Kahwin Dengan Cina Buta Bab 27
BAB
27
Selepas bersarapan pagi, Hasrol membawa Puan Aminah
pergi ke pasar untuk membeli barangan dapur. Selalunya sebelum ini Puan Aminah
akan pergi dengan adik lelakinya, Hamdan. Tetapi oleh kerana Hasrol ada dia
merasakan lebih baik pergi bersama dengan anaknya itu. Ashraf turut ikut
sekali. Yang tinggal dirumah itu hanyalah Marisa dan Zarina. Hamdan dan
anak-anaknya turut keluar. Mungking mereka hendak membeli barangan keperluan
keluarga mereka.
Marisa
ketika itu sedang menyapu di ruang tamu. Zarina merasa senang hati melihat
perilaku Marisa yang ringan tulang dalam melakukan kerja-kerja rumah. Barulah
dia percaya sepenuhnya kata-kata Puan Aminah bahawa isteri Hasrol seorang yang
rajin tidak seperti isteri sebelumnya. Selain ringan tulang, Marisa juga
kelihatan cantik. Memang ciri-ciri perempuan yang didambakan oleh lelaki.
Selepas
selesai menyapu, Marisa duduk di kerusi ruang tamu menemani Zarina yang juga
duduk di situ selepas menyidai pakaian di luar tadi. Marisa sempat melepaskan
senyuman pada Zarina dan senyuman itu dibalas oleh Zarina. “
Maksu
nak tanya ni. Marisa jangan marah ye. Kenapa suami Marisa yang dulu ceraikan
Marisa?” Zarina bertanyakan soalan yang agak sensitif.
Marisa
tidak lekas menjawab. Dia mengetap bibirnya sebelum bersuara. “Kami dah tak
boleh nak hidup bersama lagi. Jadi dia buat pilihan untuk mencaraikan Marisa,”
beritahu Marisa ringkas tetapi kena dengan maksudnya.
“Maksu
tanya ni bukan apa. Maksu tengok Marisa ni serba serbi okey. Rajin pun rajin.
Pandai masak dan cantik pula tu. Bagi Maksu, Marisa ni mempunyai pakej lengkap
menjadi isteri idaman lelaki. Rugi betul bekas suami Marisa sebab ceraikan
Marisa,” jelas Zarina.
Marisa tersipu-sipu Marisa apabila
dipuji oleh Zarina. “Maksu… Marisa pula nak tanya boleh?”
“Eh…
Tanya jelah. Tak perlu nak minta izin,” Zarina ketawa.
“Dulu-dulu
Hasrol tak ada minat kat gadis-gadis kampung ni ke Maksu?” Marisa memulakan
persoalan.
“Hasrol
tak pernah cerita kat Marisa apa-apa ke sebelum ni?” Zarina tidak menjawab.
Hanya membalas dengan soalan juga. Marisa membalas dengan menggelengkan kepala
tanda menjawab tiada.
“Dulu, masa
4 tahun yang lalu ada juga Hasrol bercinta dengan anak Kak Temah. Namanya
Zaleha. Ala… Pemilik restoran sebelah restoran kita tu. Dia orang bercinta
sampai satu masa Hasrol minta maknya pergi meminang Leha tu. Tetapi Kak Temah
tolak mentah-mentah pinangan kami,” Zarina memulakan cerita.
“Kenapa
Mak Temah tolak pinangan Hasrol?” Marisa bertanya tanda berminat.
“Sebabnya Marisa tahulah Kak Temah tu
iri hati dengan Kak Minah sebab restoran kami lebih maju daripada restorannya.
Jadi dia sudah menganggap kami ni sebagai musuhnya,” balas Zarina.
“Iri
hati sampai sanggup putuskan hubungan silaturahim sesama manusia. Mak Temah tak
tahu ke berdosa memutuskan persaudaraan sesama Islam. Mesti Leha tu cintakan
Hasrol sepenuh hati,” ujar Marisa walaupun ada sekelumit perasaan cemburu di
hatinya.
“Leha
tu tak macam Kak Temah tu. Leha tu baik orangnya. Oleh kerana di seorang anak
yang taat pada maknya, dia terima saja keputusan maknya itu. Hasrol pula
selepas pinangannya ditolak oleh Kak Temah, terus dia merantau ke Kuala Lumpur.
Sekarang sudah pun berkahwin dengan kamu Marisa.”
Marisa
hanya tersenyum mendengar penjelasan Zarina tadi. Tetapi kenapa Hasrol tidak
berterus terang padanya tentang Zaleha. Agaknya Hasrol ingin melupakan kisah
silamnya dahulu sebab itulah dia tidak menceritakan padanya. Begitu fikir
Marisa. Selepas itu Marisa dan Zarina rancak berbual. Bermacam-macam cerita
mereka bualkan sehingga kedengaran suara orang memberi salam.
“Assalamulaikum!”
Suara memberi salam itu kedengaran lagi. Suara seorang wanita. Marisa dan
Zarina serentak bangun untuk melihat tetamu yang tidak diundang itu. Apabila
mereka berdua sampai di muka pintu, kelihatan Zaleha tercegat di bawah tangga
rumah.
“Oh, kau Leha. Ada
apa?” Soal Zarina. Mukanya sedikit berubah apabila mengetahui kedatangan Zaleha.
Mungkin berasa hairan.
“Hasrol
ada?” Soal Zaleha menanyakan Hasrol.
“Hasrol tak
ada. Dia pergi pasar dengan maknya,” Marisa terus menjawab.
“Awak
ni Marisa isteri Hasrol ye?” Zaleha sekadar menduga tetapi yakin bahawa
perempuan di hadapannya itu adalah Marisa kerana dia tidak pernah lihat wajah
perempuan itu sebelum ini.
“Ya
saya Marisa. Ada apa boleh saya bantu?” Dengan berhemah Marisa bertanya
walaupun dia tahu perempuan di hadapannya itu pernah menjadi kekasih suaminya. “Boleh
kita berjumpa? Saya ada hal sikit nak bincang dengan awak. Itu pun jika awak
tak keberatan,” pinta Zaleha.
“Boleh,
saya tak keberatan pun. Naiklah,” pelawa Marisa. Seraya Zaleha naik dan masuk
ke dalam rumah. Mereka berdua duduk di atas kerusi ruang tamu sementara Zarina
meminta diri untuk menyediakan minuman.
Sebaik sahaja Marisa
duduk dia terus bertanya. “Ada apa yang awak nak bincang dengan saya?”
“Sebenarnya
tak ada apa-apa pun saya nak bincangkan dengan awak. Saya cuma nak jumpa awak
sahaja,” Zaleha berterus terang.
“Kenapa awak nak jumpa saya?”
“Sebab awak isteri Hasrol. Awak
kenal tak siapa saya? Mungkin Hasrol ada cerita kat awak pasal saya.”
“Saya
tahu siapa sebenarnya awak. Awak pernah bercinta dengan Hasrol kan? Sebenarnya
Hasrol tak pernah cerita kat saya pun pasal kisah cinta silamnya. Saya dapat
tahu pun dari Maksu. Jadi saya nak awak berterus terang, apa tujuan awak nak
jumpa saya?” Soal Marisa lagi. Dia tidak berpuas hati jika dia masih tidak tahu
tujuaan Zaleha datang berjumpanya. “Awak
jangan bimbang. Tujuan saya datang ke sini bukan untuk merampas Hasrol dari
awak. Saya datang dengan niat yang baik. Saya nak ucapkan tahniah sekaligus
saya nak berkawan dengan awak. Awak sungguh beruntung kerana dapat menjadi
isteri Hasrol. Hasrol seorang lelaki yang baik. Saya sangat mengenalinya kerana
kami pernah bercinta sejak dari sekolah menengah lagi,” terang Zaleha.
Marisa
melepaskan senyumannya. Dia berasa lega kini. Dia fikir Zaleha datang berjumpa
dengannya mungkin kerana ingin meluahkan rasa tidak puas hatinya kerana
merampas Hasrol daripadanya. Tetapi sangkaannya jelas meleset. “Saya tak kisah
nak berkawan dengan sesiapa pun. Termasuklah awak,” Marisa terbuka hati untuk
berkawan dengan Zaleha.
“Oh ya, boleh saya dapatkan nombor
telefon awak? Kita kan sudah berkawan. Tak salahkan kalau saya simpan nombor
telefon kawan saya?” Pinta Zaleha sambil mengeluarkan telefon bimbitnya dari
poket seluar. “
Boleh.
Kejap ye saya ambil telefon saya. Saya pun nak juga nombor kawan baru saya,”
Marisa bingkas bangun dan masuk ke dalam bilik tidur dan keluar selang beberapa
saat. Mereka bertukar nombor telefon sebelum Zaleha meminta diri untuk pulang
kerumahnya. Pada masa itu juga Zarina datang dengan menatang talam berisi air
milo panas dan biskut kering.
“Eh
Leha dah nak balik ke? Cik Na baru nak hidang air ni,” Zarina meminta agar
Zaleha menunggu untuk menjamu hidangan yang dibuatnya.
“Terima
kasihlah Cik Na. Leha kena balik juga, takut mak cari. Kalau mak tahu Leha
datang sini mesti mak naik angin,” Zaleha menolak dengan cara baik.
“Yelah… Mak
kau tu bukan boleh diduga sangat. Nanti tak pasal-pasal Leha kena marah nanti.
Terima kasih sebab sudi ke rumah kami,” akhirnya Zarina mengalah.
“Sama-sama. Nanti
kirim salam kat Mak Minah dan Hasrol ye.” Ujar Zaleha sebelum melangkah pergi.
“Insya-Allah… Leha nanti jangan lupa
datang kenduri kahwin kami ahad ni,” Marisa sempat menjemput.
“Insya-Allah,”
balas Zaleha sambil tersenyum. Zaleha turun dari tangga rumah sebelum dia
mendapatkan motosikal Yamaha cup 70 yang dipakirnya di laman rumah Puan Aminah.
Sebelum dia beredar dengan motosikalnya, sempat dia berpaling melambai tangan
pada Marisa dan Zarina yang masih berdiri di beranda rumah. Motosikal Zaleha
keluar dari susur jalan masuk rumah Puan Aminah. Ketika itu juga kereta yang
dipandu oleh Hasrol masuk ke susur jalan yang sama. Tidak semena-mena Hasrol
terpandang Zaleha dan ketika itu juga Zaleha sempat memandang Hasrol.
“Leha,”
nama itu yang tiba-tiba keluar dari mulut Hasrol. Zaleha hanya tersenyum
sebelum terus menunggang motorsikalnya melalui jalan raya yang lengang itu.
“Kenapa Leha datang ruma kita mak?” Soal Hasrol pula. Keningnya dikerutkan.
“Manalah
mak tahu. Nanti tanyalah isteri Hasrol. Tak pun tanya Maksu. Kenapa Hasrol
gelabah semacam je ni. Hasrol masih ada hubungan dengan dia lagi ke? Hasrol
jangan buat hal,” Puan Aminah seperti mengsyaki sesuatu.
“Ish, mak ni. Mana
ada. Semua itu kisah lama. Semenjak Mak Temah tolak pinangan kita 4 tahun lalu
sampai sekarang kami tak pernah berhubung pun,” tingkah Hasrol, membela
dirinya. “Yelah, mak percaya. Nanti
kita dengar daripada Maksu dengan Marisa kenapa Leha datang rumah kita.”
Sejurus
selepas kereta dipakir, Puan Aminah dan Ashraf keluar dari kereta dan berjalan
ke arah tangga rumah. Manakala Hasrol mengangkat barang-barang dapur yang
dibeli di pasar tadi. Sebaik sahaja Puan Aminah masuk ke dalam rumah, Zarina
dan Marisa masih lagi berdiri di ruang tamu.
Zarina
terus berkata. “Mak tadi Leha anak Kak Temah datang. Dia nak jumpa Marisa.
Sebelum dia balik tadi, dia kirim salam kat mak dengan Hasrol,” seperti tahu
yang Puan Aminah akan bertanya mengenai Zaleha, Zarina terlebih dahulu
menceritakan kepada kakaknya. Hasrol tidak yang tidak sabar ingin mengetahui
perkara yang sama menyusuli ibunya.
“Marisa kenapa si Leha tu nak jumpa
kamu?” Selepas mengetahui tujuan Zaleha adalah untuk berjumpa dengan Marisa
terus Puan Aminah mengajukan soalan pada Marisa. Hasrol tidak jadi untuk
meletakkan barang-barang yang dijinjitnya ke dapur. Terus dia meletakkan
barang-barang itu di atas lantai kerana tidak mahu terlepas mendengar
penjelasan daripada Marisa. Perkara ini juga ada kaitan dengannya.
“Tak ada
apa-apa mak. Dia cuma nak ucapkan tahniah pada saya. Dia juga ada cakap yang
saya ni beruntung sebab kahwin dengan Hasrol. Sebab Hasrol ni baik orangnya,”
jelas Marisa sambil memandang sinis pada Hasrol. Pandangan Marisa tadi
menyebabkan Hasrol merasakan ada sesuatu yang disembunyikan oleh Marisa.
“Marisa kenal tak
siapa Leha tu?” Puan Aminah bertanya lagi.
“Kenal.
Anak Mak Temah pemilik restoran sebelah restoran kita. Leha juga pernah menjadi
kekasih Hasrol dulu sampai tahap nak berkahwin tetapi tak jadi sebab Mak Temah
tak setuju,” jawab Marisa. Pandangan sinis masih lagi ditujukan pada Hasrol.
Hasrol tidak senang berdiri di situ. Akhirnya apa yang dirahsiakan pada Marisa
selama ini terbongkar.
“Marisa
tahu daripada siapa?” Soalan daripada Puan Aminah membuatkan Zarina pula tidak
keruan kerana dialah yang menceritakan dulu perkara itu pada Marisa. “Marisa
tahu daripada Leha sendiri mak. Hasrol tak pernah cerita pun kat Marisa pasal
kekasih lama dia tu,” kata Marisa bernada sinis.
Mendengar
penjelasan daripada Marisa, Puan Aminah menoleh kepada Hasrol yang berada di
belakangnya. “Kenapa Hasrol tak berterus terang pada Marisa pasal Zaleha. Mak
ingatkan Hasrol dan ceritakan segalanya.”
Hasrol terkedu seketika apabila Puan
Aminah bertanya kepadanya. Selepas itu dia mula untuk menjawab persoalan Puan
Aminah tadi. “Hm… Bukan Hasrol tak nak cerita kat Marisa. Kisah lama. Buat
sakit hati je kalau nak diingatkan dan diceritakan balik. Lagipun Hasrol bukan
ada lagi pun hubungan dengan dia. Yang ada di dalam hati Hasrol cuma Marisa
saja mak,” jelas Hasrol. Sempat juga dia mengenyitkan matanya pada Marisa tanpa
disedari oleh Puan Aminah. Perbuatan Hasrol tadi menyebabkan Marisa tersenyum.
“Betullah
mak. Sebenarnya tak ada apa-apa pun. Leha pun tahu yang Hasrol dah berkahwin
dengan Marisa. Dia cuma nak berkawan dengan Marisa je. Tak akan Hasrol nak
curang dengan Marisa,” ujar Marisa tanda menyokong suaminya itu.
“Mak
bukan apa. Mak tak nak pasal perkara ini kau orang berdua bergaduh. Kalau tak
ada apa-apa tak mengapalah. Hasrol pun satu, suka sangat tak berterus terang.
Kalau ada apa-apa jangan takut berterus terang. Mak yakin Marisa ni seorang
yang bertolenrasi,” tegur Puan Aminah.
“Baik
mak!” Hasrol menegakkan badannya sambil menabik hormat ke arah Puan Aminah.
Semua yang berada di dalam rumah itu tergelak melihat telatah Hasrol.
+++++
Malam ini adalah malam yang terakhir restoran Puan Aminah
dibuka. Selepas malam ini, restoran itu akan ditutup selama tiga hari. Dari
petang tadi Marisa datang menolong Puan Aminah dan Zarina memasak di restoran
itu. Tidak lepas tangan Marisa memasak kerana semenjak dari restoran itu dibuka
sampailah sekarang tidak putus-putus pelanggan datang. Hasrol dan Ashraf masih
belum sampai lagi di restoran itu. Mungkin selepas Isyak nanti baru batang
hidung dua beranak yang tidak sedarah daging itu sampai.
Seperti biasa juga restoran Puan Fatimah tidak banyak
pengunjungnya, tidak seperti restoran Puan Aminah. Oleh sebab itulah Puan
Fatimah sentiasa tidak puas hati dengan Puan Aminah. Sampaikan Puan Fatimah
berniat untuk mensabotaj restoran Puan Aminah. Dan niat itu akan dilaksanakan
pada malam ini.
Di belakang restoran
Puan Fatimah, kelihatan Puan Fatimah bersama dua orang lelaki sedang berdiri
seperti membincangkan sesuatu.
“Baiklah
Sudin. Kau ambil plastik ni. Dalam plastik ni ada tiga ekor bangkai lipas.
Lepas kau makan separuh nasi goreng kat situ kau taruh seekor dua bangkai lipas
tu kat dalam pinggan yang kau makan,” Puan Fatimah memberikan arahan kerja
kotornya pada Sudin dan Mamat sambil tangannya menyerahkan satu beg plastik
yang berisi bangkai lipas.
Sudin memasukkan beg plastik itu di
dalam poket kanan seluarnya. “Tak akan bagi arahan je Mak Temah. Ongkosnya tak
ada?” Ujar Sudin sambil menggaru kepalanya yang tidak gatal.
“Nah,
ambil sorang RM50 dulu. Ini duit pendahuluan. Lepas kau orang berdua setellkan
kerja kau orang baru aku tambah RM50 lagi.” Puan Fatimah tidak segan
menghulurkan wang pada Sudin dan Mamat. Sudin dan Mamat lekas-lekas menyambut
wang itu dan selepas itu mencium wang itu dengan penuh nikmat.
“Mak
Temah jangan bimbang. Semuanya beres,” kata Mamat dengan penuh yakin. Perbualan
Puan Fatimah dengan dua orang lelaki upahannya itu didengari dan diperhatikan
oleh Zaleha. Zaleha hanya menggelangkan kepalanya. Dia berasa serba salah kini.
Adakah dia patut memberitahu Marisa mengenai rancangan ibunya itu atau
mendiamkan diri sahaja.
+++++
Selepas Puan Aminah siap menggoreng nasi goreng ayam
dan diletakkan di dalam dua buah pinggan, Marisa mengambil talam yang berisi
nasi goreng itu untuk diserahkan kepada pelanggan yang memesan makanan itu.
Rupa-rupanya nasi goreng ayam itu dipesan oleh Sudin dan Mamat. Marisa sampai
di meja mereka dan meletakkan dua pinggan nasi goreng ayam itu di atas meja.
Sudin dan Mamat tidak kelip-kelip memandang Marisa. Tidak pernah mereka melihat
perempuan itu sebelum ini.
“Mak Minah ada pekerja barulah Mat.
Lawa pula tu. Hai, nama saya Sudin. Boleh kita berkenalan?” Sudin menegur
dengan niat menyakat.
“Kalau
macam ni, hari-harilah aku lepak kat sini Sudin,” Mamat tidak lepas untuk turut
menyakat sekali.
Marisa
hanya tersenyum tawar. Walaupun dia tidak senang dengan kata-kata Sudin dan
Mamat tadi, tetapi mereka tetap pelanggan restoran ibu mertuanya. Selepas
meletakkan dua pinggan nasi goreng ayam itu di atas meja, Marisa beredar menuju
semula ke dapur masak. Sudin dan Mamat masih lagi tidak puas memandang Marisa
memandangnya sehingga Marisa hilang disebalik pintu dapur. Puan Aminah dan
Zarina menyedari perbuatan Sudin dan Mamat yang mengganggu Marisa.
“Jangan dilayan sangat
dia orang berdua tu Marisa. Dia orang tu samseng kat kampung ni. Sudah berapa
kali keluar masuk lokap,” beritahu Zarina sebaik sahaja Marisa tiba di dapur.
“Betul tu. Tapi samseng-samseng dia
orang pun kat kampung ni, ada yang lebih samseng lagi,” tiba-tiba Puan Aminah
menyampuk. Tangannya tidak lepas memegang sudip menggoreng nasi.
“Siapa
orangnya mak yang mak cakap lebih samseng daripada dia orang berdua kat luar
tu?” Marisa ingin tahu.
“Siapa
lagi kalau bukan suami kau, Hasrol. Pernah sekali dia lipat dia orang sebab
cuba pecah masuk untuk mencuri kat restoran ni. Separuh mati Hasrol kerjakan
dia orang berdua tu. Memang tak serik dia orang berdua tu. Agaknya dia orang
tak tahu kot yang kamu ni isteri Hasrol,” beritahu Puan Aminah.
5
minit masa berlalu. Selepas Sudin menghabiskan nasi goreng itu separuh, dia
mengeluarkan beg plastik yang mengandungi bangkai lipas. Matanya melilau
memerhatikan kiri dan kanan untuk memastikan tiada siapa yang perasan atau
melihat kerja kotornya itu. Selepas memastikan keadaan ketika itu selamat,
Sudin mengeluarkan seekor bangkai lipas dan diletakkannya di atas pinggan. Baki
2 ekor lagi yang ada di dalam plastik itu disimpannya semula di dalam poket
kanan seluarnya dengan tergesa-gesa.
Kemudian
Sudin menggaul nasi goreng yang sudah diletakkan dengan bangkai lipas. Sengaja
dia mengkuis nasi goreng itu agar bagkai lipas itu dapat dilihat. Selepas itu
dia menepuk meja makan dengan sekuat hatinya. Perbuatannya itu menarik
perhatian semua pengunjung restoran itu termasuk Marisa, Puan Aminah dan
lain-lain.
“Tak guna betul! Aku
minta nasi goreng ayam bukan nasi goreng lipas!” Bentak Sudin. Mukanya
kelihatan bengis. “Mana taukeh restoran ni aku nak jumpa!” Jeritnya lagi.
Pengunjung-pengunjung restoran
di situ semuanya bangun untuk melihat kesahihan tuduhan Sudin. Suasana mulai
kecoh apabila memang tardapat lipas pada pinggan nasi goreng ayam itu. Segera
Puan Aminah dan Marisa pergi melihat kekecohan yang berlaku.
“Bawa
bersabar Sudin. Benda ni boleh dibawa berbincang. Jangan buat kecoh macam ni,”
Hamdan cuba mengawal keadaan.
“Bawa
bersabar kepala hotak kau! Aku dah makan separuh nasi ni kau nak suruh aku
bersabar. Kalau aku sakit nanti siapa yang nak bertanggungjawab?! Aku nak ganti
Rugi! Aku tak kira, aku nak ganti rugi!” Suara Sudin semakin nyaring
sehinggakan suaranya boleh didengar sampai di restoran Puan Fatimah. Puan
Fatimah terkekeh-kekeh gelak melihat apa yang berlaku. Nampaknya rancangan
kotornya berjalan dengan lancar.
“Kau biar betul Sudin. Tadi aku
masak tak ada pula aku nampak lipas,” Puan Aminah tiba-tiba bersuara selepas
dia keluar dari celahan orang ramai. Marisa dan Zarina tidak lepas mengikuti
Puan Aminah.
“Kat
mana lagi lipas tu datang kalau bukan kat restoran ni. Nampak sangat restoran
ni kotor. Macam manalah orang ramai boleh datang restoran yang pengotor ni.
Malam ni last aku jejak kat restoran
pengotor ni!” Sudin membuat provokasi. Mamat hanya tersengih-sengih mendengar
penipuan Sudin.
“Entah-entah
kamu yang sengaja letak lipas tu dalam pinggan ni,” Marisa sengaja menuduh.
Tapi ternyata tuduhannya itu adalah benar. Muka Sudin terus berubah tatkala
mendengar tuduhan Marisa tadi. Serta merta dia memandang bengis terhadap
Marisa. Kecut sedikit perut Marisa apabila diperhatikan oleh Sudin dengan
sebegitu.
“Tak
akan aku bodoh nak buat macam tu! Kau ni siapa ha perempuan nak sibuk-sibuk.
Ini urusan di antara aku dengan Mak Minah. Aku tak kira, Mak Minah kena bayar
ganti rugi kalau tak aku laporkan pada ketua kampung,” ugut Sudin. Puan Aminah
tergamam. Dia tidak tahu apa yang perlu dilakukannya lagi. Nampaknya dia
terpaksa mengaku salah dan membayar ganti rugi pada Sudin.
Marisa masih tidak berpuas hati
dengan Sudin. Dia dapat rasakan yang Sudin cuba untuk mensabotaj restoran ibu
mertuanya itu. Tetapi apa yang boleh buat. Tiada bukti yang menyatakan Sudin
sengaja melatak bangkai lipas di atas pinggan nasi goreng ayam. Keaadaan
semakin kecoh. Sudin tidak habis dengan ugutannya untuk meminta ganti rugi.
Tiba-tiba telefon
bimbit Marisa dimasuki pesanan ringkas. Marisa segera memeriksa pesanan ringkas
yang baru diterimanya dan ianya datang dari Zaleha anak Puan Fatimah. ‘Marisa
cuba perhatikan poket seluar lelaki yang pakai baju oren tu. Dia ada menyimpan
plastik berisi bangkai lipas.’ Lelaki memakai baju oren yang dimaksudkan
oleh Zaleha adalah Sudin.
Selepas
Marisa membaca pesanan ringkas yang diterimanya dari Zaleha tadi serta merta
Marisa memerhatikan poket seluar Sudin. Memang dapat dilihat pada poket kanan
seluar Sudin kelihatan seperti plastik jernih yang sedikit terkeluar. Mungkin
Sudin memasukkan plastik itu secara kelam kabut sehingga tidak sedar plastik itu
tidak dimasukkan sepenuhnya.
Dengan
sepantas kilat Marisa berjalan ke arah Sudin dan merampas terus plastik yang
berada di dalam poket seluar kanan lelaki itu. Selepas berjaya mendapatkan
plastik itu, Marisa mengangkat plastik itu tinggi sedikit daripada kepalanya
dan melihat apa kandungan di dalamnya. Jelas kelihatan 2 ekor bangkai lipas
terkurung di dalam plastik itu. Sudin terkejut melihat tindakan Marisa dan
tergamam seketika.
“Macam
mana lipas-lipas ni ada dalam poket seluar kamu? Nampak sangat kamu cuba
mensabotaj restoran ini!” Marisa bertanya dengan nada sinis. Sempat juga dia
berpaling pada pengunjung yang berada di situ dan mempamerkan plastik yang
mengandungi bangkai lipas pada mereka.
Sudin
berasa berang kerana Marisa telah merosakkan rancangan kotornya. Dia sudah
tidak boleh sabar lagi. Terus dia merentap tangan Marisa yang memegang plastik
berisi bangkai lipas tadi seinggakan plastik itu terlepas dari pegangannya.
Marisa menjerit kesakitan. “Aku
dah cakap dengan kau perempuan jangan sibuk hal orang lain. Sekarang rasakan
ini!” Sudin mengangkat tangannya dan bersedia untuk menampar Marisa. Marisa
tidak dapat berbuat apa-apa. Kudratnya tidak dapat menandingi lelaki itu. Dia
hanya memejamkan matanya sambil menyebut nama Allah berulang kali.
“Pak!”
Best.. Nanti sambung lagi yea. Dh lama tnggu smbungan cerita ni..
BalasPadamaduih.. ibarat membaca novel yg kehilangan muka surat... bila lagi ni?
BalasPadamSambung laa
BalasPadamLast update tahun 2017.... Skg dah 2021...
BalasPadamMknanya mmg dh xde sambgan la ni kan? ðŸ˜ðŸ˜
Sambungan Kahwin Dengan Cina Buta di https://riwayatcuat.blogspot.com/
BalasPadamsalam 420
BalasPadamkat mana saya nak cari bab 28, 29 dan 30? sebab blog yg baru hanya start dr 31..
anyway, penulisan yg baik dan plot cerita best..boleh diadaptasikan kepada drama bersiri.
2024 dah ni,bila nak sambung??
BalasPadam