Kahwin Dengan Cina Buta Bab 26
BAB
26
Seperti yang dirancang. Hasrol membawa Marisa dan
Ashraf pulang ke kampungnya di Johor. Sekarang mereka dalam perjalanan ke sana.
Hasrol sedang memandu sambil ditemani Marisa yang duduk di sebelahnya. Manakala
Ashraf duduk di kerusi belakang ditemani patung-patung Ben-10nya. Hasrol kini
berasa bahagia apabila kehidupannya kini masih lagi ditemani oleh Marisa dan Ashraf.
Dalam kebahagian itu, Hasrol merasakan sedikit tertekan apabila terkenangkan
wang perbelanjaannya semakin hari semakin berkurangan.
Memang patut pun duit simpanannya itu
semakin kurang sebab Hasrol pun bukannya bekerja. Dia mengharap hidup dengan wang
simpanan hasil memberikan perkhdimatan sebagai cina buta bagi mana-mana
pasangan yang sudah bercerai dengan talak tiga. Kalau diikutkan hatinya hendak
sahaja dia meneruskan menjadi cina buta. Tetapi adakah Marisa akan membenarkannya
untuk berbuat demikian? Hasrol menoleh memandang Marisa. Terdetik di dalam
hatinya, kalaulah selepas ini dia kehabisan wang, bagaimana dia hendak menyara
hidup Marisa dan Ashraf nanti.
“Kenapa
awak. Ada yang tak kena ke?” Marisa yang menyedari dirinya dipandang oleh Hasrol
mula bertanya.
Hasrol memandang ke
hadapan semula, lalu mengalihkan pandangannya kepada Marisa kembali. “Awak,
kalau… Kalau suatu hari nanti kita sudah tidak dapat hidup macam ni lagi.
Maksud saya dah tak ada kereta mewah lagi. Dah tak tinggal kat apparment mewah
lagi. Awak menyesal tak hidup dengan saya?”
“Apa
yang awak cakap ni? Awak tak ceraikan saya dah kira saya cukup bersyukur. Saya
tak mengharapkan kekayaan awak. Yang saya harapkan, cinta yang ikhlas dari
suami saya sudah memadai. Pasal kemewahan kita boleh berusaha untuk mencarinya.
Cari yang halal barulah berkat. Selepas ini saya tak nak awak jadi cina buta
lagi,” tingkah Marisa. Seperti dia tahu apa yang Hasrol fikirkan tadi dan
memberikan peringatan mengenainya.
“Dah
agak,” kata Hasrol dengan nada yang perlahan. Tetapi Marisa dapat mendengar ada
sesuatu yang keluar dari mulut Hasrol tetapi sebutannya tidak jelas.
“Apa
yang awak cakap tadi. Tak jelas,” serta merta Marisa meminta Hasrol untuk
mengulangi kata-katanya tadi.
“Err…
Tak ada apa-apa. Lega hati saya bila awak cakap macam tu. Lepas selesai
segala-galanya di kampung nanti dan apabila kita pulang ke rumah kita semula
saya nak cari kerja,” ujar Hasrol tanpa mengulangi semula ayat yang dipinta
oleh Marisa tadi.
“Kenapa
awak tak nak uruskan restoran mak kat kampung saja? Kan senang. Mak pun taklah
penat sangat urusakn restoran tu sebab anak lelakinya yang gagah perkasa akan
membantu,” tersenyum-senyum Marisa menuturnya.
Hasrol
menimbulkan otot-otot keras pada pada tangan kirinya sebelum dia membalas.
“Kalau gagah perkasa macam ni tolong uruskan kebun tak mengapalah. Kalau kat
restoran apa yang saya boleh buat? Paksu dan Maksu serta anak-anaknya dah cukup
untuk membantu mak menguruskan restoran tu. Lagipun saya nak mencari rezeki
dengan usaha saya sendiri. Sebab itulah saya merantau ke negeri orang. Kalau
awak nak tahu cita-cita saya nak jadi ahli perniagaan yang berjaya tau.”
“Saya
hanya memberi pandangan saja. Kalau awak ada cita-cita awak sendiri, awak
usahalah untuk ianya menjadi kenyataan. Saya sebagai isteri awak akan memberi
sokongan dan mendoakan semoga cita-cita dan harapan awak dimakbulkan,” ujar
Marisa.
“Awak…,” tegur Marisa
lagi. Hasrol menoleh memandang Marisa.
“Nasib
baik Ashraf tak perasan yang otot pada tangan awak timbul tadi. Kalau tak dia
mesti teruja. Awak kan idola dia,” Marisa tergelak kecil. Seraya dia bersama
dengan Hasrol menoleh ke arah Ashraf yang ketika itu sedang memerhatikan
pandangan luar.
+++++
“Akak, jadi ke Hasrol balik hari ini?” Soal Zarina
kepada Puan Aminah. Ketika itu mereka berdua berada di dapur sedang menyiang
ayam.
“Jadilah.
Kalau dia tak balik siaplah dia. Kalau dia balik sorang pun siap juga dia tu,”
balas Puan Aminah.
“Itu
yang saya khuatir. Persiapan perkahwinan dah dibuat. Khemah, pelamin semua dah
ditempah. Kalau dia balik sorang juga macam mana kak? Dulu pun Hasrol pernah
buat macam tu.”
“Kalau
dia balik sorang juga aku suruh dia bersanding dengan kambing nanti. Aku dah telefon
dia. Dia janji nak balik bawa isterinya dan cucu segera aku tu.”
“Eh
akak ni. Tak akan akan nak bermenantukan kambing. Lawaklah akak ni. Lagipun tak
sabar saya nak tengok isteri Hasrol tu. Kata akak cantik kan? Biar si Leha tu
menyesal sebab tolak pinangan Hasrol dulu. Dia ingat Hasrol tu tak laku ke,”
ujar Zarina.
“Bukan
Leha yang tak nak kat anak aku. Si Fatimah, mak Leha yang tak suka dengan
keluarga kita. Dia anggap kita ni pesaing restoran dia. Maklumlah restoran dia
dengan kita kan sebelah menyebelah. Aku tak dengki pun kalau restoran dia
banyak pelanggan. Dia yang suka tuduh aku curi pelanggannya,” beritahu Puan
Aminah menceritakan sedikit sebanyak cerita mengenai Puan Fatimah dengan anak
perempuannya Zaleha.
Memang
sebelum Hasrol berhijrah ke negeri orang, dia pernah bercinta dengan Zaleha.
Tetapinya cintanya ditentang oleh Puan Fatimah disebabkan Puan Aminah adalah
seterunya dalam persaingan perniagaan restoran di kampung itu. Restoran Puan
Aminah dengan Puan Fatimah bersebelahan dan jaraknya hanya 20 meter sahaja.
Puan Fatimah sentiasa tidak berpuas hati jika restoran Puan Aminah dibanjiri
ramai pelanggan berbanding restorannya.
Bagi
Puan Aminah dia tidak kisah jika dia bermenantukan Zaleha. Akan tetapi
disebabkan keegoan Puan Fatimah yang tidak mahu menerima lamaran rombongannya
dahulu menyebabkan dua keluarga itu tidak dapat bersatu. Oleh kerana kecewa
tidak dapat mengahwini Zaleha, Hasrol merantau meninggalkan kampung halamannya
dengan alasan untuk mencari kerja.
Hampir
4 tahun peristiwa itu berlaku dan sekarang Hasrol sudah pun mendirikan rumah
tangga dengan Marisa. Mungkin dia sudah lupa akan cinta pertamanya itu.
Cintanya kini hanya untuk isterinya yang bernama Marisa.
+++++
Zaleha sedang membelek-belek kad jemputan kahwin
yang baru diterimanya tadi. Pak Wahab yang dikenali sebagai Posto Kampung yang
menghantar kadi jemputan itu. Nasib baik semasa Pak Wahab menghantar kad
jemputan itu Puan Fatimah tiada di rumah. Jika tidak alamat ke tong sampahlah
perginya kad jemputan itu. Kerana kad jemputan itu datangnya dari seterunya
sendiri iaitu Puan Aminah.
Air
mata Zaleha berlinangan apabila dia membaca nama pengantin lelaki di dalam kad
jemputan itu. Nama Hasrol tidak asing bagi dirinya kerana nama itu pernah
bertakhta di hatinya dahulu. Semenjak ibu Zaleha menolak pinangan Hasrol pada 4
tahun yang lepas, menyebabkan percintaan di antara mereka tidak kesampaian. Dan
semenjak itu juga mereka sudah tidak berjumpa lagi. Kini kisah cinta mereka
hanya menjadi dongengan sahaja. Yang boleh dilakukan oleh Zaleha hanya
mendoakan agar Hasrol dan isterinya hidup bahagia sehingga akhir hayat mereka.
“Leha! Ooo… Leha!” Tiba-tiba
kedengaran teriak dari Puan Fatimah di luar biliknya. Zaleha mengesat air
matanya dengan tergesa-gesa. Dia keluar dari bilik tidurnya untuk berjumpa
dengan ibunya.
“Ada
apa mak?” Soal Zaleha sejurus keluar dari bilik tidurnya.
“Ada
kau dapat kad jemputan dari Mak Minah bakal mak mertua kau yang tak jadi tu?
Kalau ada kau buang saja kad jemputan tu. Tak ingin mak nak datang kenduri
kahwin anaknya walaupun dijemput dengan naik helikopter sekalipun,” ujar Puan
Fatimah sambil meletakkan barang-barang yang dibelinya di pasar tadi di atas
meja.
“Sudah-sudahlah
tu mak. Kenapa sampai sekarang mak masih tak boleh terima mereka? Mereka ada ke
ganggu keluarga kita? Tak ada kan? Tak akan pasal restoran mereka lebih ramai
pelanggan yang datang mak nak bermusuhan dengan mereka. Dah itu rezeki mereka.
Mungkin masakan di restoran mereka lebih sedap daripada restoran kita. Oleh itu
kita hendaklah berusaha untuk meningkatkan lagi kualiti masakan kita. Bukan
terus memutuskan pertalian silaturahim dengan mereka,” Zaleha memberi nasihat
kepadanya ibunya. Tidak tahu nasihat kali keberapa yang diberikan.
“Amboi-amboi
sedapnya bercakap. Kau ni berpihak pada siapa ni? Kau ingat masakan mereka
sedap ke? Masakan mereka tak sedap mana pun. Mak tahu diaorang guna pelaris
untuk menarik ramai pelanggan datang ke restoran mereka,” dengan selamba Puan
Aminah menabur fitnah.
“Astagfirullahalazim…
Mak, tak baik tuduh sebarangan. Mana mak tahu mereka guna pelaris? Mak ada
bukti? Tetapi yang Leha tahu mak je yang berulang alik cari bomoh untuk buat
pelaris,” Zaleha cuba meningkah fitnah yang ditaburkan oleh Puan Aminah.
“Yang kau
bela sangat mereka tu kenapa? Kau ni memang derhaka. Anak lelaki Mak Minah yang
kau tergila-gilakan dulu yang kononnya kau sanggup tunggu sudah pun berkahwin
dengan perempuan lain. Lelaki macam tu yang kau nak bela sangat. Dasar penipu!”
Ujar Puan Fatimah tanda tidak berpuas hati.
“Leha tak
dapat kahwin dengan Hasrol pun sebab mak. Sebab mak tolak pinangan mereka dulu.
Kalau tidak sekarang ni Leha sudah bahagia hidup dengan Hasrol. Kalau Leha ni
anak derhaka, dah lama Leha kahwin lari dengan Hasrol dahulu!” Zaleha mula
meninggikan sedikit suaranya apabila Puan Aminah melibatkan Hasrol dalam
perbalahan ini.
“Kurang ajar
kau Leha! Anak tak kenang budi! Ini mak kau tau tak! Yang kau nak bela sangat
mereka tu kenapa?!” Puan Fatimah menengking anaknya itu.
“Kalau mak terasa hati
dengan kata-kata Leha tadi, Leha minta maaf. Leha bukan nak bela mereka. Leha
cuma beritahu apa yang betul saja. Terpulanglah pada mak nak anggap Leha ni
anak derhaka. Selama ini Leha dah cuba nak jadi anak yang terbaik untuk mak,”
jelas Zaleha sambil dia melangkah masuk ke dalam biliknya semula.
Puan Fatimah mengeluh.
Di dalam hatinya terdetik merasakan apa yang dikatakan oleh Zaleha tadi ada
benarnya. Walaubagaimanapun Puan Fatimah tetap menganggap Puan Aminah sebagai
musuhnya. Ini kerana keegooan Puan Fatimah yang tinggi menyebabkan dia
berfikiran begitu.
+++++
Akhirnya sampai juga Hasrol bersama Marisa dan
Ashraf di rumah Puan Aminah. Hasrol memakir keretanya di sebelah kereta proton
saga lama milik Hamdan, Paksunya. Kedatangan mereka disambut oleh Puan Aminah,
Zarina dan Hamdan serta kedua-dua anak mereka.
Marisa
keluar dari kereta dan bersalaman dengan Puan Aminah dan Zarina dan
anak-anaknya. Begitu juga dengan Ashraf mengikut perlakuan ibunya. Manakala
Hasrol pula mengeluarkan beg-beg pakaian di dalam bonet belakang kereta.
“Saufi
dan Mariah pergi tolong angkat beg pakaian abang Hasrol,” Hamdan mengarahkan
anak-anaknya. Dengan segera budak-budak itu mengikut arahan yang diberikan.
Mereka semua bersama-sama naik semula ke dalam rumah.
“Kau
orang semua duduklah dulu. Mesti penat jalan jauh tadi. Nanti Maksu buatkan air
sejuk,” pelawa Zarina sebelum bergerak ke dapur.
“Terima kasih Maksu,” ucap Hasrol.
Marisa hanya tersenyum sahaja. “Jalan
jem tak masa balik ke sini tadi?” Hamdan yang duduk bersama di kerusi itu
bertanya.
“Alhamdulillah
Paksu. Jalan tak jem sangat. Mak, Paksu dan yang lain sihat?” Hasrol menjawab
sebelum bertanya.
“Mak
dan yang lain sihat-sihat berlaka. Kau orang bertiga sihat ke?” Begitu jawab
Puan Aminah sambil berbalas soalan juga.
“Kami
sihat mak. Akhirnya dapat juga Marisa sampai kat kampung. Ashraf pun tak
sabar-sabar nak datang kat sini,” Marisa tidak lepas untuk berkata juga.
“Sudah
masuk waktu Zohor ni. Nak makan dulu atau nak solat dulu makan kemudian?” Puan
Aminah melontarkan soalan tatkala mendengar sayup-sayup suara azan berkumandang
di surau berhampiran.
“Hasrol
rasa baik kita solat dulu. Lepas tu baru kita makan,” cadang Hasrol. Yang lain
semua mengangguk tanda setuju.
+++++
Selepas solat Zohor, keluarga besar Puan Aminah
makan bersama-sama. Hari ini puan Aminah masak lebih sedikit berbanding
kebiasaannya kerana anak dan menantunya ada sekali pada hari itu. Lagipun Puan
Aminah tahu Hasrol kuat makan. Jadi dia akan masak lebih kerana yakin Hasrol
akan menghabiskan makanan itu.
Memang
betul apa yang dijangkakan oleh Puan Aminah. Hasrol makan dengan begitu selera
sekali. Begitu juga dengan Ashraf. Walaupun kedua-dua beranak itu bukan darah
sedaging tetapi perilaku mereka sama sahaja.
“Ashraf,
makan perlahan-lahanlah. Mama tengok macam nak berlumba dengan papa siapa makan
paling cepat je,” tergur Marisa. Ashraf hanya tersengih-sengih ditegur Marisa.
“Biarlah. Ashraf kan nak jadikan badan
dia macam badan saya bila besar nanti. Saya masa sebaya Ashraf kuat makan juga
apa. Ashraf kalau nak jadi badan Ashraf macam papa jangan makan saja kuat, exercise kena kuat juga. Petang ni ikut
papa pergi jogging,” Hasrol menyampuk. Dia menyenduk nasi dan meletakkannya di
dalam pinggan Ashraf. Ashraf tidak membantah lalu mengambil ayam goreng di
dalam mangkuk pula.
“Ish…
Hasrol ni. Baru tadi sampai dah nak jogging petang ni. Esok-esok kan boleh
jogging,” ujar Puan Aminah. Sesungguhnya dia gembira melihat telatah Hasrol dan
Ashraf. “Ala mak. Bukan jogging
betul-betul pun. Hasrol nak bawa Ashraf pusing-pusing kampung naik Honda cup
paksu,” balas Hasrol. Kali ini Ashraf pula menyeduk nasi dan meletakkannya di
dalam pinggan Hasrol. “Ashraf, perut papa dah penuh dah ni.”
“Tak ada-tak
ada. Papa kena habiskan juga. Ashraf boleh habiskan tak akan papa tak boleh
habiskan,” selepas Ashraf berhenti berkata, semua yang ada di meja makan itu
ketawa.
+++++
Malam ini restoran Puan Aminah masih lagi dibuka.
Seperti yang diberitahu restoran ini akan ditutup pada malam minggu. Jadi malam
esok masih lagi dibuka untuk pelanggan-pelanggan restoran Puan Aminah datang
menikmati juadah makanan yang disediakan.
Memang
tidak dinafikan, restoran Puan Aminah pada malam ini ramai pelanggannya. Ada
yang datang berkeluarga. Ada yang datang sebagai pasangan kekasih. Ada juga
yang datang seorang diri. Lokasi restoran itu yang berada di tepi jalan utama
merupakan laluan kenderaan lalu lalang di situ. Ini menjadikan ianya lokasi
yang strategik.
Tetapi
tidak pula bagi restoran Puan Fatimah. Walaupun restorannya bersebelahan dengan
restoran Puan Aminah, tetapi pelanggan yang datang ke restorannya boleh di
kira. Ini membuatkan hati Puan Fatimah bertambah sakit dan iri hati.
Hasrol sedang duduk dengan Ashraf di
salah sebuah meja sedang menonton televisyen. Manakala Marisa yang duduk
bersama Hasrol mula bangun dan melangkah masuk ke dalam dapur.
“Boleh
Marisa tolong masak?” Marisa menawarkan dirinya untuk membantu. “Boleh-boleh. Kata Kak Minah Marisa
pandai masak. Maksu pun nak rasa masakan Marisa,” jawab Zarina.
“Marisa
rehatlah. Marisa kan baru sampai siang tadi. Penat tu tak habis lagi. Malam
esok boleh bantu mak dengan Maksu memasak. Malam esok je restoran ni buka.
Lepas tu cuti tiga hari sebab nak uruskan kenduri kahwin kamu berdua.” Lain
pula jawapan Puan Aminah. “Baiklah mak.
Tetapi hari ni Marisa nak tolong potong-potong bawang pun jadilah. Kalau tak
buat apa-apa nanti Marisa bosan. Boleh kan mak?” Soal Marisa seperti merayu. “Boleh…” Puan Aminah menguntum senyuman pada
menantunya itu.
+++++
Dari jauh Puan Fatimah melihat keriuhan restoran
Puan Aminah dengan kehadiran pelanggan-pelanggan yang ramai. Tangan Puan
Fatimah digenggam erat. Rasa tidak puas hati mencengkam jiwa raganya. Zaleha
yang sedang mengangkat pinggan mangkuk hanya memerhatikan gelagat ibunya itu.
Ketika itu restoran Puan Fatimah tiada seorang pun pelanggan yang ada. Ini
membuatkan hati Puan Fatimah bertambah marah dan iri hati dengan apa yang
dilihatnya “Tak
boleh jadi ni. Apa yang istimewa sangat restoran kat sana tu? Aku kena buat
sesuatu,” Puan Fatimah bercakap sendiri. Zaleha yang terdengar kata ibunya itu
hanya menggelangkan kepalanya sahaja.
Ulasan
Catat Ulasan