Kahwin Dengan Cina Buta Bab 17

BAB 17

“Saya nak tanya, apa yang awak bualkan dengan mak semasa saya hantar Ashraf ke sekolah tadi?” Hasrol menyoal Marisa. Dia betul-betul ingin tahu apa yang berlaku lebih-lebih lagi apabila melihat Marisa menangis ketika dia pulang ke rumah.                                                   

“Awak tanya ni mesti sebab nampak saya menagis tadi kan?” Soal Marisa pula.         

“Hmm… Itulah saya nak tahu apa yang awak bualkan dengan mak sampai awak boleh menitisakn air mata,” Hasrol mengeluh. Dia merasakan ada sesuatu yang  yang berlaku diantara Marisa dengan Puan Aminah. Hasrol memberi signal keretanya belah kiri dan memberhentikannya dibahu jalan.                                                                                                            

“Kalau boleh saya tak nak awak berjanji apa-apa dengan mak lagi. Takut janji itu tak dapat ditunaikan nanti,” kata Hasrol. Dia memandang tepat muka Marisa.                                             

“Saya tak janji apa-apa kat mak. Mak yang menyebabkan saya rasa serba salah sekarang ni,” balas Marisa.                                                                                                                        

“Kenapa pula?” Hasrol tidak mengerti.                                                                                    

Marisa mengambil beg tangannya lalu mengeluarkan gelang emas yang diberikan oleh Puan Aminah pagi tadi.                                                                                                                 

“Eh itu kan gelang mak. Gelang peninggalan arwah ayah kepada mak. Macam mana boleh ada kat awak?” Soal Hasrol. Dia tahu bahawa gelang emas itu adalah barang kesayangan ibunya. Kerana ia adalah hadiah daripada bapa Hasrol sendiri.                                                    

“Mak bagi kat saya. Saya tak sanggup nak tolak tetapi saya sebenarnya lagi tak sanggup nak terima. Gelang ini bukan milik saya. Gelang ini milik menantunya yang sebenar iaitu perempuan yang awak cintai dan awak akan nikahi nanti. Saya cuma isteri sementara awak sahaja tak lebih dari itu. Saya terpaksa menerima gelang pemberian mak dan secara langsung mak dah anggap saya isteri sebenar awak. Tetapi hakikatnya kita berkahwin kerana perjanjian yang telah kita sepakati.”                                                                                                                     

“Awak ambillah balik gelang ni. Bila kita dah berpisah nanti awak pulangkan kat mak semula ya. Tak pun awak simpan dan berikan pada isteri sebenar awak,” Marisa menyerahkan gelang emas itu kepada Hasrol. Mukanya tersenyum dan matanya berair. Kalau diikutkan hatinya dia tidak sanggup untuk memulangkan gelang emas itu kepada Hasrol. Tetapi dia tiada pilihan kerana dia tidak layak untuk memiliki gelang emas itu.                                                                      

Hasrol mengalihkan pandangannya dari memandang Marisa. Seraya mengeluh kecil. “Awak nak tahu, dulu mak pernah kehilangan gelang yang awak pegang tu. Puaslah mak mencari. Habis satu rumah mak selongkar. Selama gelang itu hilang mak kelihatan sedih dan terus jatuh sakit. Makan pun tak nak. Saya beritahu kat mak yang gelang itu cuma gelang emas biasa sahaja, boleh beli yang lain. Tetapi mak cakap kalau beli pun tak sama dengan arwah ayah yang beli.”                                  

“Saya ambil keputusan cari gelang yang sebiji macam gelang yang hilang itu. Nasib saya baik, ada satu yang sama. Itu pun dah berapa banyak kedai emas yang saya cari. Lepas beli saya sorokkan dengan harapan mak akan jumpa sendiri. Lepas mak jumpa gelang tu punyalah mak gembira. Baru kesihatan mak beransur-ansur pulih. Punyalah mak sayang kat gelang peninggalan arwah ayah tu. Sampai tak sanggup nak kehilangan gelang itu. Tetapi mak boleh serahkan gelang itu pada awak. Saya takut…” Hasrol terdiam. Mukanya kelihatan agak muram.                                    

“Takut apa?” Marisa bertanya untuk mendapatkan kepastian.                                               

“Apabila kita berpisah nanti mak akan kehilangan awak dan saya takut mak merasakan kehilangan awak sama seperti mak kehilangan gelang itu. Kalau gelang bolehlah saya cari dan beli kat kedai emas. Kalau awak nak cari kat mana? Ada ke perempuan lain yang sama seperti awak. Cuba awak beritahu kat saya. Kalau mak sakit nanti macam mana. Pening-pening…,” jawab Hasrol sambil kepalanya digeleng sedikit.                                                             

“Walaupun kita dah janji nak berlakon jadi suami isteri tetapi ianya hanya sementara sahaja. Akhirnya saya akan lepaskan awak juga dan mak akhirnya akan tahu juga akan penceraian ini. Sekarang ni cuma ada satu sahaja jalan penyelesaiannya untuk selesaikan masalah kita ni,” Hasrol menelan air liur yang terkumpul ditekaknya kerana penat berbicara tadi.         

“Apa jalan penyelesaiannya?” Marisa bertanya lagi.                                                              

“Kita jangan bercerai!”                                                                                                           

Marisa tergamam!

+++++

Taufik baru sahaja habis menghadiri mesyuarat dan kelihatan sedang berjalan menuju ke biliknya. Fasha yang dari tadi menunggu Taufik pulang dari menghadiri mesyuarat mula bersuara. “You, P.A Dato’ Zakaria call tadi. Dia cakap Dato’ nak jumpa you sekarang tetapi I cakap you ada meeting. So P.A tu beri pesanan agar you dapat jumpa Dato’ lepas habis meeting nanti.”                                                                                                                                                       

Taufik menghentikan langkahnya. “Kenapa tiba-tiba Dato’ Zakaria nak jumpa I ni? Adakah dia dah tahu siapa pemegang saham terbesar tu?” Taufik membuat andaian. Kalau bukan kerana perkara itu tiada sebab lain Dato’ Zakaria ingin berjumpa dengannya.                  

“Mungkin juga sebab Dato’ nak jumpa you dengan segera. Nampaknya teka-teki siapa pemegang saham terbesar tu akan terjawab. Sekali janda you rupanya pemilik saham terbesar tu. Macam mana?” Seloroh Fasha.                                                                                                    

“Tak mungkin. Kalau betul perempuan tu pemilik saham yang terbesar terpaksalah I terima dia semula jadi isteri I. Senang I nak rampas semua saham yang jadi miliknya itu,” balas Taufik. Dia memakai semula tali leher yang baru ditanggalkan tadi sebelum dia bertolak untuk berjumpa dengan Dato’ Zakaria.                                                                                                       

“Jika ada apa-apa nanti saya akan beritahu. Malam nanti jangan lupa. Nanti I ambil you kat rumah,” pesan Taufik lalu berjalan meninggalkan ruang pejabat miliknya itu.                             

Fasha hanya tersenyum. Memang itulah tugasnya. Siang sebagai pembantu peribadi dan malam pula sebagai perempuan simpanan Taufik. Dengan gaya yang seksi dan mengghairahkan yang ditonjolkan oleh Fasha membuatkan Taufik hilang pertimbangan terhadap agamanya. Hanya nafsu yang menjadi ikutan.

+++++
"Awak fikirlah baik-baik. Saya tidak paksa awak untuk terima cadangan saya ni. Saya sekarang hanya memikirkan mak sahaja. Saya tak sanggup nak lihat mak jatuh sakit lagi. Seandainya awak tidak setuju saya tak kisah. Tetapi satu sahaja permintaan saya, kita jumpa mak dan berterus terang tentang perhubungan kita yang sebenar. Biarlah mak tahu saya ni cina buta. Mungkin dia boleh terima jika saya ceraikan awak nanti.” Kata-kata Hasrol tadi masih terniang-niang di telinga Marisa.                                                                                                               

Marisa kini sedang berbaring di atas katil. Selepas menghantar Marisa pulang kerumah Hasrol keluar semula untuk mengambil Ashraf. Marisa termenung memandang syiling bilik. Perasaan terkejut tatkala mendengar hasrat Hasrol tadi masih lagi terasa olehnya. Dia sekarang berada dalam dilema. Memang dia menunggu kata-kata tersebut keluar dari mulut Hasrol sendiri. Tetapi selepas dia mendengar kata-kata itu tiba-tiba muncul perasaan serba salah. Serba salah kerana dia teringatkan Taufik yang merupakan cinta pertamanya.                                                         

Kata orang cinta pertama itu amat sukar untuk dilupakan. Hatinya berkecamuk memikirkan siapa yang bakal dia pilih. Dia cintakan Taufik dan sayangkan Hasrol. Mungkin sekarang ini Hasrol yang selalu menemaninya dan sebab itu juga cinta dan sayangnya terhadap Hasrol lebih daripada Taufik. Selepas dia berkahwin dengan Hasrol sehinggalah sekarang Taufik langsung tidak pernah menghubunginya dan itu juga menjadi penyebab cinta dan sayangnya pada taufik semakin jauh.                                                                                                             

Tetapi dia telah hidup bersama dengan Taufik hampir 6 tahun lamanya. Banyak kenangan pahit manis yang pernah ditempuh bersama. Manakala dengan Hasrol pula baru mencecah 6 hari. Waktu yang agak singkat untuk mengenali hati budi seseorang. Memang sebelum ini Taufik bertindak agak keterlaluan terhdap dirinya dan Ashraf akan tetapi dia menyatakan yang dia sudah insaf akan segala perbuatannya dan meminta untuk Marisa kembali kepadanya. Marisa menganggap Taufik betul-betul sudah berubah.                                                                                 

“Ini semua kerana cina buta. Kalau aku terima hasrat Hasrol bagaimana pula dengan abang Taufik nanti? Kalau aku terima abang Taufik bagaimana pula dengan Hasrol? Dengan Mak?” Marisa mengeluh. “Aku berserah pada takdir. Esok adalah hari terakhir aku dengan Hasrol menjadi suami isteri. Jika abang Taufik tak hubungi atau berjumpa dengan aku sehingga esok aku akan pilih Hasrol!” Marisa telah membuat keputusan. Dia merasakan yang Taufik seperti tidak ambil tahu akan dia dan Ashraf. Jadi dia berserah keapada takdir. Jika jodohnya pada Taufik, Taufik akan menghubunginya atau berjumpa dengannya sebelum esok. Dan jika sebaliknya dia akan memilih Hasrol.

+++++

Taufik tiba di pejabat Dato’ Zakaria. Sebaik sahaja masuk ke dalam ruang pejabat Dato’ Zakaria, pembantu peribadi Dato’ Zakaria menyambut kedatangan Taufik.                                            

“Encik Taufik sila masuk sekarang juga. Dato’ Zakaria dah lama menunggu tu,” beritahu pembantu peribadi Dato’ Zakaria.                                                                                                    

Taufik hanya mengangguk lalu dengan tergesa-gesa melangkah kearah bilik Dato’ Zakaria. Pintu bilik Dato’ Zakaria diketuk sebelum masuk.                                                     

“Selamat petang Dato’. Minta maaf saya lambat sebab ada mesyuarat tadi,” Taufik memberikan alasan. Dia melihat Dato’ Zakaria sedang menyemak sebuah dokumen di atas meja.      

Dato’ Zakaria mengangkat mukanya seraya berkata. “Duduk.”                                               

Taufik mengambil tempat duduk di hadapan Dato’ Zakaria sambil menunggu kata-kata seterusnya yang akan terpacul dari mulut lelaki tua itu.                                                             

“Kau mesti tahu sebab apa aku panggil kau datang jumpa aku?” Dato’ Zakaria mengajukan soalan.                                                                                                              

“Mungkin pasal pemegang saham terbesar tu. Kalau tidak silap sayalah,” Taufik meneka tetapi masih sangsi.                                                                                                                            

“Betul! Aku dah tahu siapa pemilik saham terbesar tu!”                                                                   

Mata Taufik terbeliak. Akhirnya dia dapat tahu juga pemilik saham terbesar itu. Tetapi siapa? Hanya Dato’ Zakaria yang dapat memberitahunya.

Ulasan

Catatan popular daripada blog ini

Kahwin Dengan Cina Buta Bab 4

Kahwin Dengan Cina Buta Bab 1

Kahwin Dengan Cina Buta Bab 27