggamannya dibawa masuk sekali di dalam bilik tidur utama.

+++++

Pada malam itu, mereka solat Maghrib berjemaah. Hasrol yang mengajak Marisa dan Ashraf untuk berjemaah bersama. Walaupun Hasrol tahu bahawa malam ini adalah malam terakhir mereka bersama, sekurang-kurangnya dia dapat merealisasikan azamnya untuk solat berjemaah bersama dengan mereka. Selepas solat, Marisa ke dapur untuk membuat persiapan makan malam. Ashraf dengan Hasrol di ruang tamu menonton televisyen. Tidak lama selepas itu Hasrol bingkas ke dapur. Dia memerhatikan Marisa sedang memanaskan lauk. Perlahan dia berjalan. Marisa menyedari Hasrol datang kepadanya hanya tersenyum.                                             

“Ada apa yang boleh saya bantu?” Hasrol sukarela ingin membantu.                             

“Tak ada apa-apa awak. Nanti saya siapkan semuanya. Awak pergilah temankan Ashraf,” pinta Marisa.                                                                                                                                          

“Tak apalah. Saya kena belajar buat kerja rumah. Lepas ni saya yang kena buat sendiri,” Hasrol sengaja berkata.                                                                                                                       

Marisa berpaling memandang Hasrol. “Awak, janganlah cakap macam tu. Serba salah saya tahu. Tak sanggup saya mendengarnya.”                                                                         

“Yelah, sory… Saya janji lepas ni saya tak cakap macam tu lagi,” Hasrol mengangkat tangan tanda berikrar. “Saya bawa nasi dengan air kat depan ye?” Mata Hasrol memandang nasi dan air teh o yang berada di atas meja dapur. Marisa mengangguk.                                      

“Thanks sayang,” ucap Marisa.                                                                                                

Hasrol mengecilkan matanya dan tersenyum.

+++++

Selepas makan malam siap dihidang, Hasrol, Marisa dan Ashraf makan bersama-sama. Mungkin malam ini adalah malam terakhir mereka untuk makan bersama. Hasrol dan Marisa menyedari perkara itu. Tetapi tidak bagi Ashraf yang masih menganggap kebahagian keluarga barunya itu berkekalan.                                                                                                         

Selepas makan, Hasrol membantu mengangkat pinggan mangkuk yang telah digunakan masuk ke dalam dapur. Ashraf seperti biasa akan duduk di ruang tamu. Selepas meletakkan pingan mangkuk di dalam sinki Hasrol keluar dari dapur. Kelihatan Marisa sedang mengelap meja makan. Hasrol mendekati Marisa.                                                                        

“Awak, saya keluar dulu. Nanti jangan lupa kunci pintu. Saya ada bawa kunci spare,” beritahu Hasrol.                                                                                                                                    

Marisa berhenti mengelap meja. “Awak balik lambat ke malam ni? Ada benda saya nak bincang dengan awak. Pasal esok.”                                                                                                      

“Saya keluar tak lama. Saja saya suruh awak kunci rumah untuk keselamatan sahaja. Baiklah, saya akan balik awal. balik nanti kita bincang. Bye awak,” Hasrol tersenyum sebelum berpaling.                                                                                                                         
“Awak…,” tegur Marisa.                                                                                                        

Hasrol berhenti melangkah. “ya?”                                                                                

Suasana diam seketika. Marisa memandang Hasrol. Hasrol masih menunggu jawapan dari Marisa. “Hati-hati....,” pesan Marisa, ringkas.                                                                                   

Hasrol tersenyum dan mengangguk sebelum beredar meninggalkan Marisa. Marisa masih berdiri tegak disitu memerhatikan Hasrol.
                                                                                            
Marisa tahu, walaupun Hasrol sentiasa tersenyum tetapi di dalam hati Hasrol terpendam beribu kekecewaan. “Awak, saya minta maaf,” kata Marisa sendiri.

Ulasan

Catatan popular daripada blog ini

Kahwin Dengan Cina Buta Bab 4

Kahwin Dengan Cina Buta Bab 1

Kahwin Dengan Cina Buta Bab 27