Kahwin Dengan Cina Buta Bab 22
BAB
22
Pagi-pagi begini, seperti biasa Marisa akan
menyediakan sarapan untuk Hasrol dan Ashraf. Ashraf berada di dalam biliknya sedang bersiap untuk
ke sekolah. Manakala Hasrol duduk di ruang tamu sedang menonton televisyen.
Ashraf keluar dari bilik tidurnya dengan berpakaian sekolah sambil mengendong
beg di belakang badannya. Beg itu diturunkan dan diletakkan di tepi meja makan.
“Mama sarapan tak siap lagi ke?
Ashraf dah lapar,” teriak Ashraf. Seraya Ashraf menarik kerusi dan duduk di
atasnya.
“Dah
siap ni. Dah lapar sangat ke?” Marisa keluar dari dapur sambil sambil menantang
mangkuk yang berisi nasi goreng kampung. Mangkuk yang berisi nasi goreng
kampung itu diletakknya di atas meja makan. Kerja-kerja menghidang mula
dilakukan oleh Marisa. Sedang dia melakukan kerja menghidang sempat juga dia
mencuri pandang Hasrol yang sedang leka menonton televisyen.
Selepas
siap menghidang makanan, Marisa mempelawa Hasrol.“Awak sarapan dah siap. Jom
kita makan sama-sama.”
Mendengar
pelawaan daripada Marisa, Hasrol bangun dari sofa. Dibiarkan televisyen itu
bernyala tanpa ada orang yang yang menontonnya. Dia berjalan menuju ke meja
makan dan mengambil tempat duduk di sebelah Ashraf.
“Cepat
Papa, baca doa. Ashraf dah lapar ni,” Hasrol hanya tersenyum tawar lalu
mengangkat tangan dan berdoa. Perbuatannya itu diikuti oleh Marisa dan Ashraf.
Selepas habis sahaja membaca doa mereka mula menjamu selera.
Semasa
mereka bertiga menjamu selera, suasana agak sunyi hening. Tiada siapa pun yang
bercakap. Tidak seperti hari-hari sebelumnya ada sahaja cerita yang Hasrol
ingin sampaikan. Tetapi pagi ini agak berlainan dan ganjil sedikit. Sehinggakan
Ashraf dapat merasakan ada yang tidak kena dengan ayah dan ibunya itu. Ashraf
menoleh memandang Hasrol. Lagaknya seperti biasa, menjamah nasi goreng kampung
itu dengan agak selera. Selepas itu perhatian Ashraf bertukar arah pada ibunya.
Nampaknya seperti biasa juga, Cuma wajah Marisa kelihatan kosong.
“Kenapa Mama dengan Papa pagi ni.
Nampak pelik je. Mama dengan Papa gaduh ye?” Kata Ashraf sambil mengangguk
sedikit kepalanya beberapa kali. Hasrol kelihatan seperti susah hendak menelan
nasi yang dikunyahnya selepas mendengar kata-kata Ashraf tadi. Marisa pula
sedikit tersentak. Mereka berdua serentak memandang Ashraf sebelum berpandangan
sesama sendiri.
“Apa
Ashraf merepek ni. Mana ada papa dengan mama gaduh. Kalau kami gaduh tak adanya
nak makan sama-sama kat sini,” tingkah Hasrol. Sambil itu dia mengambil air
kopi dan meneguknya kerana merasakan seperti ada nasi yang tersangkut di
tekaknya.
“Kenapa
papa dengan mama senyap je tak bersuara tak macam sebelum ni?” Tanya Ashraf lagi
tanda tidak puas hati.
“Ashraf,
makan kan tak boleh bercakap. Tak elok,” Marisa pula memberi alasan.
“Sebelum ni boleh pula makan sambil bercakap.
Papa siap ketawa sambil tersembur lagi. Tiba-tiba sekarang tak boleh pula,” Ashraf
melontarkan lagi persoalan.
Hasrol
tersenyum kecil mendengar kata-kata Ashraf tadi. Dia meletakkan sudu di atas
pinggan dan selepas itu dia menggosok kepala Ashraf. Lalu dia bangun dari
duduknya dan berjalan ke arah Marisa. Marisa pelik memerhatikan gelagat Hasrol
yang semakin mendekatinya. Sampai sahaja Hasrol berada betul-betul di sebelah
Marisa, Hasrol menundukkan mukanya. Satu ciuman diberikan di belah pipi kanan
Marisa. Marisa tergamam apabila diperlakukan sebegitu. Dia tidak menyangka
Hasrol akan berbuat demikian sedangkan sudah tercetus perang dingin di antara
mereka berdua.
“Sekarang
apa pendapat Ashraf. Adakah papa dengan mama sedang bergaduh?” Hasrol
melontarkan soalan terhadap Ashraf. Ashraf tidak menjawab. Dia hanya
menunjukkan tanda bagus tanda berpuas hati dengan tindakan romantik yang
ditunjukkan oleh Hasrol kepadanya tadi. Marisa turut tersenyum. Baru dia tahu
Hasrol mencuim pipinya adalah semata-mata untuk mengelakkan Ashraf dari curiga
tentang hubungannya dengan Hasrol. Padahal memang telah berlaku konflik antara
dia dengan Hasrol malam tadi. Marisa memandang Hasrol. Hasrol menyedari dirinya
diperhatikan Marisa tetapi dia buat tidak tahu sahaja.
+++++
Seperti biasa di waktu pagi, Hasrol akan menghantar
Ashraf ke sekolah. Jarak dari apparment Hasrol ke sekolah Ashraf adalah 15km
dan mengambil masa lebih kurang setengah jam untuk sampai. Memandangkan jalan
di Bandar Klang yang sentiasa sesak membuatkan mereka berdua keluar awal pagi.
Hasrol
memberhentikan keretanya di hadapan sekolah. Sudah menjadi kebiasaan sebelum
turun dari kereta, Ashraf akan bersalaman dan mengucup tangan Hasrol. Tetapi
sebelum sempat Ashraf menghulurkan tangan, Hasrol terlebih dahulu keluar dari
kereta. Ashraf pelik melihat tingkah laku Hasrol pagi ini.
“Papa
nak pergi mana keluar dari kereta ni?” Soal Ashraf. Dia pergi mendapatkan
Hasrol.
“Hasrol sedikit membongkok.
“Sini peluk papa.”
Tanpa
banyak soal, Ashraf terus memeluk Hasrol. Hasrol memeluk erat Ashraf. Bertambah
pelik Ashraf melihat perubahan sikap Hasrol. Selalunya mereka hanya bersalaman
sahaja. Tetapi pada pagi ini lain pula caranya. Hasrol mendekatkan mulutnya
pada telinga Ashraf.
“Ashraf,
belajar rajin-rajin tahu. Ikut cakap mama. Jadi anak yang bertanggungjawab.
Anak yang soleh dan yang taat pada perintah Allah. Papa nak Ashraf jadi orang
yang berguna bila besar nanti,” bisik Hasrol pada telinga Ashraf.
Ashraf
melepaskan pelukkan daripada Hasrol. “Papa kenapa cakap macam tu? Papa nak tinggalkan
Ashraf dengan mama ke?”
“Taklah
sayang. Selalunya kalau papa hantar Ashraf kita hanya bersalam dan Ashraf akan
cium tangan papa sahaja. Sekarang papa nak ubah. Selepas ini papa nak peluk
Ashraf dulu dan memberikan sedikit kata-kata nasihat yang membina. Dan
seterusnya salam dan cium tangan seperti biasa,” balas Hasrol. Ternyata semua
itu adalah alasan supaya Ashraf tidak akan syak Hasrol akan meninggalkan
dirinya serta ibunya hari ini.
Sebenarnya
Hasrol tidak sanggup untuk berpisah dengan Ashraf. Budak lelaki yang
dianggapnya macam anaknya sendiri. Tetapi apa boleh buat, selepas ini
tanggungjawab untuk menjadi papa kepada Ashraf akan diambil alih Taufik pula.
Memang patut pun Taufik menjadi papa Ashraf kerana Ashraf memang darah
dagingnya sendiri. Bagi Hasrol dia hanya menumpang menjadi papa kepada Ashraf
sahaja. Pada hari terakhir ini, Hasrol tidak melepaskan peluang untuk memeluk
Ashraf. Dia khuatir jika dia tidak akan berpeluang untuk berjumpa dengan Ashraf
selepas penceraiannya dengan Marisa nanti.
Selepas
menghantar Ashraf ke tadika, Hasrol memandu semula keretanya. Dia melihat jam
keretanya yang menunjukkan pukul 7. 30 pagi. Hasrol merasakan terlalu awal
untuk dia pulang dan menunggu kedatangan Taufik untuk mengambil Marisa. Tidak
terlintas langsung di fikirannya mengenai jumlah wang yang banyak yang akan
diterimanya daripada Taufik nanti. Dia hanya memikirkan bolehkah dia menjalani
kehidupan seperti biasa selepas Marisa dan Ashraf meninggalkannya nanti.
Rungsing dia memikirkan. Keluhan diluahkan.
Sedang
Hasrol termenung melayan perasaan sambil memandu keretanya, tabnya berbunyi.
Menandakan ada orang menghubunginya. “Taufik ke? Tak sabar-sabar betul nak
ambil Marisa,” Hasrol mengomel. Dia memerhatikan nama yang tertera di skrin
tabnya. Dia terperanjat kerana bukan Taufik yang menghubunginya. Dia mendapati
hanya ada tiga huruf sahaja yang tertera di skrin tabnya. M.A.K. huruf itulah
yang menjadikan Hasrol tidak keruan melihatnya. Ibunya, Puan Aminah yang
menghubungi Hasrol ketika ini. Hasrol mula menggelabah. Dia dapat merasakan
bahawa ibunya itu dapat menghidu pergolakkan yang berlaku diantara dirinya
dengan Marisa.
“Kenapalah
mak call pagi-pagi ni. Tak kan dia tahu apa yang berlaku diantara aku dengan
Marisa,” Hasrol berkata sendiri. Ditenung tabnya sambil berfikir adakah patut
dia menjawab panggilan ibunya itu atau membiarkan sahaja.
+++++
Taufik sedang duduk di dalam bilik pejabatnya. Di
hadapannya terletak sebuah buku cek. Dia merenung buku cek itu. Tiba-tiba dia
mengeluh. Mengeluh memikirkan bahawa dia akan kerugian kerana akan kehilangan
RM400,000 begitu sahaja pada hari ini. Dia terpaksa melunaskan janjinya untuk
membayar sejumlah wang itu kepada Hasrol demi mendapatkan kembali Marisa. Jika
bukan sebab Dato’ Zakaria mengarahkannya untuk merujuk kembali Marisa, jangan
harap dia akan menerima Marisa dengan Ashraf semula.
Taufik membuka buku ceknya.
Dalam keterpaksaan dia menulis amaun 400,000 di atas buku cek itu. Lalu
ditandatangani cek itu. Nama penerima cek itu dibiarkan kosong. Dia tidak tahu
nama penuh Hasrol jadi dibiarkan saja ianya kosong supaya Hasrol dapat mengisi
namanya sendiri. Dia mengambil sekeping sampul surat kecil di dalam laci.
Sampul surat itu muat untuk dimasukkan sekeping cek. Sebelum sempat dia
mengoyakkan cek itu, telefon bimbitnya berbunyi. Diambil telefon bimbitnya yang
diletakkan di atas meja belah kiri. Dia tidak melihat nama pemanggil, terus sahaja
dia menjawab panggilan itu.
“Hello,”
mendatar sahaja suara Taufik menjawab panggilan itu.
“Taufik, Dato’ Zakaria bercakap,” kedengaran
ketegasan suara di corong telefon bimbit Taufik.
“Ya.. Ya Dato’. Ada apa
yang boleh saya bantu?” Terkejut juga Taufik apabila menerima panggilan
daripada Dato’ Zakaria. Mesti ada sesuatu yang penting yang akan dikongsi oleh
orang tua itu memandangkan Dato’ Zakaria menelefonnya menggunakan telefon
bimbit. Selalunya pembantu peribadi Dato’ Zakaria yang akan menghubungi Taufik
dahulu sebelum panggilan itu disambung kepadanya.
“Ada
berita baik. Aku rasa kau pun patut dah tahu apa berita baik itu,” suara Dato’
Zakaria menyusup masuk ke dalam telinga Taufik.
“Apa
dia berita baik tu Dato’? Saya pun tak pasti. Mungkin saya terlepas pandang,”
terkejut juga Taufik mendengar pengumuman Dato’ Zakaria tadi. Tetapi dia tidak
mengerti apa yang Dato’ Zakaria maksudkan.
“Kau
ni tak ambil tahu langsung pasal berita-berita dalam dan luar negara. Aku nak
kau baca akhbar Harian Malaysia hari ini. Biar kau tahu sendiri,” beritahu
Dato’ Zakaria. “Baiklah Dato’, saya akan
baca sekarang.”
“Okey.
Lepas habis baca nanti kau call aku semula,” arah Dato’ Zakaria dan panggilan
pun dimatikan seraya Taufik menganggkat ganggang telefon pejabatnya dan mendail
sambungan ke telefon pembantu peribadinya, Fasha.
“Ye sayang…,” suara manja Fasha
kedengaran di corong ganggang yang dipegang oleh Taufik.
“Dapatkan
saya akhbar Harian Malaysia hari ini dengan segera,” pinta Taufik. “Okey…”
+++++
Hasrol terpaksa menjawab panggilan telefon daripada
Puan Aminah. Tidak mungkin ibunya itu tahu yang dia akan menceraikan Marisa
hari ini. Mungkin ada perkara yang lebih penting yang hendak disampaikan oleh
ibunya itu.
“Assalamualikum
mak,” Hasrol terus mengajukan salam selepas menjawab panggilan Puan Aminah.
"Waalaikumsalam.
Hasrol apa khabar, sihat ke?” Puan Aminah bertanya khabar.
“Hasrol sihat mak. Kenapa mak telefon
Hasrol pagi-pagi ni. Ada hal penting nak beritahu ke?”
Puan
Aminah tidak menjawab soalan Hasrol. “Menantu mak dengan cucu segera mak macam
mana, sihat?”
Hasrol
sedikit gusar apabila Puan Aminah menyebut mengenai Marisa dengan Ashraf tadi.
“Errr… Sihat mak. Dia orang sihat je. Ni Hasrol nak tahu kenapa mak call Hasrol
pagi-pagi ni?” Hasrol mengingatkan lagi.
“Ini…
Mak dah buat persediaan kenduri perkahwinan Hasrol dengan Marisa ahad ni. Bila
nak balik kampung? Lagi awal balik lagi bagus,” terang Puan Aminah. Nada
kegembiraan jelas kedengaran pada suara Puan Aminah.
Hasrol
menelan air liur. Hari ini dia akan menceraikan Marisa. Adakah patut dia
berterus terang kepada ibunya yang dia dengan Marisa akan bercerai? Sedangkan
ibunya bertungkus lumus menyediakan persiapan perkahwinan dia dengan Marisa.
Kalau Puan Aminah dapat tahu yang Hasrol akan bakal bercerai dengan Marisa hari
ini, tidak dapat dia bayangkan apa yang bakal berlaku. Ibunya kini memang sudah
mula menyukai Marisa. Hasrol kini di dalam dilemma. Adakah patut dia berterus
terang atau dia berbohong untuk menjaga hati ibunya?
“Hasrol, kenapa senyap saja? Mak tanya bila nak balik
kampung?” Sekali lagi Puan Aminah bertanya menyebabkan Hasrol tersentak dari
lamunannya.
‘Apa aku nak cakap ni. Ya Allah… Masa-masa macam ni pula mak call,’
hati Hasrol merintih sendiri. Nak tak nak dia terpaksa berbohong dengan ibunya.
“Insya-Allah mak. Paling lewat pun hari Jumaat Hasrol, Marisa dengan Ashraf
balik,” Hasrol berdusta.
“Yelah…
Mak tunggu tahu. Nanti nak balik beritahu dulu. Mak rindu kat menantu dan cucu
mak tu,” sekali lagi Puan Aminah menyebut tentang Marisa dan Ashraf. Hasrol
hanya mengeluh panjang. Pening kepala dibuatnya memikirkan bagaimana untuk
menyelesaikan masalah yang dihadapainya sekarang.
“Baik
mak. Apa-apa nanti Hasrol call mak
balik,” beritahu Hasrol.
“Hmmm…
Kirim salam kat Marisa dengan Ashraf nanti. Assalamualaikum,” Selepas Puan
Aminah memberi salam, panggilan dimatikan.
“Waalaikumsalam… Aduh!
Apa aku nak buat ni? Macam mana aku nak balik kampung kalau Marisa dengan
Ashraf tak ada?” Hasrol merungut. Otaknya ligat memikirkan apa yang perlu dia
lakukan untuk mengelakkan dari ibunya kecewa dan bersedih. Dia tidak mahu
ibunya sakit lagi jika perkara sebenar terbongkar kelak.
Tiba-tiba
Hasrol teringat tentang cadangan Marisa ketika Puan Aminah datang ke apartmenya
dulu. Cadangan untuk pulang ke kampung bersama Marisa dengan Ashraf walaupun
mereka sudah bercerai. Dengan berbuat demikian pencerainya dengan Marisa tidak
diketahui oleh ibunya. Kenduri kahwin ibunya juga dapat berjalan dengan lancer.
“Itu
sajalah caranya daripada aku berterus terang. Mesti mak tak dapat menerima
hakikat jika aku berterus terang. Lagi-lagi kalau dia tahu aku ni cuma cina
buta Marisa,” ujar Hasrol dengan wajah yang serius. Hasrol terus memandu
keretanya menyusur jalan di Bandar Klang.
+++++
Fasha masuk ke dalam bilik Taufik dengan membawa
akhbar Harian Malaysia. Fasha berasa pelik kenapa taufik beria-ria ingin
mendapatkan akhbar itu. Selalunya Taufik tidak begitu minat untuk menghabiskan
masa paginya dengan membaca akhbar.
“You…
Ini paper yang you minta tadi,” Fasha menyerahkan akhbar yang dipegangnya
kepada Taufik.
Dengan
pantas Taufik bangun dari duduknya dan mengambil akhbar yang dihulurkan oleh
Fasha kepadanya. Lantas dia duduk semula dan serta merta membaca akhbar itu
dengan penuh perhatian. Diselak kepingan akhbar itu satu persatu. Sedang asyik
Taufik membaca dan menyelak akhbar itu, tiba-tiba pandangan Taufik tertumpu
pada salah satu tajuk berita di halaman akhbar itu. Fasha hanya memerhatikan
gelagat Taufik sahaja. Selepas Taufik menghabiskan bacaan pada tajuk berita
yang menjadi tumpuannya itu, tiba-tiba dia mengukirkan senyuman. Tersenyum
lebar seperti menerima satu berita gembira.
Fasha
bertambah pelik apabila melihat Taufik tersenyum tadi. “Kenapa you tersenyum
sorang-sorang ni. Berita apa yang
menarik sangat sampai you excited nak
baca?”
Senyuman
Tafik masih belum kendur lagi. Dia meletakkan akhbar yang baru sahaja dia baca
tadi di atas meja. Lantas dia menongkat dagunya dengan dua belah tangan dengan
senyuman yang masih bersisa. “Nampaknya I tak perlu nak rujuk Marisa semula!”
Ulasan
Catat Ulasan