Kahwin Dengan Cina Buta Bab 5

BAB 5

Sudah 4 bulan Marisa diceraikan oleh Taufik. Marisa kini tinggal menyewa di sebuah rumah flat di Seksyen 7, Shah Alam. Dia bersama dengan anaknya telah diusir keluar dari banglo milik arwah bapanya kerana ianya telah dilelong. Dengan memiliki sedikit wang hasil simpanannya dahulu, Marisa telah menggunakannya untuk menyara kehidupnya bersama dengan Ashraf.

Boleh sahaja kalau dia mencari kerja dengan kelulusan ijazah luar negara yang dimilikinya. Memandangkan Taufik berjanji untuk berkahwin semula dengannya membuatkan Marisa memutuskan untuk duduk di rumah sahaja. Lagipun Taufik tidak pernah menghubunginya dan kali terakhir pun masa Taufik meminta untuk Marisa kembali kepadanya. Ada juga niatnya untuk menghubungi Taufik tetapi dibatalkan saja memandangkan perasaan segan dan malu berpaut pada hatinya.  
                                                                                                  
Kedudukan rumah Marisa di tingkat 5 di bangunan flat itu boleh dikatakan agak tinggi. Sehingga Ashaf merungut apabila terpaksa menaiki tangga untuk sampai ke rumah. “Penatlah mama macam naik gunung Everest!” rungut Ashraf.      
                                                                 
Marisa hanya tersenyum. Kepala anaknya dibelai. “Mama lagi kasihan kena pikul beg Ashraf. Berat tau beg Ashraf ni,” kata Marisa sambil menggoyangkan beg sekolah Ashraf yang dipikulnya.                             
                                                                                                               
“Mama kan kuat macam cerita Supermak kat TV3,” Ashraf menjawab, sambil mengepak kedua-dua tangannya tak ubah macam ahli bina badan.      
                                                       
Marisa tergelak kecil melihat telatah anak kesayangannya itu. Lagak comel. Lelah dia memanjat tangga kian hilang melihat telatah itu. Sampai di depan pintu rumah, telefon bimbitnya berbunyi. Diseluk tangannya di dalam beg tangan yang sedia tergantung di bahu kanannya untuk mengambil telefon bimbitnya. Hatinya merasa gembira tatkala melihat nama yang terpapar di dalam skrin telefon.                  
                                                                                                        
‘Abang’ benak hatinya bersuara. Lantas dia menjawab panggilan itu. “Assalamualaikum, abang,” Marisa memulakan dengan memberi salam.    
                                                      
“Waalaikumsalam, Risa, abang nak jumpa Risa petang ni boleh?” soal Taufik      
               
“Risa tak kisah. Abang nak jumpa Risa kat mana? Nanti Risa datang dengan Ashraf.”     

“Risa datang seorang diri tak perlu bawa Ashraf. Kita kan nak bincang pasal perkahwinan Risa dengan lelaki cina buta. Tak elok kalu Ashraf dengar,” jelas Taufik. Dia lebih suka tidak melibatkan Ashraf dalam perjumpaan petang nanti.       
                                                          
“Baiklah abang. Nanti pandai-pandai Risa cari siapa yang boleh jaga Ashraf. Kita nak jumpa kat mana nanti?” soal Marisa. Tetapi hatinya tiba-tiba sayu apabila mendengar kata Taufik tadi yang seperti tidak mahu berjumpa dengan Ashraf.
                                                                                   
“Kita jumpa dekat taman tasik Seksyen 7 tu. Tempat orang jogging. Pukul 5 petang tau. Kalau Risa sampai dulu, Risa cari jelah tempat duduk kat mana-mana. Nanti abang cari Risa,”   

“Risa tak kisah pun kat mana-mana. Nanti kalu Risa sampai Risa call abanglah,” 
             
“Ok, kita jumpa petang nanti. Bye..,” tuuuuutt…, bunyi tanda panggilan dimatikan serta merta oleh Taufik.  
                                                                                                                              
Marisa memasukkan kembali telefon bimbit di dalam beg tangannya lalu kunci rumah dikeluarkan. Tiba-tiba dia merasa kakinya digoyangkan. Dia menoleh ke bawah dan melihat Ashraf yang menggoyangkan kakinya.     
                                                                   
“Kenapa Ashraf?” soal Marisa. Tangannya tidak lepas merodok kunci di dalam mangga yang dipegangnya            
                                                                                                                     
“Tadi papa telefon ke?”  
                                                                                                       
“Tak lah, orang lain. Kawan mama,” dalih Marisa. Dia tidak mahu Ashraf mengetahui yang Taufik telah menghubunginya tadi kerana dia takut jika Ashraf berkeras hendak mengikutnya untuk berjumpa dengan Taufik petang nanti.    
                                                          
“Tipu, Ashraf tau itu papa, mama selalu panggil papa abang,” kata Ashraf yang tidak mempercayai jawapan ibunya tadi.      
                                                                                              
“Kan mama pun panggil Pak Long Jenal pun abang. Ashraf dah lupa ke? Atau Ashraf rindu kat papa?” soal Marisa lagi. 
                                                                                                               
“Tak rindu, Ashraf benci papa!” jawab Ashraf tetapi dengan nada yang tinggi.  
                
Marisa terkejut mendengar kata Ashraf tadi. “Ashraf! Tak baik cakap macam tu, kan papa Ashraf tu. Kenapa nak benci!?” kali ini Marisa pula meninggikan suaranya tanda marah.  

“Papa dah tak sayangkan kita. Kalau papa sayangkan kita kenapa papa tak duduk dengan kita? Mana papa sekarang ni?” Ashraf mula mencebik kerana dimarahi oleh Marisa tadi. Selepas itu terus menangis teresak-esak.                                                                                     

Hati Marisa mula sayu melihat Ashraf menangis lalu dipeluk anaknya itu seraya berkata. “Ashraf, papa sibuk. Nanti tak lama lagi papa akan duduk dengan kita semula. Mama janji.”    

Ashraf hanya menangis. Dia tidak berkata apa-apa lagi. Ibunya dipeluk erat.

+++++

Hasrol pulang kerumahnya di sebuah apartment mewah di Klang. Seperti biasa dia akan menyemak peti suratnya. Peti surat bernombor 701. Sudah seminggu dia tidak menyemak surat di dalam peti itu. Apabila dibuka beberapa keping surat dan bil-bil diambil lalu dibawa sekali bersama.  
                                                                                                                                   
Tiba dirumah dia terus mencari sofanya yang yang empuk untuk dilabuhkan punggungnya. Muka kelegaan jelas terserlah di wajahnya tatkala punggungnya mencecah di atas tilam sofa. Surat-surat yang diambilnya tadi dilihat satu persatu.  
                                                         
“Kalu dari bank ni mesti pasal hutang,” bicara Hasrol sendiri lalu dilemparkan surat tadi dan sekeping surat yang lain dilihat. Hasrol yang tadi duduk bersandar terbangun dari sandarnya apabila melihat cop yang tertera di atas sampul itu.  
    
“Bahagian Penguatkuasaan, Jabatan Agama Islam Selangor?” lantas Hasrol mengoyak sampul surat itu dan mengeluarkan sekeping surat  untuk mengetahui isi kandungnya.

ARAHAN HADIR UNTUK MEMBERIKAN KETERANGAN BERSABIT ADUAN AJ-ISA 009/09/01

“Tuan diminta hadir untuk memberikan keterangan bersabit aduan seperti di atas pada 27 April 2013 di Bahagian Penguatkuasaan. Ketidakhadiran tuan boleh menyebabkan tuan boleh dikenakan tindakan lanjut,” Hasrol membaca semula ayat yang terkandung di dalam surat itu.

“Kenapa JAIS panggil aku ni? Apa salah aku?” Hasrol diam seketika. Otaknya ligat memikirkan persoalan yang dihadapinya. “Agaknya JAIS nak siasat sebab aku jadi cina buta kot?” dia mula meneka.  
                                                                                                           
“Tak guna. Siapa yang dengki buat aduan pasal aku? Masak aku kalau JAIS ada bukti yang aku jadi cina buta. Tapi bukti apa yang mereka ada. Setakat kahwin cerai tu perkara biasa tak menjadi kesalahan pun,”   
                                                                                                              
“Ah! abaikan sahaja. Tak kuasa aku nak datang sana. Kalau nak jumpa biar JAIS yang cari aku!” Hasrol mendengus lalu dia meronyok surat itu dan dicampak sahaja di atas lantai. Surat yang baru dibaca tadi menyebabkan moodnya untuk membaca surat yang lain tergendala. Lalu dia baringkan badannya dan merenung syiling rumahnya. Corak-corak bintang yang terlukis di syling itu diperhatikan sehingga matanya terasa berat dan lama kelamaan dia terlena dibuai mimpi.

+++++

“Assalamualaikum, Zura petang ni kau ada kat rumah tak?” soal Marisa melalui telefon. Tangan kirinya memegang telefon manakala tangan kanannya sedang membalikkan ikan di dalam kuali menggunakan sudip.    
                                                                                            
“Ada. Aku tak pergi mana-mana. Kenapa Risa?” Zura menjawab tetapi sempat juga menyoal.  
    
“Aku nak minta kau tolong jagakan Ashraf petang ni. Aku nak jumpa abang Taufik,” jawab Marisa. Dia kelihatan mengundurkan dirinya sedikit apabila minyak di dalam kuali terpercik keluar.   
                                                                                                                             
“Kenapa dia nak jumpa kau?” Soal Zura lagi.     
                                                                  
“Aku pun tak pasti. Agaknya nak bincang pasal perkahwinan kami. Apa-apa pun lepas balik dari jumpa abang Taufik aku ceritakan kat kau,” jawab Marisa.   
                                            
Zura diam seketika dan selepas itu dia bersuara. “Kenapa tak bawa Ashraf sekali? Ashraf mesti hendak jumpa ayahnya.”    
                                                                                       
“Abang Taufik yang minta supaya jangan bawa Ashraf sekali. Katanya tidak elok kalau Ashraf dengar perbualan kami nanti,” jawab Marisa.       
                                                         
Kedengaran dengusan nafas Zura selepas mendengar kata-kata Marisa tadi. “Baiklah, aku boleh jaga Ashraf. Tapi aku nak nasihatkan kau supaya berfikir dahulu sebelum membuat keputusan. Pukul berapa kau nak datang?”    
                                                                                      
“Pukul 4.45 petang. Tolong ye Zura,” rayu Marisa. 
                                                             
“Ok. Aku tunggu.”     
                                                                                               
“Terima kasih Zura.”   
                                                                                                           
“Sama-sama.”        
                                                                                                                 
Marisa mengambil pinggan yang berada berdekatan dengannya. Ikan yang digorengnya tadi telah masak dan diletakkan di atas pinggan. Aroma ikan goreng yang diadun dengan serbuk kari adabi meresap masuk dalam hidungnya. Pinggan yang berisi ikan tadi dibawanya ke ruang tamu. Ashraf kelihatan sedang meniarap menyiapkan kerja sekolahnya.    
                                                    
“Ashraf mari makan dulu. Nanti sambung balik kerja sekolah tu,” pinta Marisa.
                 
Ashraf bingkas bangun apabila terhidu aroma ikan goreng yang tersebar di ruang tamu.  
  
“Sedapnya bau!” kata Ashraf lalu bangun dan berjalan ke arah ibunya. Senang hati Marisa melihat gelagat Ashraf. Dia lebih senang hati jika Taufik dapat bersama-sama dengan mereka kerana Ashraf masih memerlukan kasih sayang seorang ayah. Kalau boleh dia hendak Ashraf sentiasa gembira semasa kehidupan zaman kanak-kanaknya.     
                                                     

Pada tengahari itu Marisa makan bersama dengan Ashraf sahaja. Marisa fikir mungkin pada masa akan datang dia tidak akan hidup berdua lagi kerana lelaki yang dicintainya akan menemaninya selepas mereka berkahwin semula nanti.

Ulasan

Catatan popular daripada blog ini

Kahwin Dengan Cina Buta Bab 4

Kahwin Dengan Cina Buta Bab 1

Kahwin Dengan Cina Buta Bab 27