Suami Olok-Olok Bab 2
BAB
2
“Aduh perempuan mana pulak ni
tiba-tiba masuk dalam kereta aku,” Farhan merungut. Dia dapat rasakan kehadiran
Amira akan mendatangkan masalah kepadanya.
“Tolonglah.
Saya bukan main-main. Awak tak ada perasaan simpati kat saya ke?” Pinta Amira
sekali lagi apabila mendengar rungutan dari Farhan.
“Okey-okey.
Aku akan tolong. Tetapi aku cuma boleh tolong untuk telefon ambulans ja.
Lebih-lebih aku tak boleh,” beritahu Farhan dan selepas itu dia mengambil
semula telefon bimbitnya yang diletakkan di dalam dash board tadi.
“Tak
boleh. Saya dah tak boleh tahan. Tolonglah bawa saya ke mana-mana hospital yang
berdekatan. Saya rasa anak saya dah nak keluar ni!” Amira cuba merayu lagi.
Tetapi ayat yang anak dalam kandungannya itu hendak keluar sengaja direka agar
Farhan simpati dengannya.
“Ish,
aku tak akan bawa kau ke hospital dengan kereta aku. Nanti kalau tiba-tiba kau
bersalin kat dalam kereta aku macam mana? Tak pasal-pasal dalam surat beranak
anak kau tempat lahir ditulis dalam kereta nombor pendaftaran BLU 8419,” dengan
selamba Farhan menjelaskan. Langsung tak menjaga hati Amira yang sedang
menderita kesakitan.
Amira geram mendengar penjelasan
daripada Farhan tadi. Kalau dia tidak menderita sakit sudah lama
ditunjal-tunjal kepala lelaki itu. Tetapi apakah daya, dia sekarang tidak mampu
berbuat apa-apa hanya menahan sakit sahaja yang mampu dilakukan.
“Baiklah
kalau awak nak telefon ambulan telefonlah. Kalau saya mati dulu sebelum
ambulans sampai saya pasti aku jadi hantu. Bila saya jadi hantu nanti saya akan
cari awak kemudian cekik awak sampai mati!” Ugut Amira. Tetapi ugutannya seperti
tidak masuk akal.
Farhan tertelan
air liur mendengar ugutan Amira. Dia seperti mempercayainya kerana terpengaruh
dengan filem seram Indonesia iaitu Sundel Bolong. Cerita mengenai perempuan
yang mati ketika mengandung pasti akan menjadi Pontianak untuk membalas dendam.
“Mengarut!” Jerit Farhan dengan
tujuan untuk menenteramkan hatinya. Pada masa itu juga tangan Farhan memegang
gear dan menarik ke posisi D sebelum kereta itu bergerak. Sempat dia memandang
Amira melalui cermin pandang belakang. Amira yang sedang sakit itu tiba-tiba
tersenyum sinis.
"Tahu
awak takut,” beritahunya yang yakin Farhan percaya dengan ugutannya. Hendak
sahaja dia ketawa terbahak-bahak tetapi kesakitan yang dialaminya menghalangnya
berbuat demikian.
“Aku
tak takut pun. Aku cuma kasihan dengan dengan kau yang dah separuh mati aku tengok.
Tapi ingat jangan kau bersalin kat dalam kereta aku. Sudahlah hospital kat sini
jauh. Lagi-lagi Hospital Klang yang sesak tu. Aku tak jamin kita boleh sampai
kat sana dengan cepat,” ujar Farhan.
“Kalau macam tu kita pergi kat
hospital Sungai Buloh,” cadang Amira.
“Hospital
Sungai Buloh pun jauh. Tapi kalau kau nak pergi kat situ aku boleh bawakan,”
balas Farhan yang setuju dengan cadangan Amira tadi. Lantas dia memecut laju
keretanya agar sampai cepat ke Hospital Sungai Buloh. Dia tidak mahu Amira
bersalin di dalam keretanya.
Semasa
memandu Farhan mendengar suara rintihan Amira yang menahan sakit. Dia memandang
cermin pandang belakang dan melihat wajah Amira yang mengerut-ngerut menahan
sakit. Kasihan pula dia melihatnya.
Tetapi dia tidak boleh berlembut dengan perempuan yang tiba-tiba muncul memberi
masalah kepadanya. Sudahlah malam tadi dia tidak tidur sekarang terpaksa
berjaga lagi membawa perempuan yang tidak dikenalinya ke hospital.
“Boleh
diam tak? Aku tengah memandu ni,” sengaja Farhan berkata begitu walaupun
hatinya ada sekelumit rasa kasihan pada perempuan itu.
“Awak
tak nampak ke saya tengah sakit ni? Awak ni tak ada hati perut betul!” Marah
Amira. Meluat dia memandang Farhan walaupun dari belakang. Hendak sahaja dia
menyuruh Farhan memberhentikan kereta dan keluar dari kereta itu. Tetapi dia
terpaksa bersabar dengan kerenah Farhan janji lelaki itu sanggup menghantarnya
ke hospital.
"Memanglah
aku nampak. Tapi aku tak boleh dengarlah orang-orang sakit ni. Suami kau mana?
Kenapa kau tak suruh dia je hantar?”
Amira tidak
menjawab kerana dia memang tiada suami. Mungkin Farhan akan memandang hinaya
akan dirinya jika lelaki itu tahu yang anak dalam kandungan itu adalah anak tak
sah taraf.
“Hei
aku tanya ni. Mana suami kau. Baik kau telefon dia sekarang cakap kau nak
bersalin dekat Hospital Sungai Buloh. Suruh dia tunggu kat sana. Kalau tak
nanti pekerja kat hospital situ ingat aku suami kau pula.” Melihat Amira yang
masih tidak menjawab pertanyaannya, Farhan bertanya sekali lagi. Kali ini
tinggi sedikit suaranya seperti memaksa. Perasaan
menyampah Amira terhadap Farhan semakin menjadi. Menyesal dia masuk ke dalam
kereta lelaki itu. Kalau boleh diundur masa pasti Amira tidak akan masuk ke
dalam kereta Farhan.
“Suami
saya dah mati. Puas hati?” Dengan selamba Amira menjawab. Walaupun jawapan itu
tidak benar tetapi dia amat berpuas hati dengan jawapan yang diberikan. Dia
yakin Farhan pasti tidak akan menyoalnya lagi selepas ini.
“Kasihan.”
Ayat itu yang keluar dari mulut Farhan.
“Kalau kasihan tolong
fahami saya okye?” ujar Amira. Tetapi Farhan hanya membisu. Semakin kuat
perasaan simpati dia pada perempuan itu.
Hampir
5 minit berlalu. Mereka tidak bersuara di dalam kereta. Farhan pun tidak ada
apa yang ingin ditanya lagi. Manakala Amira masih kelihatan menahan sakit.
Sedang Farhan leka memandu kereta tiba-tiba dia dikejutkan dengan jeritan kuat
yang datangnya dari Amira. Segera Farhan menoleh ke belakang untuk melihat apa
yang berlaku.
“Kenapa
lagi ni? Dah bersalin ke?” Tanya Farhan sebaik sahaja dia melihat Amira menahan
sakit yang teramat sangat.
“Saya
dah tak boleh nak tahan lagi ni. Tolonglah bawa kereta laju-laju,” pinta Amira
yang bercakap dengan nada yang perlahan kerana menahan sakit.
“Masuk highway pun belum
lagi macam mana nak cepat sampai. Kau tahanlah dulu. Pujuk anak kau tu jangan
keluar dulu,” ujar Farhan. Sempat juga dia berseloroh.
“Saya sudah tak boleh tahan lagi. Ya
Allah sakitnya.” Amira bertambah derita menyebabkan Farhan bertambah tidak
keruan. Semakin kuat Farhan menekan pedal minyak. Dia juga ingin cepat sampai
ke hospital agar penderitaan Amira dapat dihilangkan dengan cepat.
Semasa
melalui Seksyen 13, Farhan terlihat papan tanda sebuah hospital swasta di tepi
jalan. Papan tanda itu bertulis Hsopital Umra. Baru Farhan sedar ada sebuah hospital
bersalin swasta di Shah Alam. Segera dia masuk ke simpang di hadapan klinik
itu.
“Kalau
kau sudah tak tahan lagi aku bawa kau ke hospital swasta ni. Tetapi aku nak
tanya kau dulu. Kau ada duit tak? Mahal ni dia cas kat kau nanti. Aku tak ada
duit nak bayarkan ya,” beritahu Farhan. Ketika itu dia sudah siap memakir
kenderaannya betul-betul di hadapan hospital swasta itu.
“Ada-ada.
Cepat, saya sudah tidak tahan lagi,” pohon Amira. Dia sudah tidak tahan lagi
untuk menanggung rasa sakit hendak bersalin. Selepas mendengar persetujuan
Amira untuk bersalin di hospital swasta, Farhan keluar dari keretanya dan
membuka pintu belakang.
“Kau boleh
bangun tak?” Soal Farhan sebaik sahaja pintu belakang keretanya dibuka. Amira yang sedang memegang perutnya
menggelangkan kepala sebanyak 2 kali.
“Habis
macam mana? Nak aku angkat kau ke?”
Amira
mengangguk kepalanya sebanyak 2 kali.
“Ish, tak habis-habis menyusahkan
oranglah kau ni. Nah tolong pegang kunci kereta aku ni. Lepas aku dukung kau
keluar, kau tekan butang kunci. Faham?” rungut Farhan sebelum dia cuba
mengangkat tubuh Amira. “Hui... berat betul kau ni!” Rungutnya lagi. Selepas
Amira menekan butang kunci pada kunci kereta yang dipegangnya dengan cepat Frahan
berlari anak masuk ke dalam hospital swasta sambil mendukung tubuh Amira.
Sebaik sahaja dia masuk
ke dalam hospital itu tempat pertama yang dia tuju adalah kaunter pendaftaran.
Ramai pesakit yang kebanyakkan wanita mengandung terkejut melihat gelagat
Farhan yang mendukung Amira. Mungkin mereka tidak pernah melihat situasi
sebegitu rupa.
“Nurse!
Nurse! Perempuan ini hendak bersalin!” Beritahu Farhan kepada jururawat yang
bertugas di kaunter pendaftaran. Seorang jururawat perempuan yang tersentak
dengan kehadiran Farhan dan Amira terus bangun dari duduknya.
“Cepat
encik letakkan isteri encik dekat kerusi roda kat situ,” pinta jururawat itu
sambil jari telunjuknya menunjuk ke arah sebuah kerusi yang berada di sebelah
kaunter.
“isteri?”
Farhan termanggu seketika.
“Cepat
encik. Isteri encik saya tengok dah tak tahan nak bersalin dah tu,” beritahu
jururawat itu selepas keluar dari kaunter.
Farhan
seperti hendak meningkah kata-kata jururawat itu tadi mengenai salah faham
jururawat itu yang menganggap Amira adalah isterinya. Tetapi melihatkan Amira
yang kelihatan menahan sakit ditangguhkan sahaja niatnya itu. Kemudian nanti
dia akan jelaskan perkara yang sebenar.
Selepas Farhan
meletakkan Amira di atas kerusi roda, jururawat itu terus menolak Amira. Sempat
jururawat itu berpaling mukanya ke arah Farhan dan berkata sesuatu. “Encik mari
ikut saya ke dewan bersalin. Lebih elok kalau encik temankan isteri encik
semasa nak bersalin nanti.” Habis sahaja berkata selajur jururawat itu berlalu
pergi.
“Isteri
lagi,” ujar Farhan yang tidak berpuas hati tanggapan jururawat itu. Dia hendak
berjalan mengikut jururawat itu tetapi dia langkahnya hanya sekali sahaja.
Kemudian dia berhenti dan membatu di situ.
‘Buat apa aku nak ikut lagi. Aku dah tolong
perempuan itu hantar kat hospital sudah cukup baik. Baik aku blah je,’ kata
Farhan dalam hatinya. Selepas jururawat yang menolak Amira hilang dari
penglihatannya, terus Farhan berjalan keluar dari hospital. Hatinya berasa lega
kerana masalah yang dihadapinya tadi telah berkahir.
Farhan
berada di sebelah keretanya. Tangannya diseluk ke dalam poket seluar untuk
mencari kunci keretanya. Tetapi tak jumpa. Puas dia meraba seluarnya tetapi
sama juga. Baru dia teringat yang kuci keretanya ada pada Amira. Dia mengetuk
bumbung keretanya denga kuat.
"Cis! Macam mana aku
boleh lupa nak ambil balik kunci kereta aku kat perempuan tu. Malang betul
nasib aku hari ini,” bebel Farhan. Nak tak nak terpaksa juga dia masuk semula
ke dalam hospital untuk mendapatkan balik kunci keretanya. Mungkin Amira sudah
menyerahkan kunci kereta pada jururawat tadi dan sekarang kunci itu ada di
kaunter. Fikir Farhan.
Sebaik sahaja Farhan masuk ke dalam
hospital, dia mendapati jururawat yang duduk di kaunter tidak sama dengan jururawat
yang dijumpanya tadi. Lalu Farhan pergi mendapatkan jururawat itu.
“Nurse,
tadi saya ada bawa orang nak bersalin dan,”
Belum sempat
Farhan menghabiskan kata-katanya, jururawat itu telah memotong terlebih dahulu.
“Owh, enciklah suami puan Amira. Puan Amira dah masuk ke dewan bersalin. Encik
boleh lalu kat lorong ni untuk ke dewan bersalin.”
“Erkk...,”
kelu lidah Farhan mendengar kata-kata jururawat itu. Kalau boleh dia tak nak
masuk ke dalam dewan bersalin. Buat apa. Dia bukan suami Amira pun. Tetapi
memandangkan kunci kereta masih belum dijumpai lagi terpaksa dia mencarinya di
dalam dewan bersalin.
Farhan
sampai betul-betul di hadapan pintu dewan bersalin. Tetapi dia ragu-ragu adakah
patut dia masuk atau menunggu sahaja sehingga Amira melahirkan anaknya. Kalau
dia masuk bagaimana pula keadaan Amira ketika hendak melahirkan anak. Adakah
dalam keadaan bogel? Memang tidak patut dia masuk.
“Arghh!
Tak guna betul!” Farhan menyumpah sekali lagi. Akhirnya dia putuskan untuk
menunggu sahaja sehingga Amira melahirkan anak. Entah bila pun dia tidak tahu.
Dia pun ada dengar cerita dari orang yang
bersalin anak ni selalunya lama. Kadang – kadang kalau belum buka laluan
sebanyak 10cm pasti lambatlah anak itu nak keluar. Dia terpaksa redha demi
kunci keretanya itu.
“Encik
tak nak masuk ke temankan isteri encik?” Tiba-tiba Farhan di tegur oleh
jururawat yang menolak Amira tadi.
Farhan
tidak menjawab soalan jururawat itu tetapi dia menyoal pula. “Nurse nak masuk
dalam dewan bersalin ni ke?”
“Ye kenapa?”
“Boleh
tolong mintakan kunci kereta saya kat...,” Farhan seperti susah hendak menyebut
nama Amira.
“Kat
isteri encik?” Jururawat itu yang tolong sebutkan tetapi jawapan itu tetap salah
bagi Farhan.
“Bukan-bukan,”
Farhan meningkah.
"Habis
tak akan kat doktor pula,” jururawat itu berasa hairan.
“Bukan-bukan. Perempuan kat
dalam itu bukan isteri saya,” Farhan cuba menjelaskan keadaan sebenar.
“Encik ni, takut nak masuk dewan
bersalin sampai tak mengaku isteri. Kalau nak ambil kunci kereta encik, encik
masuk minta sendiri. Harap badan encik besar tetapi penakut,” ujar jururawat
itu sebelum masuk semula ke dalam dewan bersalin.
Farhan menghembuskan nafasnya
tanda marah. Tak pernah ada orang mempertikaikan keberaniannya. Dia bukan tak
berani masuk tetapi memandangkan Amira bukan isterinya memang tak patut untuk
dia masuk. Takut ternampak benda-benda yang tak patut dia nampak.
Farhan
bangun dari duduknya. Dia kelihatan seperti sedang nekad. “Aku masuk lepas tu
ambil kunci kereta kemudian blah,” Farhan menuturkan rancangannya. “Perempuan
itu tak boleh salahkan aku sebab dia yang salah simpan kunci kereta aku,”
katanya lagi.
Farhan
terus menolak pintu dewan bersalin dan melangkah masuk ke dalamnya. Dia melihat
Amira baring sambil kakinya terkangkang tetapi tidak menghadapnya. Amira masih
berpakaian dan Farhan menarik nafas lega. Selain Amira terdapat juga 2 orang
perempuan yang salah seorangnya adalah jururawat yang menegurnya tadi. Manakala
seorang lagi mungkin doktor yang bertugas.
“Akhirnya
masuk juga suami Puan Amira,” ujar jururawat itu sebaik melihat Farhan masuk ke
dalam dewan bersalin. Walaupun mulutnya tertutup tetapi suaranya masih jelas
kendengaran.
Amira
terkedu mendengar ucapan jururawat itu tadi. Suami dia yang mana masuk ke dalam
dewan bersalin? Dia mana ada suami. Tunang pun tak ada apa lagi suami. Amira
cuba menoleh memandang belakang untuk melihat siapa gerangan yang dikatakan
suaminya itu. Terteleng-teleng kepala Amira cuba untuk melihat suami palsunya
itu sehingga sakit lehernya. Tetapi amat sukar untuk dia melihat wajah suaminya
itu sehinggakan Farhan berdiri betul-betul disebelahnya.
Mata Amira terbeliak
melihat Farhan berdiri tegak disebelahnya. Dia memandang kehadapan melihat
kakinya yang terkangkang itu tetapi masih lagi tertutup. Yang hanya kelihatan
hanya betisnya sahaja. Farhan pula hanya membatu di situ. Dia tidak tahu apa
yang patut dia lakukan. Tujuan sebenarnya masuk ke dalam dewan bersalin itu
hanya untuk mendapatkan kunci keretanya selain menunjukkan kepada jururawat itu
bahawa dia bukan pengecut.
“Siapa
nama encik?” Doktor bertugas yang menyambut kelahiran anak Amira bertanya.
“Farhan
doktor,” balas Farhan.
“Saya doktor
Faridah. Sekarang ni En. Farhan sebagai suami kepada Puan Amira perlu memberi
semangat dan sokongan moral kepada isteri encik agar beliau yakin dan bersemangat
untuk melahirkan anak nanti,” beritahu Dr. Faridah mengarahkan Farhan untuk
melakukan perkara yang biasa dilakukan oleh mana-mana suami ketika isterinya
sedang melahirkan anak. Tetapi Amira bukan isterinya memang rasa janggal kalau
dia cuba melakukan perkara itu.
“Saya
nak buat macam mana doktor?” Tanya Farhan yang tidak tahu apa yang perlu dia
lakukan. Mampu ke dia memberi semangat pada perempuan yang dia tidak kenal dan
cintai. Kalau nak berlakon bolehlah tapi apa faedahnya yang dia dapat. Kalau
dengan memberi semangat dan sokongan moral kepada Amira dapat memulangkan
semula kunci keretanya dia sanggup.
“En.
Farhan pegang tangan isteri encik dan berikan kata-kata semangat dan membina.
Atau pun ajarkan isteri encik kalimah-kalimah pujian kepada Allah semasa hendak
meneran nanti,” ajar Dr. Faridah. Farhan hanya terangguk-angguk. Tetapi dia
sendiri tidak pasti adakah patut dia lakukan atau sekadar tanya di mana kunci
keretanya dan selepas mendapatkan kunci itu dia akan terus beredar dari situ.
Kalau dia benar-benar pegang pun kemungkinan Amira akan memarahinya.
Farhan
memandng wajah Amira. Amira membalas pandangan Farhan. Hati Amira
berdebar-debar seperti merasakan yang Farhan akan mengikut kata-kata doktor
itu. Farhan semakin dekat dengan Amira. Manakala dada Amira semakin berdebar.
Sakit yang dirasanya sebentar tadi telang hilang dek Farhan yang semakin
menghampirinya. Amira memejamkan matanya. Tidak semena-mena tangannya telah
dipegang.
‘Betul dia pegang tangan aku! Dia ingat aku
ni isteri dia suka-suka pegang tangan orang!’ Marah Amira apabila dia dapat
merasakan yang tangannya telah dipegang seseorang. Amira membuka matanya dan
memang Farhan sedang memegang tanganya. Tetapi Amira terkejut apabila Farhan
menggunakan cadar melapik tangannya memegang tangan Amira. Perbuatan Farhan
tadi juga menyebabkan doktor dan jururawat yang bertugas itu turut terkejut.
"Ni dah
kenapa pegang tangan nak lapik-lapik ni? Bukan ada darah pun kat tangan isteri
encik. Kalau ada darah pun kat belah kaki bukan tangan,” jururawat itu menegur.
Pelik dia melihat tingkah laku Farhan.
“Aaa...,”
otak Farhan ligat berfikir alasan apa yang patut dia berikan pada doktor dan
jururawat itu. Tak akan dia hendak mengaku yang sebenarnya dia bukan suami
Amira. Sudah tentu dia akan ditangkap nanti disebabkan menceroboh tempat yang
dilarang.
“Air sembahyang saya tak batal lagi
nurse, doktor. Sengaja saya nak jaga air sembahyang saya sebab lepas anak saya
lahir nanti saya nak azan dan iqamatkan anak saya,” Farhan mendapat idea.
Walaupun kurang bernas alasnnya kerana boleh sahaja dia mengambil wuduk sekali
lagi tetapi hanya alasan itu sahaja yang dapat dia fikirkan.
“Kan
boleh ambil wuduk tu lagi kalau dah batal. Tapi suka hati enciklah nak jaga
wuduk encik tu. Janji isteri encik selamat bersalin,” sambil tersenyum-senyum
Dr. Faridah berkata. Selepas itu dia memandang Amira pula lalu menyambung
semula katanya, “Puan Amira, suami puan ni pelik dan kelakarlah.”
Amira
hanya tersengih-sengih mendengar kata-kata Dr. Faridah tadi. Dia pun tidak
sangka Farhan akan memegang tangannya dengan berlapik. Baik betul Farhan ni. Tak ubah macam seorang ustaz yang serius
menjaga hubungannya dengan perempuan yanag bukan mahram. Amira merasakan kurang
selesa apabila mendapati wajah Farhan dekat pada telinga sebelahnya.
“Awak,
awak mesti boleh. Kuatkan semangat. Teran dengan sepenuh hati. Insya-Allah
boleh bersalin dengan senang,” bisik Farhan. Geli Amira mendengar suara lembut
Farhan. Sebelum ini suaranya asyik kasar sahaja.
'Senang kau cakap. Cuba kau duduk kat tempat
aku ni biar kau rasa penderitaan aku pula macam mana,” Hati Amira berkata.
Tetapi tiba-tiba perasaan gemuruh yang dihadapinya sebelum ini hilang apabila
Farhan muncul di dewan bersalin itu.
“Encik, laluan baru buka 6 cm.
Insya-Allah kalau dah buka 10cm senanglah isteri encik nak meneran nanti. Saya
nak keluar kejap. Nanti kalau dan nak sampai 10cm beritahu saya ye Maimun,”
ujar Doktor Faridah sebelum keluar dari dewan bersalin.
“Saya pun nak ke tandas sekejap. Kamu
berdua berbual-bual dulu ye. Banyakkan berdoa dan Insya-Allah selamat,” ujar
jururawat yang bernama Maimun itu sebelum berjalan ke belakang dewan bersalin.
Kini hanya tinggal Farhan dan Amira sahaja di dalam dewan bersalin. Farhan masih
lagi memegang tangan Amira. Mereka saling berpandangan sebelum Farhan menarik
tangannya semula.
“Kenapa awak pandai-pandai masuk kat
sini?” Soal Amira yang baru dapat menyuarakan ketidak puas hatinya.
“Kenapa
kau tak pulangkan kunci kereta aku?” Bukan jawapan yang diberikan tetapi soalan
juga dilontarkan oleh Farhan.
Amira
terdiam sebelum menjawab. “Awak yang tak minta nak salahkan orang.”
“Okey sekarang mana kunci kereta aku? Aku
nak ambil dan kemudian tinggalkan tempat yang berikan aku masalah ni!” ujar
Farhan sambil tangannya dihulurkan pada Amira.
“Situ,”
Amira memuncungkan mulutnya ke hadapan. Ada sebuah meja yang berada di
hadapannya yang tidak jauh dari situ.
Farhan hendak pergi
mengambil kuncinya.
“Hei!
Hei!” Amira melarang.
Farhan
memberhentikan langkahnya. “Kenapa?”
“Awak
tak nampak saya tengah terkangkang ni. Kalau awak pergi ambil kunci tu awak
nampaklah yang tak sepatutnya awak nampak,” Amira menjelaskan alasannya
menghalang Farhan mengambil kunci kereta itu.
“Okey
saya pejam mata,” kata Farhan dengan selamba.
“Bijak
juga awak ni. Kalau awak pejam mata macam mana awak nak ambil kunci kereta tu?”
Soalan Amira menyebabkan Farhan berfikir. Tetapi dia nekad untuk mendapatkan
kunci kertanya dan meninggalkan hospital ini.
“Habis macam mana? Kau nak tolong
ambilkan pula.”
“Tunggu
sampai saya bersalin!” Begitu jawapan Amira.
"Tunggu
kau bersalin? No, no, no,” Jari telunjuk Farhan digoyangkan. “Sudah aku tak
boleh nak tunggu lagi. Aku nak ambil juga kunci kereta aku!” Farhan nekad. Dia
terus melangkah tetapi langkahnya terhenti apabila mendengar Amira menjerit
kesakitan.
“Aduh! Aduh! Perut saya sakit. Cepat panggilkan doktor,”
pinta Amira yang secara tiba-tiba perutnya terasa sakit.
Farhan
yang tersentak dengan apa yang berlaku pada Amira ingin keluar dari dewan
bersalin untuk mencari Doktor Faridah. Kelam kabut dia cuba mencari pintu
keluar. Tetapi dia menarik nafas lega apabila melihat Doktor Faridah masuk
semula ke dewan bersalin dan bergegas mendapatkan Amira. Selang beberapa saat
muncul pula Maimun yang tiba-tiba berada di sebelah Doktor Faridah.
“Laluan
dah buka 10cm. Puan Amira dah boleh cuba meneran. Teran dengan sekuat hati!”
Arah Doktor Faridah kepada Amira yang sedang menahan sakit.
Selepas
mendengar arahan Doktor Faridah tadi, Amira meneran dengan sekuat-kuat hatinya.
Farhan yang dari tadi berdiri tegak di sebelah Amira terus memegang tangan
Amira. Tetapi kali ini tidak berlapik. Dia memegang erat tangan Amira
seolah-olah ingin memberikan sokongan pada perempuan itu.
“Awak
ikut cakap doktor. Teran dengan sekuat hati. Semoga anak kita selamat keluar,”
bisik Farhan.
‘Anak kita?’ Mata Amira terbeliak
mendengar kata-kata semangat daripada Farhan tadi. Dia menoleh memandang Farhan
yang masih lagi setia memegang tangannya. Sambil meneran dia memikir adakah
kata-kata Farhan tadi ikhlas atau semata-mata kerana kunci kereta miliknya itu?
Alangkah bahagianya hati Amira jika ada suami yang menemaninya ketika ini.
Tetapi dia rasa kecewa kerana lelaki yang berada di sebelahnya itu bukanlah
suaminya.
Semakin
kuat genggaman tangan Farhan ke atas tangan Amira. Lalu dia cuba memberikan
kata-kata rangsangan sekali lagi. Mukanya menatap wajah Amira. “Teran lagi. Awak
boleh buat. Awak boleh buat sayang.”
‘Sayang?’ Sekali lagi Amira terkejut
dengan kata-kata rangsangan yang diberikan oleh Farhan tadi. Kata – kata yang
layak diberikan oleh seorang suami terhadap isterinya. Kata-kata rangsangan
Farhan tadi menyebabkan Amira meneran dengan sekuat-kuat hatinya.
Ulasan
Catat Ulasan