Suami Olok-Olok Bab 1

BAB 1
Amira sedang memandu kereta. Agak laju juga dia memandu kereta jenis Nissan Almera   yang dihadiahkan oleh papa kepadanya. Ketika memandu sempat juga dia menelefon seseorang. Bunyi nada dering jelas kedengaran pada telinganya yang disumbat dengan earphone. Dia menunggu sehingga panggilannya dijawab dan akhirnya panggilannya itu dijawab oleh seorang lelaki.                                                                                                                       

“Hello,” suara lelaki itu sekadar berbasa-basi.                                                                        

Amira tersenyum apabila mendengar suara lelaki itu. Begitu bahagia rasanya apabila suara lelaki itu menusuk ke dalam telinganya walaupun nada suara lelaki itu seperti tidak bermaya.                                                                                                                                                

“Awak, saya sudah buat keputusan untuk tinggalkan keluarga saya. Sekarang ni tiada siapa lagi yang dapat menghalang cinta kita. Saya sudah tinggalkan segala-galanya demi cinta saya kepada awak. Awak janji kan akan berkahwin dengan saya walaupun apa yang bakal berlaku nanti?” Beritahu Amira dengan penuh semangat. Tetapi lelaki yang dihubunginya itu hanya mendiamkan diri seperti tidak berminat dengan apa yang dikatakanya tadi.                                                                                                                                            
“Awak!” Amira cuba mendapatkan perhatian lelaki itu apabila lelaki itu tetap mendiamkan diri. Sakit hati juga Amira apabila melihat tindak balas yang hambar daripada lelaki itu. Tetapi dia tidak sanggup untuk meluahkan kemarahan demi cintanya pada lelaki itu.                                                                                                                                              
“Baiklah. Kita jumpa kat tempat biasa.” Akhirnya lelaki itu bersuara. Ringkas sahaja arahanya. Tetapi cukup bagi Amira yang mengharapkan tindak balas dari lelaki itu.              

“Baiklah. Saya dalam perjalanan ke sana. Kalau awak sampai dahulu awak tunggu tau. Saya ada perkara penting hendak kongsi dengan awak. I love you sayang,” ujar Amira. Tetapi lelaki itu tidak membalas hanya mematikan panggilan yang dibuat oleh Amira tadi.      

Walaupun panggilan Amira mendapat sambutan yang dingin dari lelaki yang dihubunginya tadi, Amira tetap tidak ambil hati. Janji dia dapat berjumpa lelaki itu dan memberitahu perkara yang amat penting baginya. Apakah perkara yang amat penting itu? Perkara yang amat penting itu ialah dia kini sedang mengandung. Dan yang paling penting lagi anak dalam kandungan yang baru berusia 2 minggu adalah anak lelaki itu. Dia tidak sabar untuk sampai di lokasi yang dijanjikan dan menceritakan perkara penting itu.

+++++

Amira tiba di tasik Kelana Jaya. Memang lokasi itu menjadi tempat dia bersama lelaki itu berjumpa untuk bermadu kasih. Walaupun ada juga tempat-tempat lain yang menjadi pilihan, tetapi di tasik itulah banyak kenangan yang dicipta bersama dengan lelaki itu.                      

Amira memilih sebuah kerusi yang menghadap tasik. Cuaca pada lewat petang itu tidaklah begitu terik. Kelihatan ramai umat manusia yang sedang berjogging di laluan yang disediakan. Selain itu juga ramai juga pasangan-pasangan yang tidak diketahui status perkahwinan mereka sedang memadu kasih pada lokasi-lokasi yang strategik di tasik itu.             

Hampir 1 jam lamanya Amira menunggu lelaki yang dicintainya itu. Tetapi batang hidung lelaki itu masih tidak kelihatan. Amira tetap sabar menunggu sehingga masa berlalu sehingga 2 jam lamanya. Pada ketika itu baru Amira rasa sesuatu yang tidak kena apabila lelaki yang ditunggunya masih belum muncul.                                                                             

Amira tidak boleh menunggu lagi. Lantas dia mendapatkan telefon bimbitnya dan menghubungi lelaki itu. Hatinya bertambah tidak tenteram apabila panggilannya dijawab oleh operator. Maknanya telefon bimbit lelaki itu dimatikan. Tanpa jemu dia cuba menghubungi lelaki itu berkali-kali dan mengharapkan agar lelaki itu dapat menjawab panggilannya. Tetapi dia tetap kecewa apabila kesemua panggilannya dijawab oleh operator.                                              

Hatinya berdebar-debar. Dia tidak tahu mengapa telefon bimbit lelaki itu dimatikan. Adakah sengaja dimatikan agar dia tidak dapat menghubungi lelaki itu? Atau lelaki itu ditimpa musibah? Dia menyimpan semula telefon bimbit dan bangun dari duduknya. Kelihatan seperti ada tempat yang ingin ditujunya selepas ini. Mungkin dia akan pergi ke tempat tinggal lelaki itu. Kereta Nissam Almeranya bergerak sebaik sahaja Amira menghidupkan enjin kereta itu. Laju dia membawa dengan harapan dapat berjumpa dengan lelaki itu.

+++++

Amira sampai di sebuah perumahan teres setingkat di Petaling Jaya. Dia memberhentikan keretanya betul-betul di hadapan pagar sebuah rumah yang agak sunyi. Amira segera keluar dari keretanya dan cuba untuk membuka pintu pagar rumah itu. Tetapi pintu pagar rumah itu berkunci dan keadaan rumah itu juga seperti sudah tidak berpenghuni.   Memang rumah itu adalah rumah sewa lelaki yang dicintai oleh Amira. Rumah itu juga menjadi tempat Amira dan lelaki itu menghabiskan sisa-sisa malam apabila mereka lewat pulang dari berhibur. Amira melepaskan keluhan apabila gagal untuk membuka pintu pagar rumah itu.                                                                                                                          
“Awak! Awak! Saya kat luar ni. Tolonglah buka pintu ini!” Jerit Amira. Walaupun dia tahu tiada siapa yang menghuni rumah itu tetapi dia tetap juga mencuba untuk memanggil penghuninya. Air matanya tiba-tiba mengalir apabila memikirkan yang dia tidak akan dapat berjumpa dengan lelaki itu.                                                                                                                   

“Amoi ini rumah sudah tak ada orang duduk,” tegur seorang perempuan cina tua yang merupakan jiran rumah sewa lelaki itu. Mungkin jeritan Amira di luar pagar tadi mendapat perhatian perempuan cina tua itu.                                                                                                  

Amira mengesat air matanya seraya memandang wajah perempuan cina tua yang menegurnya tadi. “Sudah berapa lama auntie rumah ini tiada orang duduk?” Soalnya pula.      

“Sudah seminggu amoi.”                                                                                                        

“Auntie tahu orang yang duduk di rumah ini dulu pergi mana?” Amira cuba mendapatkan maklumat dari perempuan cina tua itu.                                                                

“Tak tahu,” ringkas jawab perempuan cina tua itu menyebabkan Amira berasa kecewa. Selepas menjawab pertanyaan Amira tadi perempuan cina tua itu berjalan ingin masuk semula ke dalam rumahnya. Amira memerhatikan perempuan cina tua itu berjalan sehingga masuk ke dalam rumahnya.                                                                                                

Sebaik sahaja perempuan cina tua itu masuk ke dalam rumahnya, Amira jatuh melutut. Kakinya begitu lemah untuk berdiri apabila mendapat tahu lelaki yang dicintainya itu menghilangkan diri. Sambil melutut Amira mengeluarkan telefon bimbitnya sekali lagi dan cuba menghubungi lelaki itu. Masih seperti sebelumnya. Panggilannya hanya dijawab oleh operator.                                                                                                                                              

“Sampai hati dia tinggalkan aku. Sampai hati dia mungkiri janjinya. Apa yang aku nak buat ni? Aku memang tak boleh balik rumah papa lagi sebab papa betul-betul marah dan benci aku. Dan masalah yang paling besar ialah kandungan aku ni. Ya Allah sesungguhnya inilah balasan Kau padaku yang melakukan perkara yang kau tegah,” ujar Amira sambil menangis teresak-esak.                                                                                                                        
Dia tiada siapa ketika ini kecuali kawan baiknya Nadia dan Maimunah. Dengan mereka sahaja Amira boleh mendapatkan bantuan. Dengan payah Amira cuba bangun dan berjalan masuk ke dalam keretanya. Dengan berbekalkan sedikit kekuatan, Amira akan cuba untuk menjaga kandunganya walaupun dia begitu benci pada ayah kandungan itu.

+++++

Amira tersedar dari lamunannya apabila dia terdengar bunyi bising di dalam bas ekspress yang dinaikinya. Nampaknya bas ekspress yang dinaikinya dari Alor Setar Kedah telah sampai di Perhentian Stesen Bas Shah Alam apabila orang ramai sedang bergerak turun dari bas itu.                                                                                                                                 

Amira menunggu sehingga semua penumpang di dalam bas itu keluar barulah giliran dia untuk turun. Dia terpaksa berbuat begitu kerana kandungan di dalam perutnya yang sudah hampir menceceh 9 bulan menyebabkan dia tidak dapat bergerak laju. Takut ditolak oleh penumpang lain yang mungkin menyebabkan kecedaraan pada dirinya dan anak dalam kandungannya.                                                                                                                            

 Amira mengah apabila dia selamat turun dari bas. Walaupun tangga bas itu tidaklah banyak seperti tangga rumah flat tetapi Amira tetap juga merasai penatnya. Sebaik sahaja dia turun dari bas dia mencari kerusi kerana dia sudah tidak tahan lagi untuk berdiri. Dia memerhatikan kesemua kerusi yang berada berdekatan dengannya penuh dan pemerhatian matanya terhenti pada sebuah kerusi yang berada tidak jauh dari tempat dia berdiri.             

Selepas dia duduk di atas kerusi itu dia melepaskan hembusan nafasnya tanda lega dapat duduk dan merehatkan kakinya yang sudah mula rasa sengal. Selepas 5 minit dia duduk di atas kerusi itu, dia mengambil telefon bimbitnya dan menaip sesuatu padanya.                                

‘Maimunah aku dah sampai kat stesen bas.’ Selepas menaip ayat itu, Amira menakan butang hantar. Tidak sampai seminit pesanan ringkasnya dibalas.                                                            

‘Okey, 10 minit lagi aku sampai. Tungguuuu....’ Amira tersenyum membaca pesanan ringkas itu sebelum memasukkan semula telefon bimbit dalam beg tangannya.                                 

Tiba-tiba perut Amira berasa lapar. Dia memerhatikan sekitar stesen bas itu dan mendapati ada sebuah gerai menjual goreng pisang yang tidak jauh dari tempat duduknya. Walaupun tidak begiti jauh tetapi agak sukar juga Amira untuk berjalan sampai ke gerai itu. Oleh kerana terlalu lapar Amira gagahkan juga untuk membeli goreng pisang bagi mengisi perutnya.                                                                                                                                          
Semasa berjalan telefon bimbitnya berbunyi pula. Cepat-cepat dia membawa keluar telefon bimbit itu kerana menjangkakan Maimunah menghubunginya. Tetapi bukan Maimunah kerana hanya tertera nombor pada skrin telefon bimbintnya. Amira memerhatikan nombor yang tertera itu dengan kerutan pada keningnya. Dia seperti kenal akan nombor tersebut. Lantas dia menjawabnya.

++++
Farhan sedang memandu kereta untuk pulang ke rumah. Malam tadi dia tidak tidur kerana terpaksa menyertai operasi membenteras penagihan dadah di sekitar Subang Jaya. Jadi waktu tidurnya adalah apabila dia pulang ke rumah sewanya nanti. Tugas sebagai seorang pegawai polis memang begitu. Kadang-kadang pernah dia tidak tidur selama 2 hari gara-gara diarahkan menyerati operasi besar-besaran. Begitulah tugas Farhan yang bertugas di Bahagian Narkotik Ibu Pejabat Polis Shah Alam. Tetapi baginya ianya adalah satu amanah yang perlu dia galas dan bertanggungjawab terhadapnya.                                                              

Sebelum pulang ke rumah sewanya, kebiasaannya Farhan akan singgah di sebuah restoran yang berhadapan dengan Stesen Bas Shah Alam untuk membeli makanan tengahari. Selalu menu pilihannya ialah nasi ayam kerana ianya tidak perlu tunggu untuk dimasak dan cepat disediakan. Farhan hampir sampai di restoran itu dan telefon bimbitnya berbunyi tanda ada panggilan masuk. Dia tersenyum apabila mengetahui gerangan pemanggilnya dan segera memberhentikan kereta di tepi jalan sebelum menjawabnya.                                                           

“Hello sayang,” tegur Farhan sebaik sahaja panggilan itu dijawab. Panggilan itu datangnya dari tunangnya yang bernama Diyana. Sebab itu Farhan berasa gembira apabila menerima panggilan itu. Nampak sangat dia begitu sayang pada tunangnya itu. Bermulalah perbualan diantara Farhan dan tunangnya. Sempat Farhan memasang lampu signal sebelah kiri tanda kenderaannya tidak bergerak.

+++++

“Assalamualaikum,” pemanggil yang menelefon Amira memberi salam. Hampir menitis air mata Amira mendengar suara itu. Dalam keadaan sebak dia menjawab salam.                 

“Ni along Mira kan?” pemanggil itu bertanya pula.                                                              

“Hmm.. Mariah..,” jawab Amira dalam keadaan mencebik. Sempat dia menyebut nama pemanggil itu.                                                                                                                            

“Along sihat ke?” Mariah bertanya khabar Amira.                                                                 

“Alhamdulillah sihat. Mariah sihat?”   Terangguk-angguk Amira menjawab.                        

“Alhamdulillah sihat juga,” balas Mariah.                                                                                    

“Papa, mama?” Tiba-tiba Amira teringat kedua ibu-bapanya.                                                

“Sihat juga Long. Along tak nak balik jumpa kami ke? Kami semua rindu dengan Along. Papa dah tak marah kat Along. Papa nak Along pulang kat rumah kita,” beritahu Mariah membuatkan Amira bertambah sebak. Memang dia rasa bersalah kerana bersikap kurang ajar pada papanya dahulu. Dia tidak sangka papanya sanggup memaafkannya.                 

“Mana Mariah dapat nombor telefon baru Along?” Amira tidak menjawab pertanyaan Mariah sebaliknya dia menyoal adiknya pula.                                                                                    

"Kak Nadia yang bagi. Dia risaukan kat Along sebab dia cakap Along mengandung. Betul ke?”                                                                                                                                       

Amira terdiam. Dia tidak sangka Nadia yang memberi nombor telefonnya kepada Mariah. Dia tahu Nadia begitu begitu risau keselamatnya ketika dia hendak pulang ke Shah Alam dari rumah sewa Nadia di Kedah. Sebab itu dia merasakan Nadia terpaksa memberitahu adik Amira Mariah mengenai kepulangannya ke Shah Alam.                                                  

“Along,” Mariah menegur sekali lagi apabila pertanyaannya tidak berbalas.                 

“Ye Mariah, Along mengandung. Sudah nak bersalin,” akhirnya Amira menjawab. Suaranya agak perlahan tetapi jelas didengar oleh Mariah.                                                                     

“Minta maaf ye kalau Mariah bertanya. Along dah kahwin ke?” Kali ini soalan Mariah agak sensetif. Amira sedikit tersentak mendengarnya. Dia tidak tahu adakah dia patut berbohong atau menceritakan perkara yang sebenar.                                                                          

“Along dah kahwin.” Ringkas jawapan Amira dan semestinya itu adalah jawapan yang dusta. Dia tidak sanggup untuk memberitahu bahawa anak yang dikandungnya tidak berbapa.                                                                                                                                     

“Oh, syukurlah. Kak Nadia tak pun cakap kat Mariah pasal suami Along. Suami Along ada kat situ tak?”                                                                                                             

“Ada,” sekali lagi Amira berbohong.                                                                                      

“Kirim salam kat abang ipar Mariah tahu. Satu lagi boleh tak Mariah datang bawa papa dengan mama jumpa dengan Along. Kak Nadia ada bagi alamat rumah Along.”                       

‘Sampai alamat rumah Maimunah si Nadia ni bagi. Kenapalah tak berbincang dengan aku dulu,’ kata Amira di dalam hati. Marah juga dia pada Nadia kerana menceritakan kesemua perihal dirinya pada adiknya. Nasib baik kawannya itu tidak menceritakan dengan lebih lanjut mengenai kandungannya itu.                                                                                     

“Kalau Mariah nak datang, datanglah. Tapi beritahu Along dulu tahu,” Amira mengingatkan. Tiba-tiba dia berfikir kalau keluarganya datang nanti mana dia hendak cari suami jika mereka bertanya mengenainya. Lagi-lagi kalau papanya yang bertanya mesti sukar untuk dia menjawab kerana tidak sanggup untuk menipu papanya lagi.                                         

“Okey Along. Mariah tak sabar nak ceritakan berita gembira kat mama dengan papa. Apa-apa nanti Mariah telefon semula,” ujar Mariah. Suara ceria jelas kedengaran di corong telefon bimbit Amira.                                                                                                                                    

“Okey, assalamualaikum,” Amira memberikan salam tanda untuk menamatkan panggilan dan Mariah menjawab salam itu sebelum talian dimatikan. Selepas perbualan diantara Amira dengan Mariah tamat, Mariah segera berjalan untuk melintas jalan. Perutnya mesti diisi segera memandangkan perutnya rasa begitu lapar sekali. Tidak dapat dipastikan adakah dia yang lapar atau bayi dalam kandungannya itu.                                                                    

Semasa Amira melintas tiba-tiba perutnya berasa sakit mencucuk-cucuk. Diikuti dengan lelehan air yang mengalir bermula dari peha hingga ke betis. Cepat-cepat dia memegang perutnya yang sakit itu. Makin lama makin sakit. Hendak sahaja dia menjerit di situ tetapi ditahannya. Dengan perlahan dia meneruskan perjalanan. Dia berjalan ke arah sebuah kereta yang dipakir di tepi jalan. Lantas dia mengetuk cermin tingkap kereta itu.

++++

 “Okey sayang bye-bye. Assalamualaikum,” ucap Farhan sebelum menamatkan panggilan yang dibuatnya tadi. Selepas itu dia meletakkan telefon bimbitnya di dalam dash board kereta sebelum bersedia untuk memulakan perjalanan.                                                       

Ketika Farhan hendak memasukan gear dia dikejutkan dengan ketukan pada cermin tingkap kereta. Dia menoleh dan melihat Amira sedang menahan kesakitan sambil tangannya menahan cermin kereta Farhan. Melihatkan Amira yang dalam kesakitan segera Farhan membuka kunci pintu keretanya. Belum sempat dia membuka pintu kereta Amira terlebih dahulu masuk ke dalam keretanya di bahagian belakang.                                                                        

“Argh... sakit-sakit. Tolong bawa saya pergi hospital. Saya rasa seperti hendak bersalin!” Pinta Amira. Farhan mula menggelabah.

Ulasan

  1. Assalamuailaikum

    Bila cite suami olok-olok ni nak publish?
    dah bertahun tunggu
    harap penulis dapat meneruskannya hingga jaya
    tak sabar nak tunggu ia diterbitkan.
    SELAMAT MAJU JAYA

    BalasPadam

Catat Ulasan

Catatan popular daripada blog ini

Kahwin Dengan Cina Buta Bab 4

Kahwin Dengan Cina Buta Bab 1

Kahwin Dengan Cina Buta Bab 27