Kahwin Dengan Cina Buta Bab 12
BAB
12
Taufik kelihatan sedang duduk di dalam sebuah
restoran yang dikatakan akan berjumpa dengan kliennya pada pagi itu. Apabila
diperhatikan meja yang dia duduki memang betul, terdapat seorang perempuan yang
menemaninya di situ. Akan tetapi adakah perempuan itu benar-benar klien dia?
Apabila diperhatikan wajah perempuan itu rupa-rupanya kawan baik Marisa sendiri
iaitu Zura yang menemai Taufik. Jadi memang betul tujuan Zura datang ke
kompleks membeli belah itu adalah untuk berjumpa dengan Taufik. Tetapi apakah
tujuan mereka ingin berjumpa dan apakah hubungan Taufik dengan Zura sebenarnya?
“Nasib
baik tak kantoi dengan Marisa tadi. Tak sangka pulak yang dia orang ada kat
sini juga,” keluh Zura selepas dia duduk di atas kerusi bertentangan dengan
Taufik.
“Tak
perlu risau. Tengok tadi pun dia orang macam tak perasan yang kita nak
berjumpa,” Taufik membuat andaian.
“Kalau kantoi tadi macam manalah?
Mesti Marisa kecewa kerana kawan baiknya telah mengkhianatinya sendiri. Yang
awak ni nak jumpa saya kenapa? Sudahlah nak hubungi pun payah sibuklah apalah,
tiba-tiba ajak jumpa,” Soal Zura kepada Taufik. Nadanya seperti dibuat-buat merajuk.
“Kalau
tiba-tiba saya nak jumpa awak, mestilah saya rindu kat awak,” jawab Taufik
ringkas tetapi bernada memujuk.
“Yelah tu rindu. Awak ingat saya tak
tahu kat pejabat awak ada scandal
baru. Patutlah beria-ria suruh saya berhenti kerja dari syarikat tu rupanya nak
pasang baru,” Zura memasamkan wajahnya. Dia tahu bahawa Taufik mempunyai
hubugan dengan Fasha setiausaha barunya itu. Sebelum itu Zura merupakan
setiausaha kepada arwah bapa Marisa dan selepas arwah bapa Marisa meninggal dia
menjadi setiausaha kepada Taufik pula. Itu pun sekejap sahaja. Taufik yang
meminta agar Zura berhenti kerja dan berjanji akan menanggung perbelanjaan sara
hidupnya.
Jadi
selama ini Zura telah menjalinkan hubungan sulitnya dengan Taufik semenjak
Taufik menjadi suami kepada Marisa lagi. Sehinggalah Marisa bercerai dengan
Taufik, Mereka masih lagi menjalinkan
hubungan sulit. Marisa tidak sedar akan perkara itu. Dia masih menganggap Zura
adalah sahabatnya yang paling rapat sekali.
“Saya tak ada apa-apa dengan dia.
Dia cuma setiausaha saya sahaja. Tak lebih dari itu. Saya cuma cintakan awak
sorang sahaja,” jelas Taufik sambil tangannya merayap menggosok tangan Zura.
Tetapi penjelasan itu jelas tidak benar kerana dia juga telah menjalinkan
hubungan sulit dengan Fasha.
Menjadi
kebiasaan kebanyakkan wanita, hati mereka akan cair apabila mendengar kata-kata
cinta dari orang yang dicintainya. “Ok, saya percayakan awak. Oh ya, hari tu
masa awak hubungi saya awak ada nak minta tolong saya tetapi pertolongan apa?
Saya harap ianya tak ada kaitan dengan Marisa. Saya tak sanggup nak berlakon
depan dia lagi,” kata Zura pandangan matanya masih bertentangan dengan Taufik.
“Saya
tak sampai hati nak tipu dia lagi. Pasal awak nak perangkap dia supaya
berkahwin dengan cina buta tu pun membuatkan saya rasa bersalah terhadap dia.
Sedangkan saya tahu bahawa dia akan merana jika berkahwin dengan cina buta tu
tetapi saya sebagai sahabat baiknya membiarkan sahaja perkara itu berlaku,”
Zura mengeluh. Mukanya sedikit suram apabila teringatkan Marisa.
Taufik
menarik tangannya dari memegang tangan Zura. “Mestilah awak diamkan. Tak kan
awak nak ceritakan perkara yang sebenar padanya.”
“Betul
kata awak tapi sampai bila kita hendak begini. Satu hari nanti Marisa akan tahu
juga. Apa kata kita berterus terang sahaja dengan Marisa? Selepas itu kita
nikah,” cadang Zura. Dia bersungguh-sungguh hendak berterus terang dengan Marisa
akan perhubungan sulitnya itu walaupun dia tahu Marisa pasti akan membencinya.
Muka
Taufik sedikit berubah selepas mendengar cadangan Zura. Dia merenung tajam Zura
yang berada dihadapannya. “Jadi awak nak bongkarkan rancangan saya nak
perangkap dia nanti. Kalau dia tahu semua ini rancangan saya satu sen dari
syarikat bapak dia kita tak akan dapat!” Taufik merengus.
Zura sedikit tersentak. “Awak masih
belum dapat menguasai syarikat bapa Marisa?”
“Belum.
Sekarang pun saya hanya memegang 20% saham syarikat. Lagi 80% tak tahu siapa.
Saya ada tanya Marisa juga tapi dia pun kata tidak tahu. Jadi saya nak minta
tolong awak kalau boleh cuba korek rahsia dari Marisa siapa yang memegang 80%
saham syarikat bapanya itu sebab awak kan kawan baiknya. Saya janji lepas saya
dapat mengusai syarikat itu kalau awak nak bererus terang dengan Marisa saya
tak kisah dan kita juga akan kahwin.” Jelas Taufik bagi memberi kefahaman
terhadap Zura tetang perancangannya.
Zura
terdiam seketika. “Awak janji akan berkahwin dengan saya?”
“Saya
janji”
“Baiklah
saya akan cuba dapatkan maklumat dari Marisa. Ini kali terakhir tahu, lepas ni
saya tak sanggup nak menipunya lagi,” kata Zura bersungguh-sungguh.
“Awak
saya dah book bilik hotel kat sini.
Lepas makan nanti kita singgah ye,” beritahu Taufik kepada Zura. Senyuman nakal
mula terukir pada wajahnya.
Zura
hanya mengangguk dan senyum sahaja tanda setuju pelawaan Taufik tadi. Dia sanggup
melakukan apa sahaja demi cintanya pada Taufik walaupun dia akan mengkhianati
kawan baiknya sendiri serta melakukan perkara yang dilarang oleh Allah. Tangan
Taufik mula menjalar semula memegang tangan Zura sambil matanya tidak putus
memandang Zura. Manakala dada Zura mula berdebar apabila menghadapi situasi
itu.
+++++
Selepas membeli-belah Hasrol membawa Marisa dan
Ashraf pulang. Semasa memandu kenderaan Hasrol asyik memandang Marisa yang duduk disebelahnya.
Marisa yang menyedari perbuatan Hasrol itu mengalihkan pandangnya pada Hasrol.
“Ada
apa awak pandang-pandang saya ni. Muka saya dah berubah ke?” Soal Marisa kepada
Hasrol.
“Taklah muka awak tetap
cantik macam dulu. Cuma awak tak perasan sesuatu ke?” Jawab Hasrol sambil
soalan juga diajukan kepada Marisa.
“Perasan
apa? Tak rasa apa-apa yang pelik pun. Awak sahaja yang pelik tertoleh-toleh
sahaja kepalanya,” jawab Marisa sambil keningnya dikerutkan.
“Awak
tengok Ashraf tu dari lepas jumpa Taufik sampai sekarang senyap sahaja. Dia
merajuk tu sebab awak marah dia tadi,” beritahu Hasrol kepada Marisa sambil
kepalanya digoyangkan sedikit kearah Ashraf.
Sebaik
sahaja mendengar kata-kata Hasrol tadi Marisa terus mengalihkan pandangannya
pada Ashraf. Dia melihat Ashraf duduk ditepi tingkap sambil memerhatikan
pemandangan di luar. Memang Marisa menyedari yang Ashraf dari tadi hanya
membisu sahaja. Dia menyangkakan yang Ashraf penat berjalan jadi malas hendak
bercakap. Tak sangka pula Marisa, Hasrol dapat menyedari yang anaknya itu
merajuk.
“Ashraf marahkan mama ke? Mama minta
maaf sebab marah kat Ashraf tadi. Mama bukan sengaja nak marah sebab mama tak
suka kalau Ashraf tidak hormat pada papa,” Marisa mula memujuk. Tetapi Ashraf
hanya membisu memandang pemandangan luar cermin.
Marisa terkelu kata. Ashraf betul-betul marah kepadanya. Melihatkan Ashraf
yang masih membisu itu Hasrol tiba-tiba memberhentikan keretanya di hadapan
sebuah kedai di bandar Klang.
“Ashraf
tengok kat luar tu kedai apa?” Pinta Hasrol apabila selesai menarik brek
tangannya.
Ashraf
memerhatikan singn board kedai yang
betul-betul berada depan matanya. Dia membaca ayat yang ditulis pada papan itu.
‘Kedai Mainan Super Hero’.
Kat
dalam sana Ashraf, banyak patung Ben-10. Papa ingat nak belikan kat Ashraf yang
paling besar,” kata Hasrol sambil matanya masih memandang kedai mainan itu.
“Betul ke papa? Ashraf suka. Jom papa, jom!” Ashraf
gembira selepas mendengar kata-kata Hasrol tadi. Lantas dia cuba untuk membuka
pintu kereta tetapi tidak berjaya kerana Hasrol masih belum membuka kunci pintu
kereta lagi.
“Aaaa…nanti
dulu. Ingat papa nak terus belikan ke? Sebelum kita keluar beli mainan papa nak
Ashraf buat sesuatu dulu,” Hasrol mengenakan syarat kepada Ashraf.
Ashraf
memandang Hasrol. “Apa dia papa?” lantas terus bertanya.
“Papa
nak Ashraf minta maaf kat mama. Tak baik buat mama macam tu. Berdosa tahu.
Ashraf tahu kan mama yang melahirkan Ashraf, menyusukan Ashraf, memberi kasih
sayang kat Ashraf pendek kata mama banyak berkorban untuk Ashraf. Ashraf pula
senang-senang sahaja nak sakitkan hati mama. Ashraf tahu tak yang syurga tu
bawah tapak kaki mama. Kalau Ashraf sakitkan hati mama Ashraf tak masuk syurga
tahu nanti masuk neraka kena seksa. Padan muka,” nasihat Hasrol kepada Ashraf.
Ashraf pula hanya tertunduk
mendengar kata-kata Hasrol yang tidak ubah seperti penceramah agama. “Papa nak
Ashraf minta maaf pada mama sekarang. Kalau mama maafkan Ashraf baru papa
belikan mainan,” pinta Hasrol pula. Marisa yang berada disebelah Hasrol hanya
mendengar perbualan antara Hasrol dan anaknya itu. Dia tidak sangka yang Hasrol
akan menasihati anaknya dengan sedemikian rupa. Nasihat yang layak dari seorang
ayah walaupun baru 2 hari Hasrol menjadi ayah Ashraf.
Selepas
Hasrol menghabiskan kata-katanya Ashraf mengangkat kepalanya memandang wajah
Marisa. Matanya bertakung dengan air mata tetapi masih belum meleleh lagi. “Mama…
Ashraf minta maaf. Mama maafkan Ashraf tahu. Ashraf tak nak masuk neraka,” rayu
Ashraf. Air matanya mula meleleh. “Ashraf janji tak akan sakitkan hati mama
lagi.”
Marisa
terharu menengar rayuan anaknya itu. Dia seorang yang sensitif jadi dia pun
ikut menangis sekali. Lagi-lagi apabila melihat tangisan anaknya itu. “Mama
sayangkan Ashraf. Mama sudah lama maafkan Ashraf. Mama pun janji tak akan marah
Ashraf lagi selepas ini.” Marisa menarik dan memeluk kepala Ashraf. Hasrol yang
berada disebelah hanya memerhatikan gelagat dua beranak itu. Dia berasa lega
kerana berjaya mengembalikan hubungan baik antara ibu dan anaknya.
“Tahniah!
Ashraf akan mendapat sebuah patung Ben-10 saiz XXL kerana telah mendapatkan
kemaafan dari mama!” Hasrol mencelah lalu mematikan ejin kereta dan secara
automatik kunci pintu terbuka. “Ashraf jom turun. Pilih patung mana nak,” ajak
Hasrol.
Ashraf tersenyum
mendengar kata-kata Hasrol tadi. Kepalanya sudah terbayang patung mana yang
akan dibelinya. Lantas dia membuka pintu kereta dan berlari masuk kedalam kedai
mainan itu.
“Awak jom,” Hasrol mengajak Marisa
yang air mata masih lagi bersisa. Tetapi Hasrol terkedu apabila Marisa
memandangnya tidak putus-putus. ‘Kenapa
dia pandang aku macam ni. Macam nak makan aku sahaja.’
Marisa
menggenggam tangan kanan Hasrol lalu tersenyum. “Thanks. I love you.” Lalu Marisa membuka pintu dan keluar dari
kereta dan berjalan menuju ke kedai mainan yang baru dimasuki oleh Ashraf tadi.
Tiba-tiba
jantung Hasrol berdebar-debar mendengar kata Marisa tadi. ‘Dia cintakan aku betul-betul ke?’ Hasrol bertanya dirinya sendiri.
Dia memandang cermin luar tingkap belah kanannya. Kelihatan Marisa dan Ashraf
melambai-lambai kepadanya tanda mengajak masuk sekali ke dalam kedai mainan
itu. Hasrol melemparkan senyuman lalu keluar dari kereta.
+++++
Selepas membeli patung Ben-10 untuk Ashraf, mereka
memulakan perjalanan untuk balik ke rumah. Hasrol memandu kereta tetapi
fikirannya melayang mengingat kembali peristiwa dimana Marisa mengucapkan
perkataan ‘I love you’ kepadanya. Dia
tersenyum sendiri. Marisa perasan Hasrol tersenyum sendiri.
“Ha..apa
senyum-senyum tu?” sergah Marisa.
Hasrol sedikit tersentak. Dia
menoleh kepalanya kepada Marisa. “Salah ke senyum. Senyum kan sedekah.
Lebih-lebih lagi pada isteri kita sendiri.”
“Aik,
macam pernah dengar je ayat tu. Meniru je. Tapi awak senyum kat cermin kereta
bukan kat saya.” kata Marisa. Lantas mereka berdua ketawa serentak. “Awak,
terima kasih sebab belikan Ashraf mainan kegemaran dia tadi,” ucap Marisa
kepada Hasrol.
“Awak ni.
Ashraf saya dah anggap macam anak saya sendiri tahu. Awak tak perlu nak
berterima kasih sangat.”
‘Anak sendiri? Ashraf pun macam dah anggap
awak macam papanya sendiri. Saya dapat lihat dengan mata kepala saya sendiri,’
kata hati Marisa. Tatkala itu hatinya terasa syhadu mengenangkan yang tidak
lama lagi dia akan berpisah dengan Hasrol. Dia mengakui bahawa Hasrol seorang
suami dan ayah yang baik dan bertanggungjawab. Dia begitu selesa hidup bersama
dengan Hasrol walaupun kehidupan mereka baru mencecah dua hari.
Ashraf pula
semakin hari semakin rapat dengan Hasrol. Marisa dapat merasakan yang Ashraf
amat menyanyangi Hasrol dan menganggap Hasrol macam ayahnya sendiri. Bagaimana
pula ketika mana Hasrol akan menceraikan dia nanti. Pada masa itu sudah tiada
Hasrol lagi yang akan menemani Ashraf. Sudah tiada papa Ashraf yang Ashraf
sayang. Mungkin Ashraf akan memberontak dan tiada siapa yang akan dapat
memujuknya kecuali Hasrol sendiri. Marisa mengeluh memikirkan perkara tersebut.
“Awak
kenapa senyap ni?” Hasrol menyoal apabila melihat Marisa tiba-tiba termenung.
Marisa tersedar dari lamunan. Dia menoleh
kepalanya kepada Ashraf yang sedang sibuk bermain patung Ben-10 barunya. Lalu
dia mengalihkan semula pandangannya kepada Hasrol.
“Awak. Saya tengok Ashraf makin rapat dengan awak. Terima
kasih kerana beri kasih sayang seorang ayah kepada Ashraf dan membuatkan dia
gembira. Tetapi awak, saya tak dapat bayangkan apabila kita bercerai nanti.
Ashraf mungkin tertanya-tanya dimana awak. Pada masa itu saya tak tahu nak
jawab apa,” Marisa mengeluh. Raut wajah bimbang mula terukir diwajah Marisa
ketika itu.
“Kalau
macam tu kita tak perlu bercerailah, kita sambung terus pernikahan ini,”
Tersengih-sengih Hasrol memberi cadangan.
Marisa tergamam mendengar kata-kata
Hasrol tadi. Di dalam hatinya tiba-tiba merasa gembira. Dia memang inginkan
kata-kata sedemikian terpacul dari mulut Hasrol sendiri. Tetapi adakah
kata-kata Hasrol tadi adalah benar atau gurauan semata-mata.
“Saya
gurau sahaja. Tak kan awak nak teruskan hubungan suami isteri ini sedangkan
awak sangat cintakan Taufik. Awak jangan bimbang. Lepas kita bercerai nanti
saya tetap akan datang melawat Ashraf. Bawa dia jalan-jalan. Nanti taklah dia
rasa kehilangan saya sangat,” Hasrol menyambung semula kata-katanya.
Hati
Marisa mula berubah sedih tatkala dia mengetahui bahawa kata-kata Hasrol tadi
adalah gurauan. Dia pun tidak sangka yang dia mempunyai perasaan begitu. Kalau
boleh hendak sahaja dia meluahkan apa yang dia rasa. Rasa ingin terus sahaja
bersama dengan Hasrol menjadi isteri bukan sementara tetapi selama-lamanya.
"Mama…balik
nanti Ashraf nak tengok syurga boleh?” Tiba-tiba Ashraf bertanya pada ibunya.
Marisa
menoleh kebelakang dan memandang wajah Ashraf. “Nak tengok kat mana?” Soal
Marisa pula.
“Kat bawah tapak kaki mamalah.
Kata papa syurga kat bawah tapak kaki ibu,” terang Ashraf.
Seraya
Marisa dan Hasrol berpandangan sesama sendiri lalu mereka ketawa serentak.
Ashraf tersengih-sengih melihat gelagat Marisa dan Hasrol tadi.
+++++
Malam itu selepas makan malam bersama Marisa dan
Ashraf, Hasrol keluar berjumpa dengan Zaki. Seperti biasa restoran mamak yang
menjadi pilihan mereka. Oleh kerana ramai pengunjung pada malam itu Hasrol dan
Zaki duduk diluar restoran itu. Mungkin kerana ada perlawanan bola sepak antara
Mancherster United dengan Chelsea menyebabkan restoran itu dibanjiri oleh ramai
manusia.
Termasuklah Hasrol dan Zaki. Tetapi
tujuan mereka datang ke retoran itu bukanlah semata-mata untuk menonton
perlawanan bola sepak tetapi sekadar untuk berbual-bual. Menonton perlawanan
bola sepak pada malam itu hanya sampingan sahaja.
“Apa macam pengantin baru
yang tak seberapa baru kita ni? Bahagia tak?” soal Zaki, saja menyakat Hasrol
yang ketika itu sedang menghirup teh tarik.
Hasrol hanya tersenyum
selepas meletakkan gelas teh tarik di atas meja dia menjawab. “Lain daripada
yang lain.”
“Apa
yang lainnya tu?” Zaki bertanya lagi.
“Sudah 3 kali aku bernikah termasuk
dengan Marisa. Antara mereka bertiga aku rasa Marisa sahaja yang mempunyai
personaliti yang berlainan. Seperti langit dan bumi perbezaan antara dia dengan
yang lain. Marisa sebelum subuh dah bangun dari tidur. Solat tak pernah tinggal
sampai aku dileternya kalau aku belum solat lagi. Pandai memasak dan pandai
mengurus rumahtangga. Pendek kata dia jalankan tanggungjawab dia sebagai
seorang isteri dengan baik,” Hasrol memberikan pujian terhadap Marisa.
“Apa
yang kau rasa selama hidup bersama dengan dia selama dua hari ini,” lagi soalan
dikemukan oleh Zaki.
“Seronok. Rasa macam
nikah betul-betullah,” jawab Hasrol.
“Aik..ada
ke nikah main-main?” Zaki mengerutkan dahinya.
“Yelah..sebelum
aku bernikah dengan Marisa aku kan pernah bernikah dengan perempuan yang lain.
Semua tak boleh pakai. Macam madam besar pulak kat rumah aku. Aku pulak nak
kena uruskan mereka. Mereka langsung tak menghormati aku sebagai seorang suami.
Mungkin sebab mereka tahu aku ni cuma cina buta, suami sementara mereka. Sebab
itulah mereka tak pedulikan aku. Lain pula Marisa, walaupun dia tahu hubungan
aku dengan dia hanya sementara tetapi dia tetap lakukan tanggunjawab dia
sebagai seorang isteri dan menghormati aku sebagai seorang suami,” kata Hasrol
panjang lebar.
“Jadi kau dah jatuh cinta pada
Marisa tu?” Tiba-tiba Zaki mengemukan satu solan yang membuatkan Hasrol
tersentak hampir dia menghamburkan air teh yang dihirupnya apabila mendengar
soalan itu.
“Apa
kau merepak ni. Tak merasalah aku RM400,000.00 kalau aku syok kat Marisa tu.
Kalau aku dah jatuh cinta cinta kat Marisa tu pun nak ke dia kata aku ni. Dia
lebih cintakan Taufik tu,” Hasrol menyanggah soalan Zaki tadi.
“Aku
bukan apa, sampai bila kau nak jadi cina buta. Sekarang ni kau dah berkahwin
dengan perempuan yang baik dan sesuai untuk kau. Apa salahnya kalau kau
teruskan hubungan kau dengan Marisa tu. Masa yang kau ada sekarang ni kau
cubalah ambil hati dia. Mana tahu dia suka kat kau pula,” cadang Zaki.
Hasrol
terdiam mendengar kata-kata Zaki tadi. Di dalam hatinya terdetik mengakui benar
akan kata-kata Zaki tadi. Tetapi disebabkan habuan yang akan diterimanya jika
dia menepati janji-janjinya kepada Taufik menyebabkan dia berasa serba salah.
Sudahlah duit poketnya semakin hari semakin berkurangan. Dengan menerima habuan
yang akan diberi oleh Taufik nanti menyebabkan dia dapat bernafas semula.
Meneruskan hidupnya dengan habuan tersebut sementara menunggu ada pelanggan
yang akan mendapatkan khidmat cina butanya.
‘Aku tak akan lepaskan habuan itu!’
Bentak hati Hasrol. Dia nekad untuk memilih wang habuan itu daripada hidup
bersama Marisa.
Ulasan
Catat Ulasan