Kahwin Dengan Cina Buta Bab 19

BAB 19

Selepas makan tengahari bersama Hasrol dan Ashraf, Marisa menyiapkan dirinya kerana pada petang itu dia ada temujanji dengan Zura. Sudah lama dia tidak berjumpa dengan rakan baiknya itu. Perasaan gembira mula menjalar pada dirinya apabila teringatkan yang dia akan berjumpa dengan Zura pada petang ini. Marisa ketika itu sedang memakai tudung. Dia sedang duduk dihadapan cermin solek. Sesekali dia membetulkan tudung yang dipakainya apabila mendapati ada yang tidak kena pada tudung yang menutup separuh kepalanya itu.                  

Semasa membetulkan tudungnya, tiba-tiba sahaja fikirannya melayang memikirkan apa yang bakal berlaku pada keesokkan harinya. Adakah dia akan kekal menjadi isteri Hasrol atau Taufik akan datang menjemputnya, sekaligus akan meninggalkan Hasrol? Semuanya akan terjawab pada hari ini. Jika Taufik masih tidak memunculkan dirinya bermakna jodoh dia memang telah ditetapkan untuk Hasrol.                                                                                    

Selepas berasa puas dengan gaya tudung yang dipakai, Marisa keluar dari bilik tidur utama berjalan menuju ke ruang tamu untuk mencari Hasrol. Sampai sahaja di ruang tamu, Marisa melihat Hasrol dan Ashraf sedang leka bermainan permainan PS2 dihadapan televisyen. Marisa mengambil langkah berjalan kearah mereka tetapi Hasrol dan Ashraf masih tidak menyedari kehadiran Marisa yang sudah tercegat berdiri dibelakang mereka. Marisa tersenyum melihat gelagat Hasrol dengan Ashraf yang kelihatan sedang menumpukan perhatian masing-masing. Macam berlaku perlawanan sengit antara mereka berdua.                                           

“Awak, saya nak pergi ni. Kunci kereta kat mana?” Soal Marisa.                                       

Suara Marisa yang tiba-tiba kedengaran membuatkan Hasrol menekan butang pause pada joystick yang dipegangnya. Lalu dia menoleh belakang memandang Marisa. “Ada kat atas almari sana tu,” Hasrol menjuihkan bibirnya kearah almari yang dimaksudkan. Memang boleh dilihat kunci kereta terletak di atas almari itu apabila Marisa ikut menoleh sama. Dengan segera Marisa mengambil kunci kereta itu dan berjalan semula kepada Hasrol dan Ashraf yang menyambung semula permainan PS2 mereka.                                                                                            

“Ashraf tak nak ikut mama jumpa auntie Zura?” Marisa menyoal anaknya pula.                  

Ashraf pula menekan butang pause pada joystick yang dipegangnya. Dia memastikan sehingga permainan itu betul-betul berhenti baru dia menoleh kearah ibunya. “Tak naklah mak. Ashraf masih belum dapat kalahkan papa ni. Asyik Ashraf saja yang kalah. Liat betul nak kalahkan papa. Liat macam dodol!” Ahsraf geram. Dia mengetapkan giginya sambil memandang Hasrol.                                                                                                                                                    

Hasrol ketawa kecil. “Papa ni dah kategori professional tahu. Ashraf baru amatur mana boleh nak kalahkan papa,” balas Hasrol. Selepas memandang Ashraf, mukanya dipalingkan pula pada Marisa.                                                                                                                                              

“Kalau Ashraf tak nak ikut mama tak apalah,” beritahu Marisa dan selepas itu dia memandang Hasrol pula. “Awak tolong jagakan Ashraf ye,” pesan Marisa. Mendengar pesanan Marisa, Hasrol terus mengangkat tangan kanannya lalu menabik kearah Marisa.                                

“Baik bos!” Sahut Hasrol dengan wajah yang dibuat-buat serius. Ashraf tergelak melihat perbuatan Hasrol. Marisa pula tersenyum. Hendak sahaja dia mencubit Hasrol kerana geram dengan telatah yang dibuat-buat.                                                                                                            

“Awak ni buat lawak pulak. Sudahlah saya dah nak gerak ni.” Marisa menghulurkan tangannya untuk bersalaman dengan Hasrol. Selepas mengucup tangan Hasrol, giliran Ashraf pula bersalaman dan mengucup tangan ibunya.                                                                                   

Marisa hendak pergi tetapi Hasrol sempat memberi pesanan. “Awak dah lama tak bawa kereta kan? Hati-hati tahu. Saya tak risaukan kereta tu tetapi saya risaukan awak.” Marisa hanya mengangguk lalu berpaling untuk keluar dari rumah. Hasrol dan Ashraf pula meneruskan permainan PS2 yang tergendala tadi. Tiba-tiba Marisa memberhentikan langkah kakinya lalu berpaling semula pada Hasrol dan Ashraf.                                                                                        

“Kau orang berdua ni mesti belum solat lagi kan? Ingat… Jangan sesekali sengaja melewatkan atau meninggalkan solat tahu,” Marisa menggoyangkan jari telunjukkan tanda memberi amaran. Nampaknya permainan mereka terganggu lagi. Kali ini mereka menekan butang pause dengan serentak dan menoleh ke arah Marisa juga dengan serentak. Seraya berkata. “Baiklah ustazah!” Lalu meneruskan semula permainan mereka seperti biasa.                                       

Marisa tersenyum sambil menggelengkan kepalanya kerana tidak menyangka yang Hasrol dan Ashraf dapat melakukan perbuatan tadi dengan serentak. Seperti sengaja dirancang oleh mereka berdua apabila Marisa mula membebel. Akhirnya Marisa keluar juga dari rumah meninggalkan dua orang lelaki yang disayanginya itu. ‘Ada ke dia orang panggil aku ustazah,’ kata Marisa sendiri yang ketika itu sedang berjalan di parkir kereta di bawah.

+++++

“Nanti jangan lupa beritahu kat saya kalau Marisa dah sampai,” Taufik mengingatkan Zura. Ketika itu mereka berada di dalam kereta tidak jauh dari restoran yang dijanjikan oleh Zura untuk berjumpa dengan Marisa.                                                                                                            

“Yelah awak. Awak jangan bimbang. Saya akan buat apa yang awak nak walaupun hati saya masih tidak boleh menerima keputusan awak untuk menerima kembali Marisa,” Zura mencebik.                                                                                                                                             

“Awak janganlah macam ni. Lagi sikit lagi…. Lagi sikit lagi saya akan mencapai impian saya untuk memiliki Syarikat Sentra Sdn. Bhd tu. Pada masa itu barulah kita boleh fikir tentang perkahwinan kita,” pujuk Taufik. Kali ini dengan nada yang lebih lembut lagi agar Zura tidak bermasam muka. Memang tepat jangkaan Taufik Zura tersenyum lebar apabila mendengar kata-kata Taufik tadi. Jari telunjuknya kelihatan sedang menconteng-conteng kemeja Taufik. Mukanya kelihatan manja.                                                                                                                 

“Saya bukan apa. Tak sanggup nak teruskan hubungan terlarang kita ni. Sudah berapa kali kita terlanjur dan sudah berapa kali juga saya gugurkan kandungan saya. Doktor dah beri amaran pada saya jika saya gugurkan lagi kandungan selepas ini kemungkinan saya tidak boleh mengandung lagi. Jadi saya nak berkahwin dengan awak secepat yang mungkin. Takut kalau-kalau saya mengandung nanti. Saya dah tak boleh nak gugurkan lagi. Saya nak ada anak dengan awak,” terang Zura dengan manja. Suaranya dibuat mengada-ngada.                                  

“Yelah. Lepas semuanya dah selesai saya janji kita akan berklahwin ye sayang,” Taufik berjanji sambil mulutnya manis tersenyum kearah Zura. Tersenyum bukan kerana gembira dengan janji yang dinyatakan tetapi tersenyum sinis memandangkan Zura percaya dengan janji palsunya. Zura keluar dari kereta Taufik. Sempat dia membuat flying kiss pada Taufik sebelum berpaling meninggalkan Taufik sendirian.

+++++

Sampai sahaja Zura di dalam restoran itu sempat dia meninjau keadaan di dalamnya. Mana tahu Marisa sampai lebih awal daripadanya dan sedang menunggunya. Puas mata Zura melilau sekeliling restoran itu tetapi kelibat Marisa tidak juga kelihatan. Selepas yakin yang Marisa belum sampai lagi Zura mengambil tempat duduk di salah sebuah meja yang berdekatan di situ. Salah seorang pelayan restoran tergesa-gesa mengambil pesanan apabila dia melihat Zura melabuhkan punggungnya di kerusi. Zura hanya memesan air sirap ais tatkala ditanya oleh pelayan restoran itu.                                                                                                                                         

Zura melihat jam tangannya. Tepat pukul 2.30 petang. Waktu yang dijanjikan untuk dia berjumpa dengan Marisa. Tetapi Marisa masih belum sampai lagi. Mungkin jalan sesak fikir Zura. Zura pun tidak pasti sama ada Marisa datang dengan Hasrol atau bersendirian. Tetapi semalam sempat dia bertanya melalui pesanan ringkas dan Marisa menjawab akan datang sendirian. Tetapi semua itu bergantung kepada keadaan juga. Tiba-tiba sahaja boleh berubah. Kalau Marisa datang dengan Hasrol pasti akan rosak rancangan Taufik untuk berjumpa dengan Marisa pada petang itu.                                                                                                                        

Zura masih sabar menanti ketibaan Marisa sehinggakan air sirap air yang dipesannya telah sampai. Dia melihat jam tangannya sekali lagi dan jam itu menunjukkan pukul 2.45 petang. Lewat 15 minit!. ‘Mana Marisa ni?’ Zura bertanya di dalam hati. Zura merasa resah selagi dia tidak dapat melihat wajah Marisa. Dia ingin memastikan rancangan Taufik berjaya pada petang ini. Sedang Zura menyedut air sirap air yang sudah terhidang di atas meja, matanya membulat apabila melihat sesusuk tubuh wanita masuk ke dalam restoran itu. Wanita itu ialah Marisa yang ditunggu-tunggunya.
                                                                                                                                 
Zura melihat Marisa sedang menoleh ke kiri dan kenan dan dia pasti Marisa sedang mencarinya. Lalu Zura bangun dari kedudukannya dan melambai-lambai kearah Marisa. Marisa sedar lambaian Zura mula mengukir senyuman lega. Lantas berjalan menuju ke arah Zura yang masih berdiri menunggu di situ. Sampai sahaja Marisa di hadapan Zura, mereka duduk serentak. Seperti biasa pelayan restoran itu dengan secepat kilat datang mengambil pesanan tatkala melihat Marisa pula melabuhkan punggunya.                                                                                                       

“Teh o ais ye dik,” pesan Marisa dengan senyuman. Pelayan retoran tadi terangguk-angguk sebelum beredar untuk mendapatkan air yang dipesan oleh Marisa. “Lama ke kau tunggu? Sorylah aku dah lama tak bawa kereta jadi slow je la aku bawa. Cuak gak, rasa macam baru nak ambil lessen memandu je. Cuma yang bezanya tiada cikgu yang ajar memandu kat sebelah,” sambung Marisa lagi dengan nada berseloroh.                                                                   

“Takpe aku faham. Janji kau selamat sampai sudah. Yang kau ni order minum je, tak makan ke?”                                                                                                                                             

“Aku dah makan dengan Hasrol dan Ashraf tengahari tadi. Kau cakap orang tapi kau pun sama. Air sirap jek atas meja kau ni. Dah makan ke?” Marisa pula menyoal Zura apabila dia mendapati hanya terdapat segelas air sirap sahaja di atas meja.                                                     

“Aku pun dah makan juga. Tujuan kita jumpa ni pun bukan nak makan. Nak berbual-bual sebab dah seminggu kita tak jumpa. Mesti banyak cerita nak kau ceritakan kat aku. Lebih-lebih lagi cerita pasal perkahwinan kau dengan Hasrol tu,” terang Zura. Sesekali dia mengacau air sirap aisnya dengan straw.                                                                                                  

“Memang tujuan aku nak jumpa kau pun sebab nak luahkan masalah yang aku hadapi sekarang,” muka Marisa berubah sedikit sayu.                                                                                    

Belum sempat Marisa menyambung semula kata-katanya Zura terlebih dahulu memintas. “Apa masalah kau? Pasal Hasrol ke? Dia pukul kau dengan Ashraf ke?” Zura menduga terlebih dahulu dengan mengajukan beberapa soalan.                                                                         

“Taklah. Marah pun dia tak pernah, apa lagi nak pukul aku dengan Ashraf. Hasrol tu baik dan selayaknya dia menjadi seorang suami dan ayah yang bertanggungjawab,” Marisa menjawab bagi menyanggah tuduhan Zura terhadap Hasrol.                                                                               

“Puji lebih nampak kat suami sementara kau tu. Ada apa-apa ker?” Zura menduga lagi atau sengaja bertanya.                                                                                                                         

“Kalau aku cakap mesti kau tak percaya.”                                                                                   

Zura mengerutkan keningnya selepas mendengar kata-kata Marisa tadi. Lantas dia bertanya. “Apa dia?”                                                                                                                          

“Aku cintakan Hasrol,” kata Marisa sambil merenung mata Zura yang tak berkelip-kelip menunggu jawapan dari Marisa.                                                                                                            

“Apa! Biar betul kau ni Marisa! Kenapa boleh jadi macam tu? Bagaimana pula dengan Taufik nanti kalau kau dah jatuh hati kat Hasrol tu?” Zura menjerit sedikit tanda terkejut. Tetapi sebalik perasaan hatinya begitu gembira selepas mendengar pengakuan dari Marisa. Kerana dia tidak perlu berebut dengan Marisa untuk memiliki Taufik lagi. Mana mungkin seorang perempuan ingin memiliki dua orang lelaki sekaligus. Tiada dalam hukum pun yang membenarkan begitu.                                                                                                                         
“Entahlah. Cinta itu kan buta. Aku rasa bahagian hidup dengan Hasrol. Walaupun dia tahu yang aku ni isteri sementara dia, tetapi dia tetap jalankan tanggungjawab dia sebagai seorang suami dan ayah yang baik. Sampaikan Ashraf dah anggap Hasrol macam papanya dia sendiri. Kalau kau berada ditempat aku pun aku rasa kau akan rasa seperti mana yang aku rasa.”            

“Aku sedar tujuan aku berkahwin dengan Hasrol semata-mata supaya aku dapat berkahwin semula dengan abang Taufik. Tetapi cuba kau fikir, semenjak aku berkahwin dengan Hasrol sehinggalah sekarang abang Taufik langsung tak tanya khabar kami dua beranak. Aku rasa macam dia sudah tidak ambil kisah pasal kami. Sedangkan dia yang beria-ria hendak aku kembali kepadanya. Aku betul-betul kecewa dengan sikapnya,” luah Marisa panjang lebar. Air yang dipesannya telah sampai. Lalu dia menyedut sedikit air itu untuk melegakan tekaknya yang banyak bercakap tadi.                                                                                                              

“Bagaimana perasaan Hasrol terhadap kau pula?” Ringkas sahaja soalan yang diajukan oleh Zura tetapi dia menjangka jawapan yang agak panjang dari Marisa.                                        

“Aku fikir yang aku hanya bertepuk sebelah tangan, tetapi ternyata tidak kerana Hasrol juga mempunyai perasaan yang sama seperti aku. Sehinggakan dia sendiri mencadangkan agar aku terus menjadi isterinya,” jawab Marisa. Dia seperti hendak menyambung semula percakapannya tetapi segera dipintas oleh Zura.                                                                   

“Maksud Hasrol tu, kau orang berdua tak jadi bercerailah!”                                                  

Marisa hanya mengangguk. Bertambah teruja Zura dengan jawapan yang diberikan oleh Marisa walaupun dengan hanya mengangguk sahaja. Tanpa membuang masa Zura terus mengajukan soalan lagi kepada Marisa lagi. “Kau setuju tak cadangan Hasrol tu?” Zura merenung wajah Marisa menunggu jawapan. Dia berharap Marisa akan mengangguk sekali lagi.           

Sekali lagi Marisa mengangguk. Kali ini Zura betul-betul gembira dengan jawapan yang diberikan oleh Marisa. Hendak sahaja dia melepaskan senyuman tetapi dia terpaksa melepaskan senyuman di dalam hatinya sahaja agar Marisa tidak sedar akan perasaan gembiranya itu.       “Tapi..,” sebut Marisa tetapi terdiam selepas itu.                                                                      

‘Tapi apa lagi,’ gerutu hati Zura. Dia mengerutkan keningnya sekali lagi. Malas dia hendak bertanya. Biarlah Marisa sendiri yang meneruskan kata-katanya yang terhenti tadi.     

“Tapi aku akan terima cadangan Hasrol jika abang Taufik betul-betul sudah lupakan aku dengan Ashraf,” Marisa menyambung kata-katanya.                                                                  

“Maksud kau?”                                                                                                                        

“Hari ini adalah hari terakhir perkahwinan di antara aku dengan Hasrol. Jika abang Taufik masih tidak mahu berjumpa dengan kami, kalau tak jumpa call pun aku tak kisah bermakna aku menganggap abang Taufik sudah tidak mempedulikan kami lagi. Selanjutnya aku akan menerima cadangan Hasrol untuk terus menjadi isterinya,” terang Marisa.                                       

“Seandainya jika Taufik datang berjumpa dengan kau pada hari ini, bermakna kau akan kembali semula pada Taufik?” Zura meneka tetapi semestinya dia mengetahui jawapan itu. Dan Marisa mengangguk lagi. Kali ini anggukannya lemah. Wajahnya sayu. Dia tidak dapat bayangkan jika Taufik benar-benar datang berjumpa dengannya. Sudah semestinya Hasrol akan diketepikan. Zura pula terdiam seketika. Sememangnya dia mengetahui yang Taufik akan berjumpa dengan Marisa pada petang ini. Dia juga akan mengetahui yang Marisa pasti akan kembali kepada Taufik.                                                                                                            

Perasaan kecewa pula menjalar pada sanubarinya. Kalau betul Marisa terus menjadi isteri Hasrol, dia tidak perlu menunggu lagi untuk berkahwin dengan Taufik. Tetapi harapannya untuk berkahwin dengan Taufik secepat yang mungkin telah hancur berkecai. Dia terpaksa menunggu lagi. Menunggu sehingga Taufik berjaya melaksanakan misinya untuk mengusai Syarikat Sentra Sdn. Bhd. Entah bila dia pun tidak pasti. Geram betul dia. Hendak sahaja dia menceritakan segalanya kepada Marisa. Tetapi dia tidak sanggup berbuat begitu demi orang yang dicintainya.           

“Kalau kau kembali semula kepada Taufik, bagaimana pula dengan Hasrol?” Zura sengaja mengajukan soalan sedemikian rupa. Mana tahu kot-kot Marisa berubah fikiran untuk menerima terus cadangan Hasrol.                                                                                             

“Hasrol kena terima yang aku dengan dia sudah tiada jodoh lagi. Lagipun dia sendiri beritahu kat aku yang dia akan terima jika takdir tidak memihak kepadanya,” jawab Marisa yang mengecewakan Zura dengan jawapannya itu. Ketika itu suasana diam seketika. Marisa sedang menyedut air minumannya manakala Zura sedang menaip pesanan ringkas ditelefon bimbitnya yang akan dihantarnya pada Taufik. Menandakan masa yang sesuai untuk Taufik datang berjumpa dengan Marisa.                                                                                                                    

“Zura aku hendak tanya kau sesuatu boleh?”                                                       

“Tanyalah.”                                                                                                                            

“Kau rasa antara abang Taufik dengan Hasrol siapa yang patut aku pilih?” Soal Marisa secara lansung kepada Zura.                                                                                                   

Apabila mendengar pertanyaan daripada Marisa, Zura mula berfikir. Berfikir apa yang patut dia jawab. Kalau boleh hendak sahaja dia menjawab supaya Marisa memilih Hasrol. Tetapi dia tidak boleh menjawab begitu memandangkan Taufik perlu merujuk kembali Marisa. Kalau hendak cakap pilih Taufik pun Zura rasa tak sanggup untuk menyatakannya. Kerana dia akan berasa cemburu dan tidak sepatutnya dia membiarkan orang lain merampas lelaki yang dia cintai.            

Lidah Zura masih kelu untuk mengeluarkan suara. Kening Marisa sedikit terangkat menagih jawapan. “Kalau aku.... Aku rasa… Mmmm…,” tersengguk-sengguk Zura berkata. Tiba-tiba mata Zura beralih ke arah lain. Dari raut wajahnya kelihatan seperti melihat sesuatu yang menarik perhatiannya. Marisa menyedari gelagat Zura.                                        

“Kenapa Zura?” Marisa bertanya untuk mendapatkan jawapan.                                            

“Tu..,” ringkas sahaja jawapan Zura sambil memuncungkan mulut menunjukkan sesuatu di belakang Marisa. Marisa ingin tahu apa yang dimaksudkan oleh Zura dan cuba menoleh kepalanya untuk memastikan.                                                                                         

“Assalamualaikum,” belum sempat Marisa menoleh kedengaran suara memberi salam menyusup ke dalam telinganya. Marisa kenal suara yang memberi salam itu. Suara lelaki yang selama ini dia tunggu. Lantas dia menoleh memandang lelaki itu untuk mendapatkan kepastian. Adakah benar tekaan hatinya itu.                                                                                              

“Abang Taufik!,” seperti di dalam mimipi. Itulah yang Marisa rasakan apabila lelaki yang memberi salam itu adalah Taufik, bekas suaminya. Jadi tepatlah tekaannya dan dia tidak sangka dapat bertemu dengan lelaki itu disini. “Waalaikumsalam,” Marisa menjawab salam yang diberikan oleh Taufik tadi selepas berjaya mententeramkan dirinya. Lalu dia bingkas bangun berdiri berhadapan dengan Taufik.                                                                                                            

Zura masih duduk memerhatikan Marisa dan Taufik. Sesekali dia melihat telefon bimbitnya. Dia melihat semula pesanan ringkas yang diberikan pada Taufik sebelum tadi. Sakit hatinya apabila membaca pesanan ringkas itu semula. Ayatnya seperti menggalakkan Taufik untuk mendapatkan semula Marisa. ‘Awak boleh datang sekarang. Marisa ada bersama dengan saya. Awak tak perlu bimbang jika Marisa tidak mahu kembali kepada awak kerana jika awak jumpa dengan dia hari ini dia akan memilih awak. Jika tidak dia akan meneruskan perkahwinan dia dengan cina buta tu. Awak sungguh bernasib baik.’ Zura memadam pesanan ringkas yang dibaca semula tadi. Dia sedikit mengeluh.                                                                         

“Abang Taufik buat apa kat sini?” Marisa memulakan dengan soalan.                      

“Abang pergi bengkel kereta kat hujung kedai ni. Rasa haus jadi cadang untuk singgah minum sekejap. Kebetulan nampak Risa dengan Zura di sini jadi abang datanglah. Lagipun memang hari ini abang nak jumpa Risa. Sebab nak bincang pasal perkahwinan kita semula. Alang-alang dah jumpa kat sini, kita terus bincanglah. Tetapi boleh tak kalau kita berdua sahaja?” Selepas memandang Marisa, Taufik mengalihkan pandangannya pada Zura. Begitu juga dengan Marisa berpaling memandang Zura dengan raut wajah yang serba salah.                              

Zura bangun dari kerusi. “Kalau macam tu aku pulang dulu Marisa. Betul kata Taufik tu. Ini kan hal peribadi kau orang berdua. Aku tak sepatutnya menyibuk,” ujar Zura sambil menyarungkan tangkai beg tangan pada bahunya.                                                                               

“Tak apa ke Zura. Kasihan kau. Serba salah aku dibuatnya,” kata Marisa dengan rasa serba salahnya.                                                                                                                                                

“Tak apa Marisa. Bila-bila masa sahaja kita boleh berjumpa lagi. Yang penting kau settelkan masalah kau ni dulu. Aku harap segala urusan kau dipermudahkan. Kalau kau rasa serba salah sangat kau tolong bayarkan sirap ais aku pun dah cukup,” ujar Zura dengan senyuman yang dibuat-buat.                                                                                                              

Marisa menyambut dengan ketawa kecil. “Boleh Zura, kalau kau nak bungkus lagi pun aku boleh bayarkan,” Marisa bergurau dan ketawanya masih lagi bersisia. “Apa-apa pun, terima kasih Zura sebab sudi jumpa dengan aku. Aku minta maaf sebab terpaksa biarkan kau pergi, sedangkan kita baru saja berjumpa,” Marisa berkata lagi kali ini dengan suara agak perlahan.    

“Tak apalah Risa. Jangan lupa beritahu kat aku kalau ada apa-apa berita gembira. Aku pergi dulu,” selepas bersalaman dengan Marisa, Zura keluar dari restoran itu dengan wajah yang masam mencuka. Perasaan marah dan cemburu meluap-luap di dalam hatinya.

+++++

Selepas menunaikan solat Zohor berjemaah dengan Ashraf, Hasrol melipat sejadah yang digunakannya tadi. Begitu juga dengan Ashraf melipat sejadah lalu bingkas bangun dan berjalan kearah bilik tidurnya. Hasrol yang memerhatikan Ashraf bertanya. “Nak pergi mana? Kata nak kalahkan papa. Jom kita lawan lagi.”
                                                                                                
 “Tak naklah. Asyik papa je yang menang. Ashraf nak tidur kumpul tenaga. Pastu lawan dengan papa semula. Papa tunggulah kebangkitan Ashraf,” jawab Ashraf sambil menonong jalan masuk ke dalam bilik tidurnya. Hasrol tersenyum sahaja. Dia duduk di atas sofa sambil menyandar bahunya. Tiba-tiba dia teringatkan Marisa. Terasa rindu pulak dia pada Marisa. Kalau tidak petang-petang begini dia akan menghabiskan masanya dengan berbual-bual dengan Marisa. Tetapi kali ini dia keseorangan.                                                                                             

Hasrol tidak dapat bayangkan jika Marisa kembali semula pada Taufik. Bermakna dia akan keseorangan semula. Dia masih ingat lagi, ketika dia bernikah dengan perempuan-perempuan lain dan hidup bersama dengan mereka. Hasrol merasa amat tertekan dan merasakan seminggu itu begitu lama sekali. Lain pula rasanya apabila dia berkahwin dengan Marisa, walaupun kadang-kadang tertekan dengan leteran Marisa mengingatkan dia tentang solat, tetapi leteran itulah yang menyebabkan dia tenang apabila dia menunaikan solat. Dia memang telah berubah. Allah telah memberi hidayah kepadanya tetapi dalam bentuk menghadirkan seseorang untuk membimbingnya.                                                                                                                     

Baru Hasrol sedar apa erti perkahwinan. Baru Hasrol dapat merasai kebahagian kehidupan perkahwinan yang sebenar. Hasrol menoleh melihat jam dinding yang tergantung dan jam telah menunjukkan pukul 4.20 petang. Selepas itu dia menoleh pula memandang tab yang berada di sebelahnya. Dia ingin menghubungi Marisa untuk melepaskan rindu yang terkandung di dalam hati nuraninya. Lantas dia mencapai tabnya dan terus mendail nombor Marisa. Hasrol mendengar deringan panggilan telefon keluar dari corong tabnya. Tetapi selepas 4 kali deringan ianya terputus.                                                                                                                                       
“Aik,” Hasrol merasa pelik. Tetapi dia tidak putus asa mendail sekali lagi. Selagi dia tidak mendengar suara Marisa, selagi itu dia akan mendail sehingga dapat. Panggilan kali kedua yang dibuat tetap sama. Panggilan terputus apabila deringan mencecah 2 kali. Hasrol mencuba lagi untuk kali ketiga dan akhirnya operator peti suara yang berkata-kata. Itu menandakan teleofon Marisa telah dimatikan. Hasrol mengeluh.                                                                             

“Apa yang dia orang bincang sampai panggilan aku tak nak dijawab?” Kata Hasrol sendiri. “Tak apa, balik je siaplah Marisa. Aku cium dia nanti,” sambungnya lagi sambil tersengih-sengih. Hasrol menganggap yang Marisa sedang berjumpa dengan Zura. Hakikatnya sekarang Marisa sedang berjumpa dengan Taufik. Perjumpaan yang menyebabkan Hasrol akan berpisah dengan Marisa untuk selama-lamanya.

Ulasan

Catatan popular daripada blog ini

Kahwin Dengan Cina Buta Bab 4

Kahwin Dengan Cina Buta Bab 1

Kahwin Dengan Cina Buta Bab 27