Kahwin Dengan Cina Buta Bab 14
BAB
14
Tengahari itu Marisa sedang menyediakan makanan
tengahari untuk mereka sekeluarga. Sayur goreng dan sambal udang Marisa sudah
siap dimasak. Kini tinggal kari ayam yang masih belum masak lagi. Marisa sedang
mengacau-ngacau sudip di dalam periuk yang terisi dengan kari ayam. Dia
mengangkat sudip dan menitiskan sedikit kari itu di atas tapak tangannya
sebelum dia merasa titisan kari itu.
‘Garam dah cukup. Tinggal tunggu ayam empuk
sahaja,’ desus hatinya.
Marisa melihat jam dinding yang sedia
tergantung. Jam menunjukkan 12.30 tengahari dan Marisa menjangkakan bahawa
Ashraf telah pulang dari sekolah. Hasrol yang akan mengambil Ashraf di sekolah
nanti.
Ding!
Dong!. Lonceng pintu rumah berbunyi. Tanda ada orang yang berada diluar rumah
itu. Marisa yang mendengar bunyi lonceng tadi berasa hairan.
“Siapa
yang datang tu? Tak kan Hasrol dengan Ashraf. Cepat mereka balik,” kata Marisa
sendiri. Lalu Marisa memperlahankan api dapur sebelum berjalan menujuk ke pintu
utama untuk melihat siapa yang berada di luar rumah tersebut. “Jurujual kot,”
fikirnya.
Apabila
sampai di depan pintu rumah Marisa menarik picu pintu dan membukanya. Apabila
pintu rumah terbuka kelihatan seorang perempuan tua berumur dalam sekitar 50an
berdiri di hadapan Marisa. Marisa memerhatikan wajah perempuan tua itu. Begitu
juga perempuan tua itu mengerutkan dahinya apabila melihat Marisa yang membuka
pintu.
Apabila diperhatikan
dengan lebih teliti lagi, Marisa merasakan pernah melihat perempuan tua itu. ‘Tetapi dimana ya?’ Marisa berfikir.
Tiba-tiba Marisa teringat yang wajah perempuan tua itu sama dengan wajah
perempuan yang bergambar dengan Hasrol. Gambar yang tergantung di ruang tamu
rumah itu. Jadi perempuan itu adalah ibu Hasrol! ‘Ya Allah. Apa aku nak cakap ni!’ Marisa mula gelabah.
“Kamu ni siapa?” soal Puan Aminah
kepada Marisa yang masih kaget berdiri dimuka pintu.
“Eee..saya…saya
isteri Hasrol makcik…eh, mak,” tergagap-gagap Marisa menjawab.
“Apa! Isteri Hasrol! Bertuah
punya anak, sudahlah kahwin kali pertama tak beritahu kat aku, kahwin kali
kedua pun dia kahwin senyap-senyap jugak!. Macam aku ni bukan mak dia! Mana
Hasrol!? Sampai hati dia buat aku macam ni!” Nampaknya Puan Aminah betul-betul
marah apabila mengetahui yang Hasrol sudah berkahwin tanpa memberitahu dirinya
terlebih dahulu.
Marisa
kecut perut. Kalau boleh hendak sahaja dia berterus terang sebab dia berkahwin
dengan Hasrol kepada Puan Aminah. Tetapi dia tidak boleh berbuat demikian dia
mesti menghadapi Puan Aminah dengan tenang supaya sebab sebenar mereka
berkahwin tidak terbongkar.
“Hasrol
ambil anak saya dari sekolah. Kejap lagi dia balik,” Marisa memaklumkan di mana
Hasrol berada kepada Puan Aminah.
“Anak?
Jadi kamu ni jandalah? Aku tak kisah kamu ni janda ke anak dara ke, yang aku
kisah sangat tu kenapa Hasrol kahwin dengan kamu tak beritahu kat aku dulu!,”
kata Puan Aminah masih berada dalam mood marah.
“Bawa
bersabar mak. Hasrol ada sebab mengapa dia tak beritahu kat mak. Nanti dia akan
ceritakan kat mak perkara sebenar. Mak kan penat, mak masuk berehat dulu. Biar
saya angkat beg baju mak ni,” pujuk Marisa. Dia pun main cakap sahaja. Dia
pun sebenarnya tidak tahu yang Hasrol
ada idea untuk menjelaskan kenapa dia terpaksa berkahwin secara senyap-senyap.
Kalau tak pun terpaksa Hasrol berterus terang kepada ibunya sebab apa Hasrol
perlu berkahwin dengan Marisa.
Marisa
keluar dari pintu rumah berjalan ke arah Puan Aminah yang masih berdiri lalu
tangan dihulur untuk bersalaman. Puan Aminah tidak keberatan untuk menyambut
salam itu. Lalu Marisa mengucup tangan perempuan tua itu tanda hormat
kepadanya.
Perbuatan
Marisa tadi membuatkan hati Puan Aminah sejuk sedikit. Diperhatikan Marisa yang
sedang mengangkat beg pakaiannya dan terus berjalan masuk ke dalam rumah.
Marisa sempat menoleh kepalanya ke arah Puan Aminah.
“Mak,
masuklah berehat. Mak mesti penat jalan jauh tadi. Nanti saya sediakan air,”
kata Marisa sambil tersenyum.
Puan
Aminah senyap sahaja lalu melangkah masuk ke dalam rumah. Dia memerhatikan
Marisa membawa masuk beg pakaiannya di dalam bilik tidur utama.
“Eh, kan tu bilik Hasrol. Letak
sahaja mana-mana bilik yang kosong,” pinta Puan Aminah.
“Tak
apa mak. Kami boleh tidur kat bilik belakang tu. Mak tidur saja kat bilik ini.
Mak kan tetamu kami. Lagipun mak merupakan mak kesayangan Hasrol jadi kena bagi
keistimewaan. Hasrol yang beritahu pada saya yang mak ni mak kesayanagn dia.
Kalau mak jadi kesayangan Hasrol mak juga jadi kesayangan saya,” ujar Marisa
tersenyum manis sambil tangannya masih tidak lepas memegang tali beg pakaian
Puan Aminah.
Puan
Aminah tersenyum kecil mendengar kata-kata Marisa tadi. Marisa pula apabila
melihat senyuman yang terukir di mulut Puan Aminah mula merasa lega kerana dari
awal perjumpaan di antara mereka, Puan Aminah asyik marah-marah sahaja. Kecut
perut dia.
“Betul
Hasrol cakap macam tu?” Soal Puan Aminah.
“Betul mak. Hasrol sayang dengan
mak,” jawab Marisa.
Marisa
berjalan masuk kebilik tidur utama. Manakala Puan Aminah mencari sofa untuk dia
melabuhkan punggungnya. Dia perlu berehat kerana perjalanan dari Johor Bahru
dengan menaiki bas agak memenatkan. Walaupun bukan dia yang memandu bas itu
tetapi penatnya dapat dirasai oleh Puan Aminah sama penatnya seperti memandu bas.
Marisa keluar dari bilik tidur utama
sambil berjalan dia menegur Puan Aminah. “Mak nak air sejuk ke panas?”
Puan
Aminah yang hampir terlena itu tersentak dari lenanya. “Bagi air suam sahaja,”
jawab Puan Aminah ringkas.
Marisa
terus berjalan ke dapur dan melihat kari ayamnya yang ditinggalkannya tadi
sedang mendidih. ‘Sudah masak ni,’
gumamnya sendiri. Marisa mengambil sudip dan menggaul-gaul kari ayam yang
mendidih itu sebelum menutup api dapur. Bau aroma kari ayam mula berterbangan
melalui ruang udara di dalam dapur dan bergerak ke ruang tamu.
Puan Aminah yang
ketika itu sedang memejamkan matanya terhidu bau kari ayam tersebut lalu
membuka matanya semula.
“Sedapnya bau.” Puan Aminah bangun
dari duduknya lalu berjalan menuju ke dapur. Dia memerhatikan Marisa sedang
menuangkan air di dalam gelas. Dia juga melihat sayur goreng dan sambal udang
yang siap dihidang di atas meja dapur yang kelihatan agak menyelerakan.
“Kamu masak
semua ni?” Soal Puan Aminah.
Marisa
menoleh memandang Puan Aminah. “Saya baru nak bagi mak air ni. Ye mak..saya
masak semua ni. Duduk kat rumah kalau tak buat apa-apa mesti bosan. Sebab
itulah saya masak. Nanti mak makan sekali ye.”
Puan
Aminah mengangguk kepalanya. “Letak sahaja air tu kat atas meja. Siapa nama
kamu?” soal Puan Aminah.
“Marisa
mak,” jawab Marisa.
“Minta
maaflah Marisa kalau tadi mak meninggikan suara. Mak bukan apa, mak marah
sangat dengan Hasrol sebab kahwin tak beritahu mak. Bukan sekali, dah dua
kali,” luah Puan Aminah.
“Tak
ada apa mak. Kalau saya pun akan marah kalau anak saya kahwin senyap-senyap.
Saya faham perasaan mak,” beritahu Marisa.
Puan
Aminah tersenyum. Dia berasa selesa berbual-bual dengan Marisa. Walaupun mereka
baru sahaja bertemu tetapi Puan Aminah dapat merasakan yang Marisa seorang
perempuan yang baik. Puan Aminah dapat melihat dari tingkah laku Marisa tadi.
Tiba-tiba
kedengaran suara Hasrol yang sedang berjalan menuju ke dapur. “Awak kasut siapa
kat…Alamak!..Mak!” Hasrol terkedu apabila melihat Puan Aminah berdiri bersama
Marisa di dapur sambil memandang tajam kerahnya.
‘Kenapalah mak datang rumah Hasrol time-time macam ni.’ “Eh mak,
bila sampai? Kenapa datang tak beritahu Hasrol?” Hasrol bertanya. Dia buat
macam tak berlaku apa-apa. Tetapi dia sendiri berasa cuak lebih-lebih lagi
melihat Puan Aminah bersama dengan Marisa di dapur. Apa yang mereka bualkan
tadi.
“Oooo…Kalau
mak nak datang rumah Hasrol mak kena beritahu Hasrollah. Tapi kalau Hasrol
kahwin kenapa tak beritahu mak dulu?” Puan Aminah mengajukan soalan yang agak
pedas untuk Hasrol menjawabnya.
Hasrol
terdiam mendengar soalan Puan Aminah tadi. Dalam otaknya ligat memikir apa
alasan yang akan diberi pada ibunya itu. “Bukan apa mak. Mak datang main terjah
ni kalau dibuatnya tak ada orang kat rumah macam mana.”
“Mak peduli apa. Lebih
baik tak ada orang kat rumah ni daripada tahu Hasrol dah kahwin senyap-senyap
macam ni. Bukan sekali dah dua kali. Tadi pun Marisa kata yang Hasrol ada sebab
mengapa kahwin tanpa maklum kat mak dulu. Aaaa…apa sebabnya?” Soal Puan Aminah
lagi sambil kedua-dua belah tangan memegang pinggang.
Hasrol
memandang Marisa. Marisa hanya mengangkat bahu tanda tidak dapat dapat
membantu. ‘Kenapalah Marisa tak call aku
dulu. Boleh cari idea nak jawab apa. Apa aku nak jawab ni,’ Hasrol masih
terdiam kaku. Dia masih memikirkan apa alasan yang sesuai yang akan diberikan
pada ibunya.
Sedang
Hasrol memikirkan alasan yang munasabah, tiba-tiba Ashraf masuk ke dalam dapur.
Dia berjalan ke arah Marisa sambil memerhatikan Puan Aminah. Mungkin dia
tertanya-tanya siapa perempuan tua yang berada di situ barangkali. Sampai
sahaja Ashraf pada ibunya dia bertanya.
“Mama,
siapa tu?”.
“Itu
mak papa. Jadi nenek kepada Ashraflah. Pergi salam nenek,” jelas Marisa.
Tanpa berkata apa-apa Ashraf terus
menyalam dan mencium tangan Puan Aminah. Puan Aminah tersenyum sambil menggosok
kepala Ashraf. “Comel anak kamu Marisa,” katanya.
Hasrol berasa lega dengan kemunculan Ashraf
secara tiba-tiba dapat mengalih perhatian ibunya dari persoalan yang diberikan
tadi. Tetapi ianya hanya sementara. Puan Aminah tiba-tiba bersuara. “Aaa…Hasrol
mak tak dapat lagi jawapannya.”
Hasrol
menggaru-garu kepalanya yang tidak gatal. Marisa pula berasa bersalah kerana
dia tidak sangka yang Hasrol tidak dapat menjawab persoalan Puan Aminah. Dia
memikirkan yang Hasrol sudah bersedia dengan lebih awal apabila berlaku
kejadian yang sedemikian rupa. Puan Aminah memandang. tajam ke arah Hasrol
membuatkan Hasrol mengalihkan pandangannya kepada Ashraf. Sedang Hasrol
memandang Ashraf, tiba-tiba dia mendapat satu idea bagi menjawab persoalan
ibunya tadi. Dia tersenyum.
“Macam
ni mak. Bekas suami Marisa berebut untuk menjaga Ashraf. Jadi mahkamah memtuskan
jika Marisa berkahwin baru hak penjagaan Ashraf jatuh ketangannya. Mahkamah
mengambil kira sebab Marisa tidak bekerja. Jadi disebabkan Marisa kawan baik
Hasrol, Hasrol pun berkahwin dengan dia agar hak penjagaan Ashraf jatuh kepada
kami. Kami kena berkahwin dengan segera sebelum bicara yang akan datang. Sebab
itulah Hasrol tidak sempat untuk memaklumkan pada mak,” jelas Hasrol panjang
lebar. Berkeyakinan dia menjawab. Dia yakin yang jawapan dia amat munasabah.
“Jadi
hak penjagaan Ashraf jatuh kepada siapa?” Soal Puan Aminah seperti percaya apa
yang Hasrol katakan tadi.
“Kamilah. Jadi mak dah ada cucu
segera sekarang ni. Hehehe..,” tersengih-sengih Hasrol menjawab.
Puan
Aminah mengangguk. Dia memandang wajah Ashraf yang berada dihadapannya. ‘Memang dah lama aku teringinkan cucu. Tak
sangka dapat cucu dalam sekelip mata.’ Puan Aminah tersenyum. Dia berasa
agak gembira kerana mempunyai cucu walaupun Ashraf bukan dari darah dagingnya
sendiri.
Marisa tersenyum. Sempat dia
menunjukkan tanda bagus kepada Hasrol tanda teruja dengan jawapan yang
diberikan tadi. Hasrol pula bangga kerana dapat meyakinkan ibunya dengan
jawapan yang diberikan. Jadi kegiatannya sebagai cina buta tidak terbongkar.
“Okey makanan semua sudah
siap dimasak. Jom kita makan bersama-sama,” semua yang berada di dalam dapur
itu memandang Marisa.
“Mari mak
tolong,” Puan Aminah menawarkan diri untuk membantu Marisa menghidang makanan.
“Eh,
tak apalah mak. Mak kan penat jalan jauh tadi. Selalunya Hasrol yang bantu saya
menghidang makanan.” Marisa memandang Hasrol. Hasrol mencebikkan bibirnya.
Selalunya Marisa sendiri yang menghidang makanan. Hasrol hanya melantak sahaja.
Tapi kali ini Hasrol terpaksa membantu Marisa demi merealisasikan kata-kata
Marisa tadi.
“Sejak bila Hasrol pandai buat kerja
rumah ni,” Puan Aminah bertanya.
“Semenjak
berkahwin dengan Marisalah mak,” jawab Hasrol.
“Baguslah
kalau dan pandai buat kerja rumah. Tak adalah asyik isteri sahaja yang buat
semua kerja. Barulah hidup bahagia,” nasihat Puan Aminah. Hasrol asyik
tersengih-sengih macam kerang busuk.
+++++
“Mak. Siapa yang uruskan restoran kat kampung tu,”
soal Hasrol terhadap ibunya. Marisa pula sedang mencedok nasi ke dalam pinggan.
“Paksu
kau lah. Dia sahaja yang aku boleh harap. Nak harapkan kau. Banyak alasannya.
Kata tak ada masa depanlah. Nak kerja jauh dari kampunglah.”
“Paksu
tu memang rajin. Layak tolong mak jaga restoran kita. Saya ni sudah sikit mak.
Tunggulah bila tiba masanya saya akan uruskan restoran itu,” kata Hasrol ketika
itu sedang mencedok kuah kari ayam lalu meletakkan di dalam pinggan nasi Puan
Aminah.
“Baca
doa dulu sebelum makan,” pinta Puan Aminah.
Bagi
mengelak dirinya disuruh membaca doa cepat-cepat Hasrol menyuruh Ashraf. “Ashraf
baca doa.”
“Apalah
suruh budak tu baca. Hasrol sebagai ketua keluarga yang patut baca,” Puan
Aminah menegur. Marisa dan Ashraf tersengih-sengih melihat Hasrol apabila
ditegur oleh Puan Aminah. Kelihatan mereka seperti mengejek. Tanpa membuang
masa Hasrol beroda. ‘Baca doa makan bukan
susah pun,’ katanya di dalam hati.
Selepas
doa dibaca mereka makan bersama-sama. Ketika itu Puan Aminah sedang menyuap
nasi yang telah digaul dengan kari ayam dan sayur goreng.
“Hmm… Sedapnya
Marisa masak. Kalah Chef Wan. Ini kalau masak kat restoran mak ni mesti laku,”
puji Puan Aminah terhadap masakan Marisa.
“Risa
masak biasa-biasa sahaja la mak. Tetapi kalau mak dah cakap sedap terima
kasihlah,” kata Marisa malu-malu.
“Kalau macam
tu mak nak pinjam Marisa selama seminggu boleh tak Hasrol. Mak nak Marisa
tolong mak masak kat restoran mesti laku. Kalah restoran sebelah kita tu,”
pinta Puan Aminah.
Hasrol
tercekik mendengar permintaan ibunya itu. Diambil gelas air dan meneguk air
itu. Seraya dia menelan nasi yang tercekik dikerongkongnya. “Mana boleh mak.
Hasrol baru kahwin dengan Marisa mak dah bawa lari. Tunggulah dulu,” Hasrol
membantah.
“Kedekut. Mak bukan pinjam lama pun
seminggu sahaja. Marisa, nampak sangat Hasrol sayang dengan Marisa sampai tak
bagi Marisa ikut mak.”
“Risa
tak kisah mak. Kalau Hasrol izinkan Risa pergi, Risa pergi saja.”
“Kau tengok tu
Hasrol, Marisa pun tak ada masalah. Kau saja yang gila meroyan kalau Marisa tak
ada kat rumah ni,” perli Puan Aminah.
‘Yeyelah
Marisa nak ikut. Kalau dia ikut tak bercerai aku nampaknya,’ fikir Hasrol.
“Tunggu dululah mak. Nanti Hasrol ambil cuti seminggu bawa Marisa dengan Ashraf
balik kampung kita.”
“Ok.
Tapi minggu depan mak nak kau orang mesti balik. Mak nak buat kenduri kahwin
sekali. Tak akan tak beitahu kat orang kampung yang Hasrol dah berkahwin. Balik
saja kat kampung nanti mak nak buat persediaan perkahwinan kau orang,” kata
Puan Aminah matanya memandang Hasrol dan kadang-kadang memandang Marisa.
Mendengar sahaja kata-kata Puan
Aminah tadi Hasrol dan Marisa saling berpandangan. Mereka tahu yang kenduri itu
pasti tidak akan berlaku kerana pada masa itu mereka telah bercerai. Puan
Aminah sahaja yang beria-ria hendak membuat kenduri itu. Hasrol sudah berasa
serba salah. Begitu juga Marisa.
Hasrol
memerhatikan wajah ibunya. Kelihatan ibunya bersungguh-sungguh untuk
melaksanakan kenduri kahwin dia bersama Marisa. Dia sudah agak yang ibunya itu
pasti suka akan Marisa. Kerana dia sendiri pun mempunyai perasaan sedemikian.
Saja dipendamkan agar dia tidak terlepas dari menerima habuan yang lumayan itu.
Tiba-tiba hatinya terdetik untuk meneruskan sahaja pernikahannya bersama
Marisa. Tidak sanggup dia hendak mengecewakan orang tua kesayangannya itu.
Tetapi
adakah Marisa sendiri dapat menerima dia sedangkan dia tahu yang Marisa
mencintai Taufik. ‘Mak, Hasrol minta maaf
sebab tipu mak. Hasrol tahu yang mak suka pada Marisa. Tetapi Marisa sebenarnya
milik orang lain. Bukan milik Hasrol,’ hati Hasrol mula bedetik sayu
apabila melihat wajah ibunya itu.
“Mak,
insya-Allah kami akan balik kampung. Risa dengan Ashraf pun teringin nak pergi
kampung mak,” tiba-tiba Marisa bersuara.
Hasrol
merenung wajah Marisa. Keningnya dikerutkan. ‘Kenapa dia janji macam tu. Kalau tak jadi tak kecewa dibuatnya orang
tua itu.’ Hasrol menghembuskan nafas. Kedatanagn ibunya pada hari ini
betul-betul membawa masalah terhadap dirinya. Dia mengeluh sendirian.
Pada tengahari itu
mereka makan bersama-sama dengan melayani perasaan masing-masing. Puan Aminah
dengan perasaan gembira kerana menerima menantu idamannya. Manakala Hasrol
dengan perasaan serba salah antara duit dan kasih sayang. Manakala Marisa tetap
memendam satu perasaan iaitu perasaan cinta terhadap seseorang. Cinta yang baru
sahaja berputik. Bukan untuk Taufik tetapi untuk lelaki yang duduk disebelahnya
sekarang ini. Untuk Hasrol!. Walaupun dia masih lagi mempunyai perasaan cinta
terhadap Taufik tetapi perasaan cinta terhadap Hasrol lebih lagi. Mungkin kerana
Hasrol adalah suaminya sebab itu perasaan itu muncul dihati sanubarinya. Tetapi
perasaan itu terpaksa dipendamkan….
Ulasan
Catat Ulasan